Pelancaran Buku Mantan Presiden KIPSAS

KUIPSAS akan menganjurkan Majlis Pelancaran Dan Menandatangani Buku yang berjudul “Glimpses Of The Past” pada hari Khamis 26 September 2019 bersempena dengan Majlis Perasmian Penutupan Seminar Antarabangsa Pengajian Islam 2019 (SePIA 1.0). Majlis akan diadakan di Auditorium KUIPSAS.

Buku ini adalah hasil nukilan YH. Dato’ Haji Abdul Razak Bin Abu, Mantan Ketua Eksekutif ke-2 KUIPSAS dan Presiden Pertama KIPSAS. Kandungan buku memuatkan pengalaman berharga beliau selaku seorang pendidik dalam pelbagai peringkat samada di sekolah dan juga di Kementerian Pendidikan. Beliau menjawat jawatan selaku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang sebelum bersara dan dilantik menjadi Presiden KIPSAS selama 7 tahun dan 8 bulan.

 

Seminar Antarabangsa Setuju Perkasakan Pengajian Islam Dalam Era Revolusi Industri 4.0

26 September 2019 (KUANTAN) – “Cendekiawan dan ilmuwan Islam hari ini perlu bangkit untuk mengembalikan kegemilangan Islam sebagaimana yang telah dicapai oleh ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibnu Sina, al-Khawarizmi dan Ibnu Batutah yang telah mencetus revolusi dalam bidang ilmu Perubatan, Matematik dan Pelayaran pada ketika dunia Eropah masih berada dalam era kegelapan”. Demikian menurut YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang yang mewakili YAB. Menteri Besar Pahang ketika merasmikan Majlis Penutupan Seminar Pengajian Islam Antarabangsa (SePIA 1.0). Tambah beliau lagi, pencapaian Sains dan Teknologi hari ini sebenarnya banyak yang diasaskan oleh para cendekiawan Islam silam dan diambil oleh negara-negara barat untuk dimajukan.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar seminar ini diteruskan pada masa-masa yang akan datang dan mampu untuk menjadi platform kepada para cendekiawan dan ilmuwan Islam dari seluruh dunia berkongsi maklumat dan pandangan sebagai usaha memperkasakan umat Islam sehingga mampu untuk menerajui kemajuan di masa hadapan selain memperkukuh perpaduan sesama umat dari pelbagai negara.

SePIA 1.0 yang julung kali diadakan ini berlangsung selama 2 hari iaitu pada 25 dan 26 September bertempat di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dan bertemakan “Cabaran Pengajian Islam dalam Era Revolusi Industri 4.0”. Seminar ini bertujuan untuk memperkukuhkan bidang Pengajian Islam supaya mampu mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Seminar anjuran KUIPSAS dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ini melibatkan kehadiran seramai 12 orang pembentang dari Timur Tengah seperti Arab Saudi, Iraq, Mesir, Jordan, Sudan, Kuwait, Libya dan Yaman selain 60 orang pembentang dari Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei dan Malaysia sendiri.

Ucaptama seminar telah disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS bertajuk “Cabaran Pengajian Islam Dalam Era Revolusi Industri 4.0”. Di antara inti pati ucapan beliau adalah Islam sebenarnya tidak pernah menolak kemajuan selari dengan sabda Nabi SAW dalam Hadis Riwayat Muslim iaitu “kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian”. Revolusi Industri 4.0 ini juga telah membuktikan apa yang termaktub dalam al-Quran mendahului zamannya memandangkan fakta sains yang dinyatakan di dalam al-Quran telah terbukti benar melalui kajian-kajian yang dilakukan pada hari ini.

Antara pembentang-pembentang kertas utama yang lain dalam seminar ini adalah YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin, YBhg. Prof Dr. Abdul Basir bin Mohamed dan YBrs. Dr. Amran bin Muhammad.

Dalam Majlis Perasmian Penutupan seminar, YBrs. Dr. Ahmad Effat Mokhtar, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi KUIPSAS selaku pengarah seminar telah membentangkan resolusi seminar ini, antaranya:

1- Seruan agar para pendidik dan cendekiawan Islam sentiasa menyedari bahawa bidang Pengajian Islam sedang menghadapi cabaran yang kompleks untuk terus kekal relevan dalam era Revolusi Industri 4.0.

2- Menghayati falsafah, matlamat dan disiplin pengajian Islam dengan tepat supaya ilmu aqli dan naqli serta konsep thabat dan murunah dapat disampaikan dan diberi pemahaman yang betul kepada masyarakat.

