Pelajar Asasi Bersihkan Masjid

18 Januari 2020 (KUANTAN) – Pelajar Program Asasi Sastera hari ini menganjurkan Program Gotong Royong bertempat di Masjid Kampung Tanjung Api, Kuantan. Program ini merupakan projek Khidmat Masyarakat yang disertai oleh pelajar-pelajar Asasi Sastera kumpulan ke-3.

Pelajar-pelajar yang hadir ke masjid seawal jam 8.30 pagi berganding bahu bergotong royong bagi melakukan kerja-kerja pembersihan di luar dalam masjid. Program turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Dan Asasi (FOLAFS), YBrs. Prof. Madya Dr. Jelani bin Sulaiman serta pensyarah-pensyarah FOLAFS KUIPSAS.

 

 

Bengkel Jawi Dapat Sambutan

18 Januari 2020 (KUANTAN) – Persatuan Pelajar Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS menganjurkan Bengkel Jawi 3.0 pada hari ini bertempat di Dewan Kuliah 6. Bengkel disertai seramai 102 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Diploma KUIPSAS.

Bengkel dikendalikan oleh Munsyi Dewan Jawi iaitu Ustazah Seriayuna Sa’don Zubir yang juga merupakan pensyarah Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS. Program diadakan bertujuan untuk untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada para pelajar mengenai kaedah penulisan jawi.

 

Kempen Cinta Jawi Kafa Masjid KUIPSAS

16 Januari 2020 (KUANTAN) – KAFA Masjid KUIPSAS dengan kerjasama Persatuan Pelajar Dakwah dan Pengurusan menganjurkan Kempen Cinta Jawi pada hari ini. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti Ceramah Penguasaan Kemahiran Jawi yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Safiah bt Abd. Razak, pensyarah Jabatan Dakwah KUIPSAS yang juga salah seorang Munsyi Dewan Jawi Pahang.

Murid-murid KAFA Masjid KUIPSAs juga diuji tahap penguasaan kemahiran menulis dan membaca jawi dalam slot LDK bersama fasilitator. Bersempena dengan program ini juga, satu kajian berkaitan tahap penguasaan kemahiran jawi murid-murid KAFA ini dijalankan oleh pensyarah KUIPSAS dalam usaha menambahbaik sistem pengurusan pendidikan KAFA Masjid KUIPSAS.

Pelancaran kempen telah dirasmikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS merangkap Pengerusi KAFA Masjid KUIPSAS.

 

KUIPSAS Dedah Asas Tulisan Jawi Di Sekolah

Sinar Harian | 16 Januari 2020

KUANTAN – Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) bekerjasama dengan pihak sekolah di negeri itu bagi mendedahkan kaedah asas penulisan jawi dalam kalangan pelajar dan guru.

KUIPSAS yang dilantik sebagai Pusat Rujukan Ejaan Jawi di seluruh Pahang melahirkan 24 Munsyi Jawi di negeri ini melalui program yang dianjurkan bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Penyelaras Munsyi Dewan Jawi yang juga Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar KUIPSAS, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bagi menjayakan program semarak jawi di sekolah, KUIPSAS akan menyediakan Munsyi Jawi untuk berkongsi ilmu bagi mendalami asas kaedah penulisan itu.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu tulisan jawi diajar di sekolah sehingga ke peringkat universiti.

“Pada masa sama, usaha ini seiring dengan dasar kerajaan negeri Pahang yang menguatkuasakan penggunaan tulisan jawi bermula Ogos tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dr Asmadi berkata, bagi mencapai matlamat itu, pihaknya bekerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai melalui penganjuran Program Semarak Jawi yang disertai 150 peserta.

Menurutnya, program sehari itu memberi peluang kepada pelajar untuk mengetahui isu terkini berhubung tulisan jawi khususnya di Pahang.

“SMK Ubai mengambil langkah proaktif dengan memberikan pendedahan kepada pelajar dan guru tentang kaedah asas penulisan jawi. Bagi menjayakan program itu, KUIPSAS menghantar dua Munsyi Jawi untuk berkongsi ilmu.

“SMK Ubai merupakan sekolah menengah pertama di daerah Pekan yang bekerjasama dengan kami menjayakan program semarak tulisan Jawi ini. Maklum balas daripada pelajar sangat baik dan mereka ternyata amat berminat dengan tulisan ini,” katanya.

Ziarah Dakwah dan Pemutihan Saudara Baru Orang Asli Sg Ruai Raub

Program: Ziarah Dakwah dan Pemutihan Pendaftaran Saudara Baru Orang Asli Sg Ruai Raub

Tarikh: 14- 16 Januari 2020
Hari: Selasa – Khamis
Tempat: Kampung Orang Asli Sg Ruai Raub

 

Sukan Ria BAKKIP Erat Ukhuwwah

6 Disember 2019 (KUANTAN) – Sukan Ria BAKKIP 2019 melabuh tirai hari ini selepas semua atlet bertanding selama 4 hari. Semua warga KUIPSAS mewakili 4 pasukan iaitu Hijau, Merah, Kuning dan Biru. Sebanyak 8 acara dipertandingkan untuk kategori Lelaki iaitu Karom, Sepak Bulu Tangkis, Sepak Takraw, Bola Tampar, Tarik Tali, Ping Pong, Badminton dan Bola Sepak. Manakala bagi kategori Perempuan pula sebanyak 7 acara dipertandingkan iaitu Boling Padang, Congkak, Warna Warni, Badminton, Ping Pong, Bola Tampar dan Bola Jaring.

Pelbagai aksi telah dipamerkan oleh semua atlet yang bertanding. Walaupun setiap pasukan bersaing untuk mencapai kemenangan dalam setiap acara, kejohanan ini telah berjaya mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anggota kerja KUIPSAS. Di samping itu, setiap AKK dapat bergaul mesra tanpa mengira pangkat dan kedudukan serta bakat-bakat baru telah berjaya dicungkil bagi setiap acara yang dipertandingkan.

Dalam Majlis Penutup yang diadakan di Dewan Utama KUIPSAS, pasukan Rumah Biru telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan selepas meraih jumlah mata tertinggi menewaskan 3 lagi pasukan yang lain.

Dalam majlis itu juga menyaksikan En. Mohd Fairuz bin Mohd Yusof (Jabatan HEPA) diumumkan sebagai Olahragawan KUIPSAS manakala Puan Siti Noor Binti Bakar (Jabatan Akademik) dipilih sebagai Olahragawati KUIPSAS 2019. Kedua-dua mereka adalah atlet dari rumah Merah.

 

ms_MYMalay