Perkongsian Pintar Bersama SMK Tanjung Lumpur

21 September 2018 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini menandatangani persefahaman bersama Sek. Men. Keb. Tanjung Lumpur, Kuantan untuk membina Perkongsian Pintar yang akan memberi manafaat kepada kedua-dua pihak. Dalam majlis ringkas yang dihadiri oleh Pengetua SMK Tanjung Lumpur, Tn Haji Muhammad Azhar Bin Muhammad Ishak, beliau menjelaskan Perkongsian Pintar yang dijalin ini akan memberi faedah kepada pelajar-pelajar mereka terutama hala tuju melanjutkan pengajian selepas tamat persekolahan.

Rektor KUIPSAS, Dato’ Hj. Yahya bin Zainal Abidin menyambut baik usaha mengadakan Perkongsian Pintar ini yang turut melebarkan jaringan KUIPSAS dengan pihak-pihak yang mempunyai aspirasi sama dalam bidang pendidikan. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi, Pendaftar, Penolong Pendaftar Perhubungan Korporat serta Guru Kaunseling SMK Tanjung Lumpur.

  

Graduan KUIPSAS Bersedia Ke AL-AZHAR MESIR

15 September 2018 (KUANTAN) – Selepas menghadiri Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) selama 2 bulan, seramai 15 orang graduan KUIPSAS dalam bidang Pengajian Islam sudah bersedia untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar, Mesir. Peluang menyambung pengajian ke universiti tersohor ini hasil daripada perjanjian persefahaman yang dimateri di antara KUIPSAS dengan Universiti Al-Azhar, Mesir.

  

Dalam Majlis Penutupan KIBA 2018 yang dirasmikan oleh YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Bin Syed Ahmad, Pengerusi  Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang itu, semua peserta KIBA telah menerima Sijil Penyertaan serta sedikit sumbangan yang disampaikan oleh YB. Dato’ Sri. Dalam ucapan perasmiannya, YB. Dato’ Sri menasihati para pelajar supaya jangan malu untuk bertutur dalam Bahasa Arab dengan masyarakat tempatan serta alim ulama di Mesir selain perlu tekun dengan urusan menuntut ilmu pengetahuan.

Majlis yang turut dihadiri oleh Rektor KUIPSAS, Timbalan Rektor, Dekan Fakulti Pengajian Islam serta pensyarah-pensyarah Jabatan Bahasa Arab dan pensyarah-pensyarah berasal dari Mesir disajikan dengan persembahan ‘kalam jamaiy’ oleh peserta KIBA tersebut. Peserta-peserta KIBA ini akan berangkat ke bumi Mesir pada bulan Oktober nanti dan akan terus mengikuti pengajian dalam tahun kedua bagi pelajar Kulliah Lughah dan tahun ketiga bagi pelajar Kulliah Usuluddin dan Syariah. Terdahulu daripada ini, seorang pelajar KIBA ini juga sudah melanjutkan pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan.

Selamat Maju Jaya diucapkan kepada mereka semua.

     

Pensijilan ISO KUIPSAS Dinaiktaraf

14 September 2018 (KUANTAN) – Pihak pengurusan dan seluruh anggota kerja KUIPSAS melafazkan kesyukuran kerana sesi audit bersama Auditor SIRIM telah berjalan dengan lancar. Sesi audit selama 3 hari tersebut bertujuan untuk menyemak secara terperinci pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti KUIPSAS.

   

Auditor SIRIM terdiri daripada Pn. Nor Hasifah Abdul (Ketua Auditor), Cik Hajah Hanida Ghazali dan Dr. Mohd Shahril Ahmad Ramizi. Sepanjang sesi audit dilaksanakan, tiada Laporan Ketidakpatuhan (NCR) dilaporkan oleh auditor dan beberapa Peluang Penambahbaikan (OFI) dibentangkan dalam Mesyuarat Penutupan Audit.

Dengan ini, Auditor SIRIM telah membuat rekomendasi supaya Pensijilan MS1900:2014 disambung dan Pensijilan ISO dinaiktaraf kepada versi terbaharu iaitu ISO9001:2015.

   

KUIPSAS dan UMP Advance Bincang Potensi Kerjasama

03 September 2018 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi UMP Advanced yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Mohamad Rozi bin Hassan. Pertemuan ini menjurus kepada perbincangan untuk mengembangkan potensi kerjasama di antara kedua-dua pihak khususnya dalam penawaran program-program pengajian berbentuk profesional dan eksekutif kepada orang ramai. KUIPSAS diketuai oleh Rektor, YH. Dato’ Hj. Yahya bin Zainal Abidin dalam perbincangan tersebut.

    

Sambutan Hari Kemerdekaan ke 61 Peringkat Negeri Pahang, KUIPSAS

31 Ogos 2018 / 19 Zulhijjah 1439H – KUIPSAS sertai Perbarisan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke 61 peringkat Negeri Pahang yang telah diadakan di Padang MPK1 dan Jalan Mahkota pagi tadi.

Salam Kemerdekaan. Sayangi Malaysiaku.

      

Auditorium KUIPSAS Mercu Tanda Baharu

29 Ogos 2018 / 17 Zulhijjah 1439H – Sukacita dimaklumkan bahawa Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Shah (KUIPSAS) akan menerima satu lagi kemudahan berbentuk bangunan baharu yang dinamakan Auditorium KUIPSAS. Majlis Penyerahan akan diadakan pada 29 Ogos 2018 (Rabu) jam 2.30 petang oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang, YH. Dato’ Ir. Haji Abdul Jalil Bin Haji Mohamed, DSAP., DIMP kepada YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin, DSAP., AAP., AMN.

