Kolokium Sarjana Catat Sejarah

17 Oktober 2019 (KUANTAN) – KUIPSAS mencipta sejarah terbaharunya apabila buat julung kalinya menganjurkan Kolokium Pembentangan Cadangan Penyelidikan bagi program Sarjana Pengajian Islam pada hari ini. Seramai 9 orang pelajar Sarjana yang telah membentangkan cadangan penyelidikan masing-masing dalam kolokium ini. Mereka merupakan kumpulan pelajar perintis program Sarjana Pengajian Islam di KUIPSAS.

Kolokium yang dikendalikan oleh Pusat Pengajian Siswazah KUIPSAS ini dihadiri oleh ahli-ahli panel dan penyelia-penyelia di Bilik Mesyuarat Utama. Di akhir kolokium ini, diumumkan bahawa kesemua pelajar telah berjaya dan boleh meneruskan penyelidikan mereka dalam program Sarjana Pengajian Islam di KUIPSAS.

Kunjungan Hormat Kepada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia

15 Oktober 2019 (PUTRAJAYA) – KUIPSAS mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, YH. Dato’ Indera Khairul Dzaimee Bin Daud di pejabatnya di Presint 2, Putrajaya, hari ini. Kunjungan Hormat ini dihadiri oleh Pendaftar KUIPSAS, YBhg. Mejar Mohd Zamri bin Wahab dan Penolong Pendaftar Sumber Manusia, En. Mohd Hider bin Othman.

Kunjungan Hormat ini diketuai oleh YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran Dan Kesihatan Negeri Pahang dan turut dihadiri oleh YH. Dato’ Syed Ahmad Fuad b. Syed Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Encik Mohammad bin Ab. Rahman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan (JAIP) dan Encik Lebai Idris bin Ali, Pengetua Kulliah Allughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan.

Kunjungan hormat ini diadakan bertujuan untuk mendapatkan maklumat terkini, pandangan dan nasihat daripada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia mengenai pelantikan dan pengurusan hal ehwal Pegawai Dagang (Ekspatriat) yang bertugas di KUIPSAS sebagai tenaga pengajar bukan warganegara Malaysia. Untuk rekod, KUIPSAS memiliki 6 orang pensyarah berasal dari negara Mesir dan berkelulusan PhD Universiti Al-Azhar yang pada ketika ini bertugas sebagai pensyarah di KUIPSAS.

Siswa Kebanggaan KUIPSAS Juarai Tilawah

14 Oktober 2019 (KUANTAN) – Muncul seorang lagi bakat KUIPSAS yang menyenaraikan dirinya dalam Barisan Kebanggaan KUIPSAS selepas menjuarai Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuantan yang diadakan pada hari ini. Beliau ialah Muhammad Fahmi Akmal Bin Badrulisham, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian) yang sedang mengikuti pengajian dalam semester ke-2.

Pertandingan Tilawah yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan ini diadakan di Dewan Mahkota, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan. Muhammad Fahmi muncul juara Kategori Qari selepas menewaskan 11 orang qari yang turut menyertai pertandingan ini.

Sebagai juara Kategori Qari, Muhammad Fahmi membawa pulang hadiah wang tunai RM700, Plak Juara dan senaskah Al-Quran Mushaf Al-Farid. Majlis dirasmikan penutupnya oleh Haji Zakaria Bin Mohamad (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Berikutan kejuaraan yang digondol Muhammad Fahmi ini, beliau akan mewakili daerah Kuantan ke Pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Pahang yang akan diadakan tidak lama lagi.

KUIPSAS Hadiri Mesyuarat Penyelarasan Dasar Pelajar Ke Timur Tengah

9 Oktober 2019 (PUTRAJAYA) – KUIPSAS hadiri Mesyuarat Penyelarasan Dasar dan Panduan berhubung permohonan pelajar ke Timur Tengah khususnya negara Mesir, Jordan dan Morocco yang diadakan pada hari ini di Jabatan Pendidikan Tinggi, Presint 5, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya.

