Bengkel Penubuhan Darul Ifta Di Negeri Pahang

20 Januari 2020 (KUANTAN) – Bengkel Penubuhan Darul Ifta di Negeri Pahang diadakan pada hari ini bertempat di Grand Darul Makmur Hotel. Bengkel ini diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH. Dato’ Mohd Zakaria bin Ibrahim dan turut dihadiri oleh SS Mufti Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Hj. Abdul Rahman bin Hj. Osman, Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, pegawai-pegawai kanan daripada Pejabat Kewangan Negeri Pahang, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Bahagian Teknologi Maklumat PSUK Pahang dan pengurusan kanan KUIPSAS.

Dalam ucapan aluannya, YH. Dato’ Mohd Zakaria menjelaskan Kerajaan Negeri Pahang telah ditawarkan oleh Darul Ifta Mesir untuk menubuhkan Darul Ifta di Negeri Pahang semasa delegasi Kerajaan Negeri mengadakan Kunjungan Hormat ke sana pada bulan November 2019 yang lalu. Beliau juga berharap agar bengkel yang diadakan ini akan dapat merangka penubuhan Darul Ifta ini secara keseluruhan.

Penubuhan Darul Ifta di Negeri Pahang ini bertujuan untuk melahirkan mufti yang berkemampuan dan pakar dalam memahami syarak dan realiti semasa, membolehkan penentuan hukum-hukum syarak semasa secara wasatiyyah, menyebar luas rujukan Darul Ifta’ dalam penghasilan fatwa, mengatasi masalah kekurangan pengetahuan sebahagian pemberi-pemberi fatwa dari sudut metodologi yang khusus dalam bidang fatwa serta membuka peluang pengajian kepada lebih ramai pelajar yang berminat dari seluruh pelosok dunia melalui pengajian jarak jauh.

Di akhir program, Pengarah Bengkel, Encik Hanif bin Abu Samah mengendalikan sesi pembentangan gerak kerja pelaksanaan penubuhan Darul Ifta ini merangkumi sudut kewangan, sumber manusia, penyediaan prasarana fizikal dan ICT, perundangan dan pengiktirafan serta pemasaran.

Seminar Pemakaian Atlet Patuh Syariah Hasilkan Resolusi

21 Januari 2020 (KUANTAN) – Resolusi seminar yang mengandungi lima perkara utama akan dijadikan Garis Panduan Pemakaian Atlet Sukan Patuh Syariah Peringkat Negeri Pahang kepada rakyat negeri Pahang yang terlibat dalam aktiviti sukan dan riadah. Resolusi dibentangkan oleh YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Bin Haji Hussain, ​Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia ,Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang dalam Majlis Perasmian Penutupan Seminar Pemakaian Atlet Sukan Patuh Syariah Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Auditorium KUIPSAS pada hari ini.

Lima perkara yang terkandung dalam resolusi tersebut ialah Objektif Garis Panduan Pemakaian Atlet Sukan Patuh Syariah, Konsep Pemakaian Patuh Syariah, Definisi Pakaian Patuh Syariah, Realiti Semasa dan Jenis-Jenis Sukan Tumpuan Pemakaian Patuh Syariah Negeri Pahang. Resolusi ini kemudiannya diserahkan kepada YAB. Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail dalam majlis tersebut.

Dalam ucapan perasmiannya, YAB. Menteri Besar menyatakan bahawa perkembangan pemakaian atlet patuh syariah semakin positif dan secara tidak langsung atlet yang berpakaian sedemikian menjadi contoh, bahawa sesiapa sahaja boleh bersukan dan mencapai kejayaan walaupun dengan pakaian patuh syariah. Tambah beliau, resolusi yang diterimanya hari ini perlu diperhalusi dengan kajian pihak sewajarnya seperti mufti, pakar syariah, persatuan sukan dan ahli akademi, sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Seminar yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama KUIPSAS, Jabatan Mufti Negeri Pahang, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Majlis Sukan Pahang (MSP), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) itu disertai seramai 480 peserta yang terdiri daripada atlet sukan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), atlet dan jurulatih sukan di bawah seliaan Majlis Sukan Pahang (MSP), wakil-wakil agensi kerajaan, aktivis-aktivis Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pensyarah dan pelajar IPT tempatan.

