Semangat KUIPSAS Boleh! Azimat Kejayaan Atlet KUIPSAS

3 November 2019 (KOTA KINABALU) – Hebat dan Membanggakan – perkataan yang selayaknya diungkapkan kepada semua atlet KUIPSAS yang telah beradu tenaga sempena Kejohanan Networking Games MASISWA 2019 di Kota Kinabalu, Sabah. Kejohanan melabuhkan tirainya hari ini dengan Majlis Perasmian Penutupan serta Acara Penyampaian Hadiah kepada pemenang-pemenang dalam setiap acara yang dipertandingkan.

 

Kontinjen KUIPSAS nyata menarik perhatian sepanjang kejohanan berlangsung kerana daripada empat acara yang disertai, KUIPSAS berjaya menggondol 2 pingat Perak dan 1 pingat Gangsa. Laungan semangat KUIPSAS BOLEH! yang dijadikan azimat dan bekalan serta amanat Rektor di samping doa seluruh warga KUIPSAS telah menyaksikan pencapaian membanggakan ini berjaya diraih sekaligus mengubat duka KUIPSAS semasa edisi 2018 yang berlalu tanpa mencapai sebarang kemenangan.

 

Kontinjen KUIPSAS memulakan aksi cemerlang apabila atlet Bowling, Muhamad Sokri Husain (Jabatan Pengurusan Teknologi Maklumat) berjaya mengekalkan balingan konsisten sehingga mencatatkan 524 jatuhan pin sekaligus berdiri megah di podium dan dikalungkan pingat Perak bagi kategori Perseorangan Lelaki.

Cerita gembira Kontinjen KUIPSAS kemudiannya diteruskan apabila pasukan Futsal mempamerkan aksi bertenaga di peringkat kumpulan dan suku akhir sebelum terpaksa akur melalui penentuan sepakan penalti dan tewas kepada KTYS Sabah pada peringkat separuh akhir. Dalam perlawanan penentuan pingat Gangsa, pasukan Futsal KUIPSAS tampil gagah menumbangkan Cosmopint sekaligus mengesahkan genggaman pingat Gangsa selaku pemenang tempat ke-3.

 

Semangat KUIPSAS BOLEH! kemudiannya menyerap ke acara Badminton apabila Bergu Lelaki melakar kemenangan demi kemenangan sehingga layak ke perlawanan akhir. Namun, pemain Bergu Badminton KUIPSAS, Mohd Hider bin Othman (Jabatan Sumber Manusia) dan Mohd Fairuz b. Mohd Yusof (Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni) memerah keringat membalas setiap pukulan bulu tangkis lawan sebelum akur dengan kehebatan Bergu Badminton Widad sekaligus membawa pulang pingat Perak selepas mengharungi perlawanan akhir yang sengit.

 

Kejayaan bermakna KUIPSAS dengan meraih 2 pingat Perak dan 1 pingat Gangsa dalam Networking Games MASISWA edisi 2019 ini melonjakkan kedudukan KUIPSAS pada tempat ke-13 daripada 34 jumlah keseluruhan kontinjen IPTS yang bertanding kali ini. Kejayaan ini sudah tentu terhasil selepas semua atlet membuat persediaan rapi melalui sesi pemilihan dan siri-siri latihan yang sistematik serta pengorbanan yang tidak berbelah bahagi demi menjulang nama KUIPSAS dalam Kejohanan Networking Games MASISWA 2019 ini.

TAHNIAH KONTINJEN KUIPSAS
KUIPSAS BOLEH!

Majlis Sukan IPTS Malaysia

Kerajaan Negeri Pahang

 

KUIPSAS Raikan Kejayaan Pesilat

30 Oktober 2019 (KUANTAN) – Satu majlis ringkas bagi meraikan pesilat-pesilat KUIPSAS diadakan pada hari ini bertempat di Bilik Mesyurat Utama KUIPSAS bermula jam 11.30 pagi. Majlis diserikan dengan kehadiran Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan beliau menyampaikan ucapan tahniah kepada atlet-atlet Silat Olahraga KUIPSAS yang telah membawa pulang pingat dalam Kejohanan Silat Olahraga 5X5 Berpasukan POLISAS 2019 yang telah diadakan pada 6 Oktober 2019 lalu.

Dalam kejohanan tersebut, pesilat KUIPSAS telah menggondol Pingat Emas bagi kategori Putera Berpasukan yang menampilkan pesilat-pesilat berikut :
1. Muhammad Alif Aiman bin Azizan
2. Muhammad Daniel bin Ali
3. Muhammad Zulfikri bin Sapianasri
4. Muhammad Zulqarnain bin Muhammad Rozi
5. Muhammad Faiz bin Anuar

KUIPSAS turut meraih Pingat Perak bagi kategori Putera Berpasukan melalui pesilat-pesilat berikut :
1. Mohamad Al Kasyah bin Amran
2. Ikmal Ziyad bin Yazid
3. Asyraf Hakimi bin Abdul Jalil
4. Muhamamd Syakirim bin Zainal Abidin
5. Ahmad Mukhlis bin Ghazali Shafie

Manakala, bagi kategori Putera Individu, pesilat Muhammad Hilmi Nazif bin Haszelan telah muncul pemenang Pingat Perak.