Mesyuarat bertujuan untuk menyelaraskan dasar-dasar yang berkaitan serta menetapkan garis panduan supaya penghantaran pelajar Malaysia ke Timur Tengah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

KUIPSAS diwakili oleh Ustaz Abdul Halim bin Abdul Karim (Jabatan Syariah) dan Ustaz Mohd Shupian bin Majid (Jabatan Bahasa Arab). Untuk rekod, KUIPSAS menghantar pelajar-pelajar lepasan Diploma dalam bidang Pengajian Islam untuk menyambung pengajian di negara Mesir dan Jordan.

Bicara Perundangan Bersama Ketua Hakim Syarie

9 Oktober 2019 (KUANTAN) – Seorang Hakim Syarie mestilah menjaga perhubungan sosialnya supaya sentiasa dilihat neutral samada di dalam atau di luar mahkamah bagi memastikan integriti sebagai hakim tidak dipersoalkan. Demikian menurut YAA Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Md Yunos, Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang dalam ucapannya semasa menyampaikan Bicara Perundangan bersama mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman di Dewan Kuliah 1 KUIPSAS hari ini.

Beliau turut menasihati mahasiswa agar menguasai Bahasa Arab serta Kitab-Kitab Fiqh supaya menjadi seorang Pengamal Undang-Undang Syariah yang berkaliber selepas tamat pengajian kelak. Dalam program tersebut juga, YAA berkongsi pengalaman sepanjang bergelar Qadhi Besar dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah serta pengalaman beliau semasa terlibat dalam proses transisi pemisahan Mahkamah Syariah daripada Jabatan Agama Islam Pahang.

Program disertai oleh semua mahasiswa Tahun 1 yang mengambil kursus Sistem Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia dibawah seliaan Puan Azriana Bt Ridouan. Turut hadir ialah En. Saifuddin bin Abdul Karim, Ketua Jabatan Syariah KUIPSAS.

KUIPSAS Juarai Lex Hiwar

28 September 2019 (GOMBAK) – Mahasiswa Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS telah menunjukkan kehebatan mereka selepas muncul juara dalam Pertandingan Lex Hiwar yang dianjurkan oleh Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak pada hari ini.

Kumpulan yang muncul juara ini dianggotai oleh Sdr. Muhammad Firdaus, Sdr. Muhammad Adli dan Sdri. Nurul Izzah. Mereka mempersembahkan Hiwar bertajuk “Tatbiq Maqasid Syariah Tatbiqan Sohihan”

Usaha gigih mereka menjalani latihan selama beberapa minggu di bawah kendalian YBrs. Dr. Taha Hanafy telah menghasilkan kejayaan yang diimpikan. Kejuaraan ini sekaligus meningkatkan motivasi mahasiswa-mahasiswa Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS untuk terus memperjuangkan Bahasa Arab dalam kehidupan seharian.

Pelancaran Buku Mantan Presiden KIPSAS

KUIPSAS akan menganjurkan Majlis Pelancaran Dan Menandatangani Buku yang berjudul “Glimpses Of The Past” pada hari Khamis 26 September 2019 bersempena dengan Majlis Perasmian Penutupan Seminar Antarabangsa Pengajian Islam 2019 (SePIA 1.0). Majlis akan diadakan di Auditorium KUIPSAS.

Buku ini adalah hasil nukilan YH. Dato’ Haji Abdul Razak Bin Abu, Mantan Ketua Eksekutif ke-2 KUIPSAS dan Presiden Pertama KIPSAS. Kandungan buku memuatkan pengalaman berharga beliau selaku seorang pendidik dalam pelbagai peringkat samada di sekolah dan juga di Kementerian Pendidikan. Beliau menjawat jawatan selaku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang sebelum bersara dan dilantik menjadi Presiden KIPSAS selama 7 tahun dan 8 bulan.

