Program Khidmat Masyarakat Di Felda Bukit Goh Babitkan 50 Orang Pelajar UnIPSAS

3 Julai 2022, Kuantan – Setelah selesai berlangsungnya Program Kepimpinan Altruistik (PKA) anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan yang diadakan dua hari sebelumnya, para peserta telah berpeluang mengadakan khidmat masyarakat di Felda Bukit Goh.

Pelbagai kerja-kerja yang dapat dibantu antaranya ialah aktiviti mengecat Dewan Semai Bakti Felda Bukit Goh, membersihkan kawasan dewan dan juga beramah mesra bersama masyarakat setempat.

Menutup majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni , YBrs. Dr. Haji Ahmad Effat bin Mokhtar berkata “Walaupun sudah masuk hari ke 14 pelajar UnIPSAS berprogram berturut-turut sebelum itu, namun semangat dan kerajinan mereka sangat dipuji. Inilah semangat kesukaralewanan yang sepatutnya ada dalam kalangan belia Islam. Sebagaimana Rasulullah SAW sendiri yang menunjukkan semangat kesukaralewanan, bertolong bantu dalam perkara-perkara kebaikan sehingga Islam akhirnya tersebar sehingga ke nusantara”

Turut hadir sama, Ketua Kem Wawasan Negara Bukit Sagu, YBhg. Encik Kamalifauzi bin Abd Rashid, Penolong Pengarah Kem Wawasan Negara Bukit Sagu, YBhg.Encik Mohd Azeed Nazwan bin Zakaria, Pengurus Felda Bukit Goh, YBhg. Encik Radzuan bin Rozali dan Ketua Peneroka Felda Bukit Goh, merangkap Tok Empat, YBhg. Encik Ahmad Faizal bin Ramli.

HEPA akan merancang pelbagai lagi aktiviti khidmat masyarakat di lokasi lain bagi memberi ruang kepada pelajar berkhidmat dan berinteraksi dengan komuniti selain meningkatkan _visibility_ UnIPSAS di mata masyarakat Pahang khususnya dan di Malaysia amnya.

Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing

9 Jun 2022, Pekan – Begitulah takdir yang terjadi kepada pelajar Diploma Pengajian Media Islam, UnIPSAS Saudara Ahmad Romadhan bin Sakrni, bapanya telah ditimpa serangan angin ahmar (strok) dan hilang keupayaan untuk bekerja dan menguruskan diri. Lebih sulit lagi, adiknya juga yang dikategorikan sebagai autisme turut tidak mampu menguruskan diri.

Keluarganya hanya bergantung dengan pendapatan ibunya yang bekerja sebagai guru agama dan sedikit bantuan berbentuk baucar RM200 dari Pasaraya Darul Makmur (Makmur).

Bagi membantu meringankan beban yang dialami oleh keluarga beliau, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni telah menyerahkan sumbangan yang disampaikan oleh Penolong Pendaftar Jabatan HEPA, Encik Abi Sofian bin Abdul Aziz

Kami seluruh warga Jabatan HEPA mendoakan semoga apa yang dilalui oleh Saudara Ahmad Romadhan dipermudahkan segala urusan dan mendapat kesembuhan yang segera.

Warga UnIPSAS Terjejas Banjir Terima Sumbangan BAKKIP

Warga UnIPSAS Terjejas Banjir Terima Sumbangan BAKKIP

18 JANUARI 2022 (KUANTAN) – Badan Amal Dan Kebajikan Kakitangan KUIPSAS (BAKKIP) menyampaikan sumbangan kepada Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) yang telah terjejas dengan bencana banjir yang berlaku pada bulan lepas.

Seramai 70 orang AKU menerima sumbangan melibatkan mereka yang terjejas kerana rumah dimasuki air banjir dan mengalami kerosakan harta benda.Sumbangan disampaikan oleh Presiden BAKKIP, YH. Dato’ Dr. Hj. Ahmad Munawar bin Abdul Jalil sempena Majlis Kesyukuran Anggota Kerja UnIPSAS yang diadakan di Dewan Astana Hotel Grand Darulmakmur Kuantan.

Masjid Negeri Santuni Warga UnIPSAS Terjejas Banjir

27 Disember 2021 (Isnin) : Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan hari ini tampil menghulurkan bantuan kepada Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) yang terjejas banjir baru-baru ini.Bantuan yang disalurkan menerusi Program “Santunan Dhua’fa” itu disampaikan sendiri oleh Imam Besar, YH. Dato’ Haji Badli Shah bin Haji Alauddin.

Majlis diadakan di Porch Utama UnIPSAS pada jam 8.30 pagi yang turut dihadiri oleh Naib Canselor, YH. Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan Pegawai-Pegawai Kanan UnIPSAS.Bantuan berbentuk barang-barang keperluan harian itu disampaikan kepada 68 orang AKU yang telah terjejas banjir.

Bantuan yang diberikan bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung serta mengeratkan hubungan silaturrahim di antara institusi-intistusi agama di negeri ini. UnIPSAS Pasti Bangkit!