3- Memahami kekuatan bidang Pengajian Islam untuk terus berkembang dan berdaya saing

4- Merancang pelan tindakan serta mengaplikasikan teknologi terkini dalam Pengajian Islam untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Seminar ini telah dihadiri oleh lebih 300 peserta dalam dan luar negara dan diharapkan dapat memberikan impak positif kepada hala tuju bidang Pengajian Islam agar kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Tahniah Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah

23 September 2019 (KUALA KETIL) – Seramai 40 orang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Kepujian Secara Kerjasama (KUIN-KUIPSAS) telah menerima ijazah mereka sempena Istiadat Konvokesyen UniSHAMS ke-21 yang diadakan pada hari ini. Graduan ini adalah mahasiswa yang mendaftar program ini bagi kumpulan ke-4 dan ke-5 pada Ambilan Disember 2014/2015 dan Jun 2015/2016 yang lalu.

Perjuangan menuntut ilmu mereka pada peringkat Ijazah Sarjana Muda telah diraikan dengan kegembiraan dalam istiadat yang berlangsung pada hari ini. Lebih manis apabila mahasiswa Ahmad Nafis bin Azami telah diumumkan untuk menerima Anugerah Jaizah Imtiyaz pada Sidang Ke-2 istiadat ini.

Selain itu, seramai 14 orang graduan telah menerima ijazah mereka pada peringkat Kelas Pertama (First Class Degree). Mereka ialah :

1- Ahmad Nafis bin Azami
2- Muhammad Zulhusni bin Abu Bakar
3- Abdullah Abbas bin Saaharatol Mat Kamal
4- Mohamad Ajrul Mukminin bin Yubaithullah
5- Mu’az bin Abdul Manaf
6- Amera Elyana binti Amrair

7- Fathimah Hawa binti Mohamad Kofli
8- Hafizah binti Shoimi
9- Maizatul Nazhifa binti Azhar
10- Nor Amira binti Amijudin
11- Nur Hafizah binti Che Ya @Yahya
12- Nur Shahira binti Sukri
13- Nur Syahirah binti Ibrahim
14- Siti Nurul Husna binti Sh Sulaiman

YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS turut menghadiri istiadat tersebut dan mengambil kesempatan untuk meraikan kesemua graduan selepas istiadat selesai. Turut mengiringi ialah Ustaz Abdul Halim bin Abdul Karim, Penyelaras Program dan En. Safuan Ariffin dari Jabatan Perhubungan Korporat.

Tahniah diucapkan kepada semua graduan dan didoakan semoga terus berjaya dalam apa jua yang diceburi pada masa hadapan.

Perkhemahan Bridged Bomba Tingkat Keyakinan Diri

15 September 2019 (MARAN) – Pada 13, 14 dan 15 september 2019, telah berlangsungnya program perkhemahan 3 hari 2 malam anjuran Kelab Bridged Bomba dan Penyelamat KUIPSAS dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Kuantan. Perkhemahan ini bertempat di Taman Eco Rimba Berkelah, Maran, Pahang dan disertai seramai 38 ahli kelab Bridged Bomba, 2 orang pensyarah pengiring, para fasilitator dan beberapa orang pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Kuantan.

Aktiviti pada hari pertama perkhemahan adalah mendirikan khemah ditapak perkhemahan, aktiviti memasak secara berkumpulan, aktiviti simpulan dan ikatan dan pada waktu malam telah diadakan aktiviti ‘survival cooking’ dan menghidupkan unggun api.

Pada hari kedua, awal pagi dimulakan dengan aktiviti senamrobik diikuti dengan aktiviti mendaki air terjun Berkelah. Pendakian berakhir dengan jayanya pada jam 4 petang dimana juga telah disertai seramai 4 orang pegawai bomba wanita dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Kuantan. Aktiviti pada waktu malam pula ialah ‘water confident’ yang dibuat seawal jam 3 pagi sehingga waktu subuh.

Program perkhemahan 3 hari 2 malam ini berakhir pada hari Ahad 15 September 2019. Majlis penutup dirasmikan oleh Ustaz Asshifa’ Ulhayat bin Jaidin iaitu penyelaras Kelab Bridged Bomba dan Penyelamat KUIPSAS.

Ustaz Azhar Idrus Hurai Kepentingan Niat

13 September 2019 (KUANTAN) – Buat julung kalinya, KUIPSAS menerima kehadiran ulamak tersohor Ustaz Azhar Idrus yang menyampaikan Kuliah Maghrib Perdana di Masjid KUIPSAS pada malam ini. Kuliah bermula selepas solat fardhu Maghrib dan dihadiri oleh Muslimin dan Muslimat yang sentiasa berminat dengan penyampaian ilmu dan kuliah agama oleh Ustaz Azhar Idrus.

Ustaz Azhar memulakan kuliah dengan menghuraikan kepentingan niat melalui hadith berkaitan niat riwayat Bukhari. Menurutya, hadith ini menghuraikan kepentingan niat dan amal serta hubung kait kehidupan di dunia dengan akhirat. Ulamak telah mengupas secara panjang lebar mengenai niat dan tempatnya adalah di dalam hati. Masalah yang dihadapi apabila beramal kerana hati sentiasa berbolak balik.

