Exco Kerajaan Negeri Pahang Ziarah Pelajar KUIPSAS

24 Mac 2020 (KUANTAN) – Para pelajar yang kekal tinggal di asrama hari ini menerima kunjungan daripada YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang. Beliau yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB) meluangkan masa kira-kira satu jam untuk melihat sendiri pengurusan kebajikan yang disediakan oleh KUIPSAS kepada pelajar-pelajar yang berada di asrama. Beliau juga beramah mesra bersama pelajar-pelajar dan memberikan nasihat serta motivasi kepada mereka.

Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan kewangan bagi menampung kos penyediaan makanan kepada pelajar-pelajar yang tinggal di asrama sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada masa ini. Kunjungan YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim ini disambut oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman serta turut dihadiri oleh Pengurusan Kanan KUIPSAS.

 

MUIP Salur Sumbangan Kepada kakitangan Dan Pelajar

24 Mac 2020 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini menyalurkan sumbangan berbentuk barang keperluan sebanyak 100 pek kepada warga KUIPSAS. Sumbangan tersebut kemudiannya diagihkan kepada kakitangan KUIPSAS terpilih dan pelajar-pelajar yang tinggal di rumah-rumah sewa.

Agihan telah dilaksanakan oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Pendaftar, En. Mohd Zamri bin Wahab dan Penolong Pendaftar Sumber Manusia, En. Mohd Hider bin Othman. Sumbangan ini telah dapat membantu para penerima dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada masa ini.

 

Orang Awam Sumbang Makanan

20 Mac 2020 (KUANTAN) – Orang awam mula tampil menyampaikan sumbangan makanan berbungkus kepada pelajar-pelajar KUIPSAS pada hari ke-3 Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Juadah makan tengahari yang siap dibungkus ini diedarkan sendiri oleh penyumbang kepada pelajar-pelajar yang tinggal di asrama sepanjang perintah ini dilaksanakan. Turut hadir ialah Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin serta AJK Pengurusan Bencana KUIPSAS dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) KUIPSAS.

 

KUIPSAS Jalin Ukhuwwah Dan Berkongsi Ilmu Bersama Warga Raub

28 Februari 2020 (RAUB) – Program Jelajah Rektor Dan Delegasi KUIPSAS ke daerah Raub berjaya menjalinkan ukhuwwah dan berkongsi ilmu pengetahuan bersama warga daerah Raub. Sesi Kunjungan Hormat, Tazkirah dan Diskusi yang diadakan telah mendekatkan lagi KUIPSAS di hati warga daerah Raub.

Hari kedua program jelajah dimulakan dengan Sesi Tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Rektor KUIPSAS di Masjid Kampung Sempam. Tazkirah Subuh yang dihadiri kira-kira 100 orang jemaah itu menyentuh mengenai kepentingan waktu Subuh atau waktu pagi untuk memohon tiga perkara kebaikan iaitu subuh ilmu yang bermanafaat, rezeki yang baik, dan amalan diterima oleh Allah SWT.

Sesi seterusnya ialah Majlis Perkongsian Ilmu bersama warga kerja Majlis Daerah Raub (MDR). Rektor KUIPSAS menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Membuka Pintu Rezeki’ yang dihadiri seramai 100 orang warga kerja MDR. Turut hadir ialah Setiausaha MDR, Tuan Mohd Pauzi Bin Hj. Abu Hussaini.

Serentak berlangsung ialah Sesi Perkongsian Ilmu di Surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Tazkirah bertajuk ‘Peristiwa Akhir Zaman’ disampaikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni kepada 100 orang warga PDRM di IPD Raub.

Jelajah diteruskan lagi dengan Sesi Kunjungan Hormat ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Raub. Kunjungan berfokus kepada perbincangan mengenai kerjasama yang boleh dijalinkan secara bersama supaya manafaat kepada umat Islam di daerah Raub dapat diperluaskan. Kunjungan hormat disambut oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah Raub, Tuan Mohd Zainuddin bin Zakaria dan Timbalan Qadhi, Tuan Amirul Farhan bin Wahi.

Sesi Kunjungan Hormat diteruskan ke Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Ad-Dinniyyah, Dong. Kunjungan disambut oleh Ustaz Hafiz dan Ustaz Abdul Razak. Kunjungan berkisar mengenai perkongsian maklumat terkini KUIPSAS serta kerjasama dalam bidang pendidikan yang boleh dijalinkan di antara kedua-dua pihak.

 

Pelajar Pengurusan Anjurkan CSR Bersihkan Perkuburan

22 Februari 2020 (KUANTAN) – Fakulti Pengajian Pengurusan (FPP) KUIPSAS hari ini menganjurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) – Pembersihan Tanah Perkuburan bertempat di Tanah Pekuburan Batu 8, Jalan Gambang, Kuantan.

 

Masjid Tour UNESCO HERITAGE Xploration Penang

22 Februari 2020 (PULAU PINANG) – Ahli-ahli Kelab Sahabat Siswa (KESSIS) KUIPSAS sertai program Masjid Tour yang merupakan program komunikasi dakwah kepada non Muslim melalui kaedah Perlancongan Masjid. Program diadakan di Masjid Lebuh Acheh, Masjid Kapitan Keling dan Islamic Outreach ABIM (IOA) Penang.

 

Info lanjut di FB Kessis Kuipsas.