Infaq Darah Sempena Hari Kebangsaan

30 OGOS 2021 (KUANTAN) – KUIPSAS berkerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Pahang, Tabung Darah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang dan McDonalds telah menganjurkan Program Infaq Darah Merdeka pada 30 Ogos 2021 yang lalu.
Program yang diadakan di Pejabat APM Pahang, Jalan Beserah Kuantan itu telah berjaya menarik kehadiran penderma-penderma dan berjaya mencapai jumlah pain darah yang disasarkan.

Kelab Kokurikulum Bantu PKRC

26 Mei 2021 (KUANTAN) – Kelab-kelab pelajar yang bernaung di bawah Kokurikulum Wajib KUIPSAS seperti Kelab Khidmat Masyarakat dan Kelab Taekwando telah menyelaraskan bantuan kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang beroperasi di KUIPSAS.
Sumbangan yang diterima daripada orang ramai dimanfaatkan oleh Kelab-Kelab Koko Wajib dengan menyediakan makanan dan minuman ringan untuk diagihkan kepada pesakit-pesakit di PKRC Kuantan.
Sumbangan diserahkan kepada Ketua Operasi PKRC KUIPSAS, Dr. Rohaya Bt Muda.

Pelajar Di Rumah Sewa Terima Sumbangan Ramadan

12 April 2021 (KUANTAN) – Menjelang ketibaan Ramadan tahun ini, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) KUIPSAS menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada pelajar yang tinggal di rumah-rumah sewa sekitar KUIPSAS.
Sumbangan yang disalurkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) itu telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Haji Ahmad Effat bin Mokhtar, Timbalan Rektor HEPA sambil diiringi oleh Pegawai-Pegawai Jabatan HEPA KUIPSAS.

KUIPSAS Pelopor Sumbangan Wakaf Berpusat

21 Januari 2021 (KUANTAN) – KUIPSAS diiktiraf sebagai pelopor sumbangan wakaf secara berpusat kerana menggalakkan kakitangannya membuat potongan gaji untuk disumbangkan kepada Wakaf Pahang setiap bulan. Demikian menurut YH. Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, Pengurus Besar Kanan Zakat Dan Wakaf Pahang dalam Majlis Penyerahan Dana Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang di Masjid KUIPSAS hari ini.
Menurutnya lagi, persepsi terhadap wakaf telah banyak berubah dan menunjukkan perkembangan yang hebat daripada hanya pembangunan tanah kepada wakaf tunai serendah RM5 pada masa kini. Perkara ini lebih memudahkan umat Islam untuk berwakaf kerana tidak terikat dengan jumlah dan masa tertentu supaya sumber kedua kekuatan ekonomi umat Islam ini dapat dikembangkan.
Dalam majlis tersebut, Masjid KUIPSAS menerima penyerahan Dana Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan projek naik taraf kemudahan-kemudahan untuk keselesaan umat Islam yang hadir menunaikan ibadah.
Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Masjid KUIPSAS telah menerima sumbangan tersebut daripada Dato’ Hj. Halidan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Rektor KUIPSAS menyatakan bahawa KUIPSAS sentiasa menyokong penuh usaha Pusat Zakat Dan Wakaf Pahang dengan menyerahkan Borang Sumbangan Wakaf oleh kakitangan KUIPSAS untuk pembangunan wakaf di negeri Pahang.

Misi Bantuan Ke-11 Di SMK Mengkarak

21 Januari 2021 (BERA) – Sukarelawan KUIPSAS meneruskan Misi Bantuan Pasca Banjir 2021 dengan menyertai Sukarelawan Pahang melakukan kerja-kerja pembersihan SMK Mengkarak, Bera. Seramai 26 orang sukarelawan menyertai misi bantuan ini bagi membantu memulihkan SMK Mengkarak selepas ditenggelami banjir baru-baru ini.
Misi bantuan kali ini menjadi lebih bermakna kerana turut dihadiri oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail serta diiringi oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.

Misi Ke-10 Bantuan Pasca Banjir Di Chenor

20 Januari 2021 (CHENOR) – Sukarelawan KUIPSAS meneruskan Misi Bantuan Pasca Banjir ke-10 dengan membersihkan rumah Bilal Masjid KUIPSAS di Kampung Sekara, Chenor. Seramai 21 orang sukarelawan digerakkan ke lokasi yang terletak berdekatan dengan tebing Sungai Pahang.
Misi ke-10 ini agak mencabar kerana lokasi diselaputi lumpur tebal disebabkan air Sungai Pahang yang melimpah masuk ke kawasan rumah. Namun, berkat kerjasama semua sukarelawan, misi bantuan dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya.
Sukarelawan KUIPSAS turut mendapat perhatian YB. Ustaz Mujibur Rahman bin Ishak, ADUN Chenor yang sedang menziarahi penduduk-penduduk terjejas banjir di Kampung Sekara, Chenor.
ms_MYMalay