 

Seminar Antarabangsa Setuju Perkasakan Pengajian Islam Dalam Era Revolusi Industri 4.0

26 September 2019 (KUANTAN) – “Cendekiawan dan ilmuwan Islam hari ini perlu bangkit untuk mengembalikan kegemilangan Islam sebagaimana yang telah dicapai oleh ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibnu Sina, al-Khawarizmi dan Ibnu Batutah yang telah mencetus revolusi dalam bidang ilmu Perubatan, Matematik dan Pelayaran pada ketika dunia Eropah masih berada dalam era kegelapan”. Demikian menurut YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang yang mewakili YAB. Menteri Besar Pahang ketika merasmikan Majlis Penutupan Seminar Pengajian Islam Antarabangsa (SePIA 1.0). Tambah beliau lagi, pencapaian Sains dan Teknologi hari ini sebenarnya banyak yang diasaskan oleh para cendekiawan Islam silam dan diambil oleh negara-negara barat untuk dimajukan.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar seminar ini diteruskan pada masa-masa yang akan datang dan mampu untuk menjadi platform kepada para cendekiawan dan ilmuwan Islam dari seluruh dunia berkongsi maklumat dan pandangan sebagai usaha memperkasakan umat Islam sehingga mampu untuk menerajui kemajuan di masa hadapan selain memperkukuh perpaduan sesama umat dari pelbagai negara.

SePIA 1.0 yang julung kali diadakan ini berlangsung selama 2 hari iaitu pada 25 dan 26 September bertempat di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dan bertemakan “Cabaran Pengajian Islam dalam Era Revolusi Industri 4.0”. Seminar ini bertujuan untuk memperkukuhkan bidang Pengajian Islam supaya mampu mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Seminar anjuran KUIPSAS dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ini melibatkan kehadiran seramai 12 orang pembentang dari Timur Tengah seperti Arab Saudi, Iraq, Mesir, Jordan, Sudan, Kuwait, Libya dan Yaman selain 60 orang pembentang dari Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei dan Malaysia sendiri.

Ucaptama seminar telah disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS bertajuk “Cabaran Pengajian Islam Dalam Era Revolusi Industri 4.0”. Di antara inti pati ucapan beliau adalah Islam sebenarnya tidak pernah menolak kemajuan selari dengan sabda Nabi SAW dalam Hadis Riwayat Muslim iaitu “kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian”. Revolusi Industri 4.0 ini juga telah membuktikan apa yang termaktub dalam al-Quran mendahului zamannya memandangkan fakta sains yang dinyatakan di dalam al-Quran telah terbukti benar melalui kajian-kajian yang dilakukan pada hari ini.

Antara pembentang-pembentang kertas utama yang lain dalam seminar ini adalah YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin, YBhg. Prof Dr. Abdul Basir bin Mohamed dan YBrs. Dr. Amran bin Muhammad.

Dalam Majlis Perasmian Penutupan seminar, YBrs. Dr. Ahmad Effat Mokhtar, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi KUIPSAS selaku pengarah seminar telah membentangkan resolusi seminar ini, antaranya:

1- Seruan agar para pendidik dan cendekiawan Islam sentiasa menyedari bahawa bidang Pengajian Islam sedang menghadapi cabaran yang kompleks untuk terus kekal relevan dalam era Revolusi Industri 4.0.

2- Menghayati falsafah, matlamat dan disiplin pengajian Islam dengan tepat supaya ilmu aqli dan naqli serta konsep thabat dan murunah dapat disampaikan dan diberi pemahaman yang betul kepada masyarakat.