Sebanyak tiga (3) kertas kerja telah dibentangkan sepanjang seminar berlangsung iaitu :
a. “Pemakaian Atlet Sukan Menurut Perspektif Maqasid Syariah Kontemporari” oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Haji Ahmad Wifaq bin Mokhtar, Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
b. “Garis Panduan Pemakaian Atlet Sukan di Negeri Pahang” oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Irwan Sobri, Pengarah Institut Pengurusan Dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), USIM.
c. “Perkongsian Pengalaman Majlis Sukan Negeri Terengganu Dalam Pelaksanaan Pemakaian Atlet Patut Syariah” oleh YB Haji Hishamuddin bin Abdul Karim, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan Dan NGO Negeri Terengganu.

 

 

   

Pemangku Raja Pahang Lawat Pelajar KUIPSAS Terlibat Kemalangan

18 Januari 2020 (KUANTAN) – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat bercemar duli ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bagi melawat dua orang pelajar KUIPSAS yang terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, pensyarah-pensyarah KUIPSAS dan Timbalan Pengarah Perubatan 4 HTAA, Dr. Rafidah binti Mohd Salleh.

KDYMM Tuanku yang juga merupakan Canselor KUIPSAS menzahirkan keprihatinan Baginda terhadap keadaan terkini dua orang pelajar KUIPSAS tersebut iaitu Mas Ridhuan bin Ummar Hassan dan Roslan Bin Rosmad yang menerima rawatan lanjut di HTAA selepas kaki mereka patah disebabkan kemalangan tersebut. Baginda bertitah kepada kedua-dua pelajar tersebut supaya membanyakkan sabar dan menguatkan semangat bagi menghadapi ujian kesihatan dan musibah ini.

Untuk rekod, sekumpulan pelajar Jabatan Dakwah KUIPSAS terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Raub – Bentong berhampiran Simpang Felda Lurah Bilut selepas selesai menyertai Program Ziarah Dakwah dan Pemutihan di Kampung Orang Asli Sg Ruai Raub pada hari Khamis lalu.

Bengkel Jawi Dapat Sambutan

18 Januari 2020 (KUANTAN) – Persatuan Pelajar Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS menganjurkan Bengkel Jawi 3.0 pada hari ini bertempat di Dewan Kuliah 6. Bengkel disertai seramai 102 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Diploma KUIPSAS.

Bengkel dikendalikan oleh Munsyi Dewan Jawi iaitu Ustazah Seriayuna Sa’don Zubir yang juga merupakan pensyarah Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS. Program diadakan bertujuan untuk untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada para pelajar mengenai kaedah penulisan jawi.

 

Pelajar KUIPSAS Terlibat Kemalangan Diberi Rawatan Kecemasan

16 Januari 2020 /6.00 petang. Dukacita dimaklumkan sekumpulan pelajar Jabatan Dakwah KUIPSAS telah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan 4 buah kenderaan di Jalan Raub – Bentong berhampiran Simpang Felda Lurah Bilut.

Kemalangan telah mengakibatkan kecederaan kepada pelajar-pelajar tersebut serta pemandu kenderaan KUIPSAS yang sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas selesai menyertai Program Ziarah Dakwah dan Pemutihan di Kampung Orang Asli Sg Ruai Raub.

Semua pelajar telah dibawa ke Hospital Bentong untuk diberikan rawatan kecemasan.

KUIPSAS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Hospital Bentong, Polis Diraja Malaysia dan orang awam yang telah membantu menyelamatkan pelajar-pelajar KUIPSAS yang terlibat dalam kemalangan ini.

Pusat Islam Masjid KUIPSAS akan mengadakan Solat Sunat Hajat selepas Solat Isyak pada malam ini untuk mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan kepada semua pelajar yang terlibat.

Ahli keluarga kepada para pelajar yang terlibat boleh mendapatkan maklumat terkini dengan menghubungi YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni di talian 019-9315407.