Pesilat-pesilat KUIPSAS juga memenangi Pingat Perak bagi kategori Puteri Berpasukan menerusi pesilat-pesilat berikut :
1. Nur Hidayah binti Ahmad Lotpi
2. Noor Shahira binti Azmi
3. Nurfarah Hanim binti Asmawi
4. Norazren binti Abdul Latif
5. Sofiah Nurzahirah binti Zulkifli

Di samping itu, dalam kategori Putera Individu, pesilat Mujibullah bin Hababdullah membawa pulang Pingat Gangsa.

Tahniah diucapkan kepada semua pesilat KUIPSAS.

Amanat Rektor Bakar Semangat Atlet KUIPSAS

30 Oktober 2019 (KUANTAN) – KUIPSAS akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Networking Games MASISWA 2019 anjuran Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA) yang akan berlangsung pada 31 Oktober hingga 3 November 2019 bertempat di Kota Kinabalu, Sabah.

Pada kejohanan kali ini KUIPSAS akan menyertai 4 acara sukan iaitu Futsal, Badminton, Bowling dan Ping Pong yang melibatkan penyertaan seramai 20 orang atlet. Kontinjen KUIPSAS diketuai oleh Pendaftar, Mejar Zamri bin Abdul Wahab selaku Chef de Mission (CDM).

Dalam Majlis Penyerahan Bendera KUIPSAS kepada kontinjen pada hari ini, Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin mengingatkan semua atlet supaya sentiasa menjaga nama baik KUIPSAS sepanjang kejohanan berlangsung. Beliau juga turut mendoakan penyertaan kali ini akan dapat membawa pulang pingat kemenangan dalam acara-acara yang disertai oleh KUIPSAS.

Selamat Maju Jaya Kontinjen KUIPSAS.

Majlis Sukan IPTS Malaysia

Kunjungan Hormat Ke PAID Muadzam Shah

29 Oktober 2019 (MUADZAM SHAH) – Fakulti Pengajian Islam (FPI) adakan Kunjungan Hormat ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Muadzam Shah hari ini bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim, menyampaikan maklumat terkini mengenai KUIPSAS dan membincangkan kerjasama untuk menganjurkan program-program dakwah dan keagamaan kepada masyarakat di Muadzam Shah.

Delegasi KUIPSAS diketuai oleh YBrs. Dr. Mohd Fadlly bin Ismail (Dekan FPI) dan turut dihadiri oleh Ustaz Haizuran bin Mohd Jani (Ketua Jabatan Quran Sunnah), Ustaz Abdul Halim bin Abdul Karim (Ketua Unit Hubungan Luar FPI) dan En. Muhammad Hisyamudin bin Baharudin (Pen. Pendaftar Perhubungan Korporat). Kunjungan Hormat ini disambut oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah Muadzam Shah, Ustaz Hamdan Yusi bin Yusof dan turut disertai oleh pegawai dan kakitangan PAID Muadzam Shah.

 

Kolokium Sarjana Catat Sejarah

17 Oktober 2019 (KUANTAN) – KUIPSAS mencipta sejarah terbaharunya apabila buat julung kalinya menganjurkan Kolokium Pembentangan Cadangan Penyelidikan bagi program Sarjana Pengajian Islam pada hari ini. Seramai 9 orang pelajar Sarjana yang telah membentangkan cadangan penyelidikan masing-masing dalam kolokium ini. Mereka merupakan kumpulan pelajar perintis program Sarjana Pengajian Islam di KUIPSAS.

Kolokium yang dikendalikan oleh Pusat Pengajian Siswazah KUIPSAS ini dihadiri oleh ahli-ahli panel dan penyelia-penyelia di Bilik Mesyuarat Utama. Di akhir kolokium ini, diumumkan bahawa kesemua pelajar telah berjaya dan boleh meneruskan penyelidikan mereka dalam program Sarjana Pengajian Islam di KUIPSAS.

Kunjungan Hormat Kepada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia

15 Oktober 2019 (PUTRAJAYA) – KUIPSAS mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, YH. Dato’ Indera Khairul Dzaimee Bin Daud di pejabatnya di Presint 2, Putrajaya, hari ini. Kunjungan Hormat ini dihadiri oleh Pendaftar KUIPSAS, YBhg. Mejar Mohd Zamri bin Wahab dan Penolong Pendaftar Sumber Manusia, En. Mohd Hider bin Othman.

Kunjungan Hormat ini diketuai oleh YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran Dan Kesihatan Negeri Pahang dan turut dihadiri oleh YH. Dato’ Syed Ahmad Fuad b. Syed Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Encik Mohammad bin Ab. Rahman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan (JAIP) dan Encik Lebai Idris bin Ali, Pengetua Kulliah Allughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan.