3- Memahami kekuatan bidang Pengajian Islam untuk terus berkembang dan berdaya saing

4- Merancang pelan tindakan serta mengaplikasikan teknologi terkini dalam Pengajian Islam untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Seminar ini telah dihadiri oleh lebih 300 peserta dalam dan luar negara dan diharapkan dapat memberikan impak positif kepada hala tuju bidang Pengajian Islam agar kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Tahniah Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah

23 September 2019 (KUALA KETIL) – Seramai 40 orang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Kepujian Secara Kerjasama (KUIN-KUIPSAS) telah menerima ijazah mereka sempena Istiadat Konvokesyen UniSHAMS ke-21 yang diadakan pada hari ini. Graduan ini adalah mahasiswa yang mendaftar program ini bagi kumpulan ke-4 dan ke-5 pada Ambilan Disember 2014/2015 dan Jun 2015/2016 yang lalu.

Perjuangan menuntut ilmu mereka pada peringkat Ijazah Sarjana Muda telah diraikan dengan kegembiraan dalam istiadat yang berlangsung pada hari ini. Lebih manis apabila mahasiswa Ahmad Nafis bin Azami telah diumumkan untuk menerima Anugerah Jaizah Imtiyaz pada Sidang Ke-2 istiadat ini.

Selain itu, seramai 14 orang graduan telah menerima ijazah mereka pada peringkat Kelas Pertama (First Class Degree). Mereka ialah :

1- Ahmad Nafis bin Azami
2- Muhammad Zulhusni bin Abu Bakar
3- Abdullah Abbas bin Saaharatol Mat Kamal
4- Mohamad Ajrul Mukminin bin Yubaithullah
5- Mu’az bin Abdul Manaf
6- Amera Elyana binti Amrair

7- Fathimah Hawa binti Mohamad Kofli
8- Hafizah binti Shoimi
9- Maizatul Nazhifa binti Azhar
10- Nor Amira binti Amijudin
11- Nur Hafizah binti Che Ya @Yahya
12- Nur Shahira binti Sukri
13- Nur Syahirah binti Ibrahim
14- Siti Nurul Husna binti Sh Sulaiman

YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS turut menghadiri istiadat tersebut dan mengambil kesempatan untuk meraikan kesemua graduan selepas istiadat selesai. Turut mengiringi ialah Ustaz Abdul Halim bin Abdul Karim, Penyelaras Program dan En. Safuan Ariffin dari Jabatan Perhubungan Korporat.

Tahniah diucapkan kepada semua graduan dan didoakan semoga terus berjaya dalam apa jua yang diceburi pada masa hadapan.

Perkhemahan Bridged Bomba Tingkat Keyakinan Diri

15 September 2019 (MARAN) – Pada 13, 14 dan 15 september 2019, telah berlangsungnya program perkhemahan 3 hari 2 malam anjuran Kelab Bridged Bomba dan Penyelamat KUIPSAS dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Kuantan. Perkhemahan ini bertempat di Taman Eco Rimba Berkelah, Maran, Pahang dan disertai seramai 38 ahli kelab Bridged Bomba, 2 orang pensyarah pengiring, para fasilitator dan beberapa orang pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Kuantan.

Aktiviti pada hari pertama perkhemahan adalah mendirikan khemah ditapak perkhemahan, aktiviti memasak secara berkumpulan, aktiviti simpulan dan ikatan dan pada waktu malam telah diadakan aktiviti ‘survival cooking’ dan menghidupkan unggun api.

Pada hari kedua, awal pagi dimulakan dengan aktiviti senamrobik diikuti dengan aktiviti mendaki air terjun Berkelah. Pendakian berakhir dengan jayanya pada jam 4 petang dimana juga telah disertai seramai 4 orang pegawai bomba wanita dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Kuantan. Aktiviti pada waktu malam pula ialah ‘water confident’ yang dibuat seawal jam 3 pagi sehingga waktu subuh.

Program perkhemahan 3 hari 2 malam ini berakhir pada hari Ahad 15 September 2019. Majlis penutup dirasmikan oleh Ustaz Asshifa’ Ulhayat bin Jaidin iaitu penyelaras Kelab Bridged Bomba dan Penyelamat KUIPSAS.

ms_MYMalay