– –
Jabatan Perhubungan Korporat KUIPSAS @ Hospital Bentong Rasmi

KUIPSAS Dedah Asas Tulisan Jawi Di Sekolah

Sinar Harian | 16 Januari 2020

KUANTAN – Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) bekerjasama dengan pihak sekolah di negeri itu bagi mendedahkan kaedah asas penulisan jawi dalam kalangan pelajar dan guru.

KUIPSAS yang dilantik sebagai Pusat Rujukan Ejaan Jawi di seluruh Pahang melahirkan 24 Munsyi Jawi di negeri ini melalui program yang dianjurkan bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Penyelaras Munsyi Dewan Jawi yang juga Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar KUIPSAS, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bagi menjayakan program semarak jawi di sekolah, KUIPSAS akan menyediakan Munsyi Jawi untuk berkongsi ilmu bagi mendalami asas kaedah penulisan itu.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu tulisan jawi diajar di sekolah sehingga ke peringkat universiti.

“Pada masa sama, usaha ini seiring dengan dasar kerajaan negeri Pahang yang menguatkuasakan penggunaan tulisan jawi bermula Ogos tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dr Asmadi berkata, bagi mencapai matlamat itu, pihaknya bekerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai melalui penganjuran Program Semarak Jawi yang disertai 150 peserta.

Menurutnya, program sehari itu memberi peluang kepada pelajar untuk mengetahui isu terkini berhubung tulisan jawi khususnya di Pahang.

“SMK Ubai mengambil langkah proaktif dengan memberikan pendedahan kepada pelajar dan guru tentang kaedah asas penulisan jawi. Bagi menjayakan program itu, KUIPSAS menghantar dua Munsyi Jawi untuk berkongsi ilmu.

“SMK Ubai merupakan sekolah menengah pertama di daerah Pekan yang bekerjasama dengan kami menjayakan program semarak tulisan Jawi ini. Maklum balas daripada pelajar sangat baik dan mereka ternyata amat berminat dengan tulisan ini,” katanya.

Ziarah Dakwah dan Pemutihan Saudara Baru Orang Asli Sg Ruai Raub

Program: Ziarah Dakwah dan Pemutihan Pendaftaran Saudara Baru Orang Asli Sg Ruai Raub

Tarikh: 14- 16 Januari 2020
Hari: Selasa – Khamis
Tempat: Kampung Orang Asli Sg Ruai Raub

 

Parlimen Mahasiswa KUIPSAS Bersidang Kali Kedua

15 Januari 2020 (KUANTAN) – Parlimen Mahasiswa KUIPSAS bersidang kali kedua dan dihadiri oleh perwakilan daripada semua barisan Majlis Perwakilan Pelajar KUIPSAS dan semua Presiden serta Timbalan Presiden persatuan-persatuan akademik di KUIPSAS. Parlimen ini telah bersidang selama lebih kurang empat jam bermula dari jam 9.00 malam bertempat di Bilik Mesyuarat Utama KUIPSAS.

Parlimen Mahasiswa KUIPSAS ini dibentuk bertujuan bagi membincangkan isu dan cadangan yang dikemukakan oleh mahasiswa KUIPSAS dalam bentuk medan diskusi serta perdebatan usul bagi memastikan kebajikan mahasiswa KUIPSAS akan sentiasa ditangani dengan baik.

Agenda persidangan dimulai dengan bacaan doa, lafaz bai’ah sebagai Ahli Parlimen Mahasiswa KUIPSAS serta pembentangan program yang akan dijalankan oleh setiap persatuan akademik pada semester ini.

Kemuncak persidangan ini adalah semasa sesi perdebatan lima usul yang telah dipersetujui oleh semua wakil persatuan untuk dibincangkan dalam sidang parlimen iaitu;

1. Penyusunan semula organisasi Persatuan Akademik mengikut fakulti pengajian di bawah satu nama dan logo.

2. Penetapan semula nama ketua Majlis Perwakilan Pelajar, ketua persatuan akademik, ketua kelab dan sekretariat dalam konteks penglibatan mahasiswa.

3. Naik taraf sistem merit KUIPSAS kepada sistem cap jari memudahkan urusan mengklasifikasi tahap keaktifan mahasiswa dalam menentukan kelayakan menginap di asrama.