 

  

Keseluruhan projek pembinaan Auditorium KUIPSAS ini bernilai RM12,000,000.00 yang dibiayai melalui peruntukan kewangan daripada Kerajaan Negeri Pahang dan dikelolakan oleh Bahagian Perancangan Ekenomi Negeri (BPEN). Projek ini telah mendapat kelulusan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK 10) pada tahun 2015 dan selesai dibina pada tahun 2018. Kontraktor utama yang telah dilantik untuk membangunkan projek ini ialah AZM JITU Sdn. Bhd.

Auditorium KUIPSAS ini boleh memuatkan seramai 500 orang dalam satu masa. Ianya dilengkapi dengan sistem audio dan visual yang terkini serta sistem pencahayaan yang menarik. Auditorium ini akan digunakan untuk aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di KUIPSAS selain program-program ilmiyah yang boleh dihadiri oleh orang awam.

 

          

Ibadah Korban Di Masjid KUIPSAS

25 Ogos 2018 / 13 Zulhijjah 1439H (KUANTAN) – Sebanyak 2 ekor lembu telah dikorbankan pada hari ini dalam Program Ibadah Korban & Gotong Royong Jamuan sempena Aidil Adha 1439H Masjid KUIPSAS. Program ini anjuran Kelas Tafaqquh Fiddin Masjid KUIPSAS dengan kerjasama Masjid KUIPSAS. Semoga ibadah korban ini diterima di sisi Allah SWT.

          

Kontinjen Terima Panji Keramat KUIPSAS

15 Ogos 2018 (KUANTAN) – Semangat sudah membara, impian sudah terpahat di dada, perjuangan sudah bermula. Kontinjen KUIPSAS yang akan menyertai MASISWA Networking Games 2018 petang ini telah menerima bendera rasmi KUIPSAS untuk dikibarkan sepanjang kejohanan tersebut. Penyerahan bendera oleh Rektor KUIPSAS, YH. Dato’ Hj. Yahya bin Zainal Abidin kepada Ketua Kontinjen KUIPSAS, En. Muhamad Suffian Ibrahim itu telah diadakan selepas semua atlit KUIPSAS mendengar Amanat Rektor sebelum memulakan cabaran dalam kejohanan kali ini.

Bagi edisi MASISWA Networking Games 2018 ini, KUIPSAS akan menyertai 6 acara iaitu Futsal, Badminton, Ping Pong, Bola Jaring, Bola Tampar dan Bowling. Kejohanan akan bermula pada 16 Ogos hingga 19 Ogos 2018 di samping Kolej Universiti Yayasan Pahang dipilih menjadi tuan rumah.

  

Istiadat Konvokesyen ke-17 KUIPSAS, Kemeriahan, Kemesraan dan Kesyukuran

11 Ogos 2018 (KUANTAN) – Seramai 388 orang graduan menerima Diploma sempena Istiadat Konvokesyen ke-17 KUIPSAS daripada YAB. Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang merangkap Pro Canselor KUIPSAS. tahniah!!

                  

Lawatan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah Perkukuh Hubungan

9 Ogos 2018 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini sangat bertuah kerana menerima lawatan daripada pihak pengurusan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Singapura. Lawatan yang disertai seramai 9 orang kakitangan ini diketuai oleh Tuan Syed Mustafa Alsagoff, Mudir Madrasah. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau kemudahan-kemudahan yang disediakan di KUIPSAS selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai program-program pengajian yang ditawarkan di KUIPSAS.

Sepanjang lawatan berlangsung, delegasi Madrasah Alsagoff telah dibawa melawat Perpustakaan KUIPSAS. Mereka telah diberikan penerangan oleh Pn. Azrianie Roslan, Ketua Pustakawan, mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di Perpustakaan KUIPSAS. Delegasi kemudiannya dibawa bertemu dengan 16 orang bekas pelajar Diploma KUIPSAS yang sedang mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti di Jordan. Dalam sesi ramah mesra ini, Mudir Madrasah Alsagoff turut mengambil peluang memberikan nasihat dan tips untuk mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar nanti.

Delegasi seterusnya dibawa melawat ke Auditorium KUIPSAS yang baru siap dibina. Dalam taklimat mengenai projek pembinaan auditorium yang telah disampaikan oleh Penolong Pendaftar Pentadbiran Am, En. Mohd Sufian Ibrahim, beliau menyatakan auditorium ini akan merancakkan lagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran di KUIPSAS serta akan diserahkan dalam masa terdekat kepada KUIPSAS.

Lawatan diakhiri dengan sesi ramah mesra dan bertukar-tukar maklumat mengenai program-program pengajian di KUIPSAS serta cadangan kerjasama yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang demi kebaikan bersama kedua-dua pihak.

KUIPSAS sangat berbesar hati menerima lawatan yang sangat bermakna ini sebagai tanda kerjasama dan persefahaman erat di antara kedua pihak. Dr. Sharafudin Aisa Osman (Timbalan Rektor HEPA) yang mengetuai pihak KUIPSAS dalam lawatan ini berharap agar kerjasama lebih erat dapat direalisasikan pada masa akan datang. Lawatan ini juga sangat bermakna kerana turut dihadiri oleh dua oleh bekas pelajar diploma KUIPSAS berasal dari Singapura yang kini menjawat jawatan Ketua Jabatan di Madrasah Alsagoff.

         

ms_MYMalay