Beliau seterusnya menghuraikan hubung kait kehidupan di dunia sebagai medan bercucuk tanam untuk menikmati kehidupan di akhirat. Tujuan hidup di dunia adalah untuk kembali ke syurga sebagai tempat asal usul moyang pertama manusia iaitu Nabi Adam. Maka, hidup di dunia tidak dapat lari daripada amalan dan niat yang betul.

Menurut Ustaz Azhar lagi, niat sentiasa lebih indah daripada amal yang dilakukan. Maka, amalan yang baik tetapi diawali dengan niat yang jahat akan menghasilkan natijah yang buruk. Manakala, amalan jahat tetapi diniatkan dengan perkara kebaikan juga akan menghasilkan amalan yang tidak baik. Maka, senantiasalah kita menunaikan amalan yang baik dengan niat yang baik supaya hasil perbuatan tersebut akan sentiasa dalam keadaan kebaikan.

Kuliah Maghrib Perdana yang dianjurkan oleh KUIPSAS dan Pusat Islam Masjid KUIPSAS ini turut dimeriahkan dengan penganjuran program Pasar Malam Muamalat Perdana Kelab MyAgrosis KUIPSAS yang disertai oleh 55 orang peniaga. Pasar Malam Muamalat Perdana diadakan di perkarangan Masjid KUIPSAS sepanjang program kuliah berjalan di dalam masjid.

“FOMSSA” Kembali Menabur Budi Di Janda Baik

8 September 2019 (BENTONG) – Persatuan Pelajar Fakulti Pengajian Pengurusan (FOMSSA) KUIPSAS telah menganjurkan program Bakti Siswa 2019 selama 3 hari dan berakhir pada hari ini bertempat di Kampung Janda Baik, Bentong.

Program Bakti Siswa yang bertemakan “Kembali Menabur Budi” ini bertujuan untuk membina semangat kerjasama di antara mahasiswa serta meningkatkan kemahiran komunikasi berkesan dengan pihak komuniti.

Program ini melibatkan 40 orang ahli FOMSSA serta 9 buah keluarga angkat di kampung tersebut. Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang 3 hari berkampung di antaranya Program Motivasi, Gotong Royong dan Aktiviti Kerohanian.

Majlis Perasmian Penutup telah dirasmikan oleh YB. Puan Young Syefura binti Othman, Ahli Dewan Negeri Pahang Kawasan Ketari dan turut dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS, Pengerusi MPKK Kampung Janda Baik, keluarga angkat dan penduduk kampung.

Pemangku Raja Pahang Dimasyurkan Sebagai Canselor KUIPSAS

3 SEPTEMBER 2019 | 3 MUHARAM 1441 H

PEMANGKU RAJA PAHANG DIMASYHURKAN SEBAGAI CANSELOR KUIPSAS

1. Sukacita dimaklumkan, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah mengadakan Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen ke-18 pada hari ini, 3 September 2019 bersamaan 2 Muharam 1441H bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. Tema yang dipilih untuk Istiadat pada tahun ini ialah ‘Kebitaraan Modal Insan’.

 

2. Istiadat pada hari ini mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila didahului dengan Pemasyhuran Canselor KUIPSAS yang baharu iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

3. KDYMM Tuanku dimasyhurkan sebagai Canselor KUIPSAS yang kedua menggantikan ninda Baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.

 

4. Seramai 360 graduan layak bergraduasi pada istiadat kali ini. Jumlah ini merupakan bilangan kedua tertinggi sejak KUIPSAS mengadakan Istiadat Konvekesyennya pada 1999. Jumlah ini menjadikan bilangan keseluruhan graduan yang telah dihasilkan oleh KUIPSAS ialah seramai 5,328 orang sejak ianya ditubuhkan.

 

5. Kesemua graduan merupakan mahasiswa peringkat Diploma di KUIPSAS yang telah menamatkan pengajian mereka dalam 17 buah program Diploma daripada 4 Fakulti Pengajian yang ditawarkan di KUIPSAS. Kesemua graduan akan dikurniakan Diploma mereka oleh KDYMM Tuanku Canselor.

 

6. Lebih menarik, Istiadat Konvokesyen pada hari ini menyaksikan penganugerahan Diploma graduan-graduan sulung yang menamatkan pengajian dalam 4 bidang iaitu :
a. Diploma Pendidikan Islam Awal Kanak-Kanak
b. Diploma Kaunseling Islam
c. Diploma Pengajian Quran Dan Sunnah
d. Diploma in English

 

7. Seramai 1,500 orang tetamu dan jemputan dijangka hadir ke Istiadat pada hari ini yang merangkumi Ahli Jumaah Pangkuan Pahang dan kerabat-kerabat bergelar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang, Ahli-Ahli Dewan Negeri Pahang, Ahli-Ahli Parlimen, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Wakil-Wakil Institusi Pengajian Tinggi, Wakil Pihak Industri, Pengetua-Pengetua Sekolah dan Ibu Bapa / Penjaga para graduan.