Kunjungan hormat ini diadakan bertujuan untuk mendapatkan maklumat terkini, pandangan dan nasihat daripada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia mengenai pelantikan dan pengurusan hal ehwal Pegawai Dagang (Ekspatriat) yang bertugas di KUIPSAS sebagai tenaga pengajar bukan warganegara Malaysia. Untuk rekod, KUIPSAS memiliki 6 orang pensyarah berasal dari negara Mesir dan berkelulusan PhD Universiti Al-Azhar yang pada ketika ini bertugas sebagai pensyarah di KUIPSAS.

Siswa Kebanggaan KUIPSAS Juarai Tilawah

14 Oktober 2019 (KUANTAN) – Muncul seorang lagi bakat KUIPSAS yang menyenaraikan dirinya dalam Barisan Kebanggaan KUIPSAS selepas menjuarai Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuantan yang diadakan pada hari ini. Beliau ialah Muhammad Fahmi Akmal Bin Badrulisham, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian) yang sedang mengikuti pengajian dalam semester ke-2.

Pertandingan Tilawah yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan ini diadakan di Dewan Mahkota, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan. Muhammad Fahmi muncul juara Kategori Qari selepas menewaskan 11 orang qari yang turut menyertai pertandingan ini.

Sebagai juara Kategori Qari, Muhammad Fahmi membawa pulang hadiah wang tunai RM700, Plak Juara dan senaskah Al-Quran Mushaf Al-Farid. Majlis dirasmikan penutupnya oleh Haji Zakaria Bin Mohamad (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Berikutan kejuaraan yang digondol Muhammad Fahmi ini, beliau akan mewakili daerah Kuantan ke Pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Pahang yang akan diadakan tidak lama lagi.

KUIPSAS Hadiri Mesyuarat Penyelarasan Dasar Pelajar Ke Timur Tengah

9 Oktober 2019 (PUTRAJAYA) – KUIPSAS hadiri Mesyuarat Penyelarasan Dasar dan Panduan berhubung permohonan pelajar ke Timur Tengah khususnya negara Mesir, Jordan dan Morocco yang diadakan pada hari ini di Jabatan Pendidikan Tinggi, Presint 5, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya.

Mesyuarat bertujuan untuk menyelaraskan dasar-dasar yang berkaitan serta menetapkan garis panduan supaya penghantaran pelajar Malaysia ke Timur Tengah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

KUIPSAS diwakili oleh Ustaz Abdul Halim bin Abdul Karim (Jabatan Syariah) dan Ustaz Mohd Shupian bin Majid (Jabatan Bahasa Arab). Untuk rekod, KUIPSAS menghantar pelajar-pelajar lepasan Diploma dalam bidang Pengajian Islam untuk menyambung pengajian di negara Mesir dan Jordan.

Bicara Perundangan Bersama Ketua Hakim Syarie

9 Oktober 2019 (KUANTAN) – Seorang Hakim Syarie mestilah menjaga perhubungan sosialnya supaya sentiasa dilihat neutral samada di dalam atau di luar mahkamah bagi memastikan integriti sebagai hakim tidak dipersoalkan. Demikian menurut YAA Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Md Yunos, Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang dalam ucapannya semasa menyampaikan Bicara Perundangan bersama mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman di Dewan Kuliah 1 KUIPSAS hari ini.

Beliau turut menasihati mahasiswa agar menguasai Bahasa Arab serta Kitab-Kitab Fiqh supaya menjadi seorang Pengamal Undang-Undang Syariah yang berkaliber selepas tamat pengajian kelak. Dalam program tersebut juga, YAA berkongsi pengalaman sepanjang bergelar Qadhi Besar dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah serta pengalaman beliau semasa terlibat dalam proses transisi pemisahan Mahkamah Syariah daripada Jabatan Agama Islam Pahang.

Program disertai oleh semua mahasiswa Tahun 1 yang mengambil kursus Sistem Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia dibawah seliaan Puan Azriana Bt Ridouan. Turut hadir ialah En. Saifuddin bin Abdul Karim, Ketua Jabatan Syariah KUIPSAS.

KUIPSAS Juarai Lex Hiwar

28 September 2019 (GOMBAK) – Mahasiswa Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS telah menunjukkan kehebatan mereka selepas muncul juara dalam Pertandingan Lex Hiwar yang dianjurkan oleh Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak pada hari ini.

Kumpulan yang muncul juara ini dianggotai oleh Sdr. Muhammad Firdaus, Sdr. Muhammad Adli dan Sdri. Nurul Izzah. Mereka mempersembahkan Hiwar bertajuk “Tatbiq Maqasid Syariah Tatbiqan Sohihan”

Usaha gigih mereka menjalani latihan selama beberapa minggu di bawah kendalian YBrs. Dr. Taha Hanafy telah menghasilkan kejayaan yang diimpikan. Kejuaraan ini sekaligus meningkatkan motivasi mahasiswa-mahasiswa Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS untuk terus memperjuangkan Bahasa Arab dalam kehidupan seharian.

ms_MYMalay