4. Pemberian kuasa dalam taklifan mengkompaun mahasiswa yang bermasalah dalam kalangan mahasiswa KUIPSAS.

5. Cadangan penetapan tahap kelayakan mahasiswa membawa kenderaan ke KUIPSAS sebagai timbang tara ke arah rancangan KUIPSAS Sifar Kenderaan Pelajar.

Hasil perdebatan yang telah diterima serta ditolak oleh dua pertiga (2/3) dewan telah pun dikenal pasti dan akan dimaklumkan penerangannya secara terperinci dalam memo yang akan ditularkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar KUIPSAS dalam masa yang terdekat.

Sementara itu, hasil perbincangan bersama seluruh Ahli Parlimen Mahasiswa KUIPSAS ini akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi iaitu pihak tertinggi dalam pentadbiran kolej untuk dipertimbangkan dan mendapat kelulusannya.

Diingatkan semula, penubuhan Parlimen Mahasiswa KUIPSAS ini adalah badan berkecuali yang ahlinya hanyalah dalam kalangan pimpinan tertinggi mahasiswa sahaja iaitu MPPKUIPSAS dan Presiden serta Timbalan Presiden setiap persatuan Akademik.

Parlimen Mahasiswa KUIPSAS ini telah dipengerusikan sendiri oleh Presiden Majlis Perwakilan Pelajar KUIPSAS, saudara Wan Syafiq Asyraf bin Halimi @ Wan Halimi merangkap Yang Di Pertua Dewan Parlimen Mahasiswa KUIPSAS dengan kerjasama Timbalan Yang Di Pertua, Setiausaha Pertama, Setiausaha Kedua, Majlis Eksekutif dan seluruh Ahli Parlimen Mahasiswa.

Semoga dengan usaha murni ini, dapatlah memperlihatkan bahawa suara mahasiswa KUIPSAS perlu diambil kira juga dalam setiap inci penetapan atau penyelarasan perkara baharu yang melibatkan kesan sampingannya secara langsung atau secara tidak langsung kepada mahasiswa KUIPSAS.

“Salam Mahasiswa Memimpin”

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR KUIPSAS 2019/2020

Kunjungan Hormat Perkukuh Kerjasama

14 Januari 2020 (PEKAN) – KUIPSAS mengadakan Kunjungan Hormat ke Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada hari ini. Delegasi KUIPSAS diketuai oleh Rektor, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan turut disertai oleh Pegawai-Pegawai Kanan KUIPSAS.

Kunjungan hormat bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama di antara KUIPSAS dengan MUIP dan JAIP bagi melaksanakan program-program yang telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2020 ini khususnya yang berkaitan dengan bidang pendidikan.

 

Pensyarah KUIPSAS Ditauliah Juru Tunjuk Jurus Tunggal Peringkat Antarabangsa

11 Januari 2020 (JAKARTA) – Pensyarah KUIPSAS, En. Mohd Faizul b. Abdul Hadi Nor mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ditauliahkan sebagai Juru Tunjuk Jurus Tunggal dan Jurus Regu Antarabangsa selepas menyertai kursus juru tunjuk tersebut yang berakhir pada hari ini. Pengiktirafan peringkat antarabangsa ini ditauliahkan oleh Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT).

Kursus selama 4 hari tersebut diadakan di Padepokan Pencak Silat TMI, Jakarta, Indonesia dan disertai seramai 28 orang peserta dari Malaysia. Dengan pentauliahan yang diperolehi ini membolehkan En. Mohd Faizul untuk mengajar dan menjadi wasit juri kategori silat seni hingga ke peringkat antarabangsa. Pentauliahan ini juga merupakan keizinan rasmi daripda PERSILAT untuk menjadi juru tunjuk silat seni yang diperakui di seluruh dunia

Pentauliahan disampaikan oleh Bapak Arko Murjono, Timbalan Setiausaha Agong Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT) yang turut dihadiri oleh Cikgu Faid b. Musa- Presiden Persekutuan Silat Putrajaya dan Cikgu Kamarul Arifin b. A. Latib – Setiausaha Jawatankuasa Teknikal Wasit Juri Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA). En. Mohd Faizul merupakan pensyarah Fakulti Pengajian Pengurusan KUIPSAS.

 

ms_MYMalay