 

8. Selain menyaksikan Pemasyhuran Canselor yang baharu serta kelahiran graduan sulung dalam 4 program Diploma, Istiadat kali ke-18 ini juga menarik perhatian orang ramai apabila menggunakan Tulisan Jawi sepenuhnya dalam semua bahan cetakan dan edaran sepanjang Istiadat berlangsung. Hal ini merupakan usaha berterusan yang dimainkan KUIPSAS selepas menjadi Pusat Rujukan Tulisan Jawi Negeri Pahang. Penggunaan Tulisan Jawi seperti ini dilihat mampu menaikkan semula maruah tulisan ini serta mendedahkan penggunaannya kepada orang ramai di samping dapat meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan mempertahankan Tulisan Jawi dalam kalangan anggota masyarakat.

 

9. Di samping itu, Istiadat kali ini juga akan menyaksikan pengurniaan peruntukan kewangan daripada KDYMM Tuanku Canselor melalui Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada KUIPSAS bagi membina Akademi Hadis di KUIPSAS. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM100,000 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu Sahaja). Pembinaan Akademi Hadis yang betujuan untuk mengumpul dan mendokumentasikan manuskrip Hadis dan menyediakan prasarana serta kemudahan bagi pencarian, perbincangan dan penghasilan Hadis berdasarkan isu-isu kontemporari ini merupakan amanat dan hasrat murni Canselor KUIPSAS yang pertama, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah semasa hayat Baginda.

 

10. KUIPSAS merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi Tahniah kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pemasyhuran Baginda selaku Canselor KUIPSAS yang kedua pada hari ini. Sesungguhnya pemasyhuran ini akan dapat meningkatkan lagi imej KUIPSAS sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pahang.

 

11. KUIPSAS juga mengucapkan setinggi-tinggi Tahniah kepada semua graduan yang dikurniakan Diploma pada hari ini. Harapan besar KUIPSAS kepada semua graduan agar menginsafi bahawa Diploma yang diterima merupakan amanah ilmu yang perlu dimanfaatkan untuk kebaikan umat. Graduan diharapkan agar dapat menyumbang bakti kepada masyarakat berlandaskan ilmu pengetahuan yang telah diterima di KUIPSAS.

KUIPSAS Sertai Perbarisan Hari Kebangsaan

31 Ogos 2019 (KUANTAN) – Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 peringkat Negeri Pahang, KUIPSAS turut serta menyertai Acara Perbarisan yang diadakan di Jalan Mahkota, Kuantan. Kontinjen KUIPSAS yang dianggotai mahasiswa dan mahasiswi seramai 60 orang mengenakan pakaian seragam berwarna jingga pada acara tersebut.

Quran Hour Kupas Surah Al-Kahfi

30 Ogos 2019 (KUANTAN) – Masjid KUIPSAS telah dipilih menjadi tuan rumah kepada program Malaysia #QuranHour Peringkat Negeri Pahang yang diadakan pada hari ini. Program dianjurkan bersama oleh KUIPSAS, Sekretariat Rumah Ngaji Pahang dan Pusat Islam & Pembangunan Insan UMP (PIMPIN). Tema program kali ini ialah Pesan Kemerdekaan Daripada Surah Al-Kahf.

Program bermula pada jam 10.00 pagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Kahfi diikuti dengan Majlis Perasmian yang dirasmikan oleh YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar (Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi). Program diteruskan dengan Sesi Tausiah yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman (Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Pensyarah UMP Laksana Teori Triz

21 Ogos 2019 (KUANTAN) – Sekumpulan pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) hadir ke KUIPSAS pada hari ini untuk melaksanakan latihan TRIZ. TRIZ adalah singkatan akronim dalam bahasa Russia yang bermaksud Teori Penyelesaian Masalah Inventif (Theory of Inventive Problem Solving). Teori ini diinspirasi oleh Genrich Altshuller pada tahun 1946 untuk memastikan proses dan prosedur yang berkaitan inovasi dan kreativiti dalam penyelesaian masalah dapat berjalan secara sistematik.

UMP melalui Pusat Sains Kemanusiaan dengan kerjasama MyTRIZ Malaysia telah menganjurkan Kursus TRIZ utk pensyarah UMP juga peserta dari Surabaya Indonesia. Pada hari terakhir kursus, para peserta berada di KUIPSAS untuk didedahkan dengan situasi sebenar penyelesaian masalah di organisasi.

ms_MYMalay