 

MASJID TOUR | UNESCO HERITAGE XPLORATION PENANG

Alhamdulillah, Masjid Tour merupakan aktiviti terakhir untuk Program Unesco Heritage Xploration. Sebelum memulakan aktiviti, para peserta diberikan taklimat ringkas berkaitan Masjid Tour. Bagaimana nak mulakan perbualan, jika ada yang betul berminat untuk masuk islam apa tindakkan yang perlu dilakukan dll. Aktiviti ini fokus adalah untuk berkongsi kepada pelancong/ non muslim berkaitan masjid dan Islam.

Aktiviti dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan pertama berada di Masjid Lebuh Acheh, kumpulan kedua di Masjid Kapitan Keling & kumpulan ketiga di Islamic Outreach ABIM Penang. Peserta diberikan peluang untuk berkongsi tentang masjid dan islam kepada pelancong dan non muslim. Pada mulanya agak gementar untuk mulakan bicara bersama pelancong/ non muslim. Tapi, bila dah seronok berbicara sampai takcukup masa pula. Ada yang berjumpa dengan orang Indonesia, German, Italy dll negara.

Semoga dengan adanya aktiviti dan pendedahan seperti ini membuatkan pelajar KUIPSAS lebih bersemangat untuk mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kelas dalam arena lapangan.

 

 

Bengkel Asah Kemahiran Komunikasi Dengan Non Muslim

22 Februari 2020 (KUANTAN) – Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Dakwah (PERSADA) dan Jabatan Dakwah KUIPSAS hari ini menganjurkan program Bengkel Perbandingan Agama bertempat di Dewan Barakah KUIPSAS. Program yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang itu disertai seramai 35 orang mahasiswa KUIPSAS dan orang awam dan dikendalikan sepenuhnya oleh Sdr. Lim Jooi Soon.

Program diadakan bertujuan untuk mengasah kemahiran berkomunikasi dan berhujah mengenai agama-agama di Malaysia dalam kalangan peserta. Selain itu, program juga memberikan pendedahan berkenaan strategi mendekati sasaran dakwah bukan Islam. Dalam masa yang sama, peserta dilatih supaya berani berhujah dan berhadapan dengan masyarakat non Muslim dengan penuh keyakinan dan keberanian.

Dalam program tersebut, penceramah telah menjelaskan perbezaan-perbezaan di antara agama-agama di Malaysia. Aktiviti bengkel pula memfokuskan kaedah strategik untuk berhadapan dengan sasaran dakwah serta teknik menjawab persoalan dengan yakin. Program turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Dakwah KUIPSAS, Ustazah Nor Fadelah Nordin dan pensyarah-pensyarah Jabatan Dakwah.

Lim Jooi Soon Bro Lim Jooi Soon – Page

 

Feed The Homeless UNESCO HERITAGE Xploration Penang

21 Februari 2020 (GEORGETOWN) – Ahli-ahli Kelab Sahabat Siswa (KESSIS) KUIPSAS sertai program Feed The Homeless di sekitar KOMTAR dan Jalan Chowrasta, Pulau Pinang. Program dianjurkan bersama KESSIS dan Islamic Outreach ABIM (IOA) Pulau Pinang. Ahli-ahli KESSIS dapat mempraktikkan ilmu-ilmu kesukarelaan dengan berinteraksi bersama gelandangan dan mengedarkan roti dan air mineral kepada mereka.

Info lanjut di FB Kessis Kuipsas.

 

Sayang Di Sayang Bersama Warga Emas OKU

21 Februari 2020 (TEMERLOH) – Pelajar-pelajar Diploma Kaunseling Islam hari ini menyantuni Warga Emas Kelainan Upaya dalam Program Sayang Di Sayang bertempat di Pusat Jagaan Rumah Sejahtera, Kampung Lebak, Temerloh

Program bertujuan untuk melatih pelajar-pelajar diploma ini mengendalikan sesi bimbingan individu, sesi bimbingan kelompok, sukaneka dan gotong-royong di pusat jagaan tersebut. Pelajar-pelajar juga dapat membentuk kesedaran tentang kepentingan menyantuni warga emas serta didedahkan dengan langkah-langkah menguruskan warga emas kelainan upaya.

Program turut dihadiri oleh En. Shohaimi Abd Latif (Pengetua Pusat Jagaan), En. Mohd Fikri bin Mohd Mokhtar (Pensyarah Kaunseling Islam) dan dua orang pelajar praktikum.

 

Siswa KUIPSAS Tanam Pokok Bantu Pulih Hutan Cameron Highland

15 Februari 2020 (CAMERON HIGHLAND) – Seramai 10 orang siswa ahli Sekretariat Generasi Anak Pahang (GENAP) dan seorang pengiring telah menyertai Program Penanaman Pokok Pemulihan Hutan Cameron Highland yang diadakan pada hari ini di Hutan Simpan Sungai Ichat, Kuala Terla, Cameron Highland. Program dianjurkan oleh Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET) dan turut dijayakan bersama Sukarelawan Tunas Warisan (STW), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang.

Program telah disempurnakan oleh YAM. Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Siswa KUIPSAS bersama semua sukarelawan yang hadir telah menanam sebanyak 1,500 pokok hutan di kawasan seluar 16 hektar itu. Pokok hutan yang ditanam ialah pokok Damar Minyak (Agathis Borneensis) yang bakal mengambil masa 30 tahun untuk matang dan menjadi balak.

 

ms_MYMalay