Pelajar KUIPSAS Hadiri Hari Ekonomi Nadir Bumi

23 Februari 2020 (KUANTAN) – Seramai 40 orang pelajar KUIPSAS telah menghadiri program Hari Ekonomi Nadir Bumi 2020 yang dianjurkan oleh Lynas Malaysia Sdn. Bhd. di Gebeng hari ini. Program dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas).

Sepanjang program berlangsung, pelajar-pelajar KUIPSAS telah mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini Lynas Malaysia yang memproses nadir bumi melalui pameran, taklimat dan diskusi. Taklimat telah disampaikan oleh Dato’ Mashal Ahmad, Pengarah Urusan Lynas Malaysia Sdn. Bhd.

 

Pelajar Pengurusan Anjurkan CSR Bersihkan Perkuburan

22 Februari 2020 (KUANTAN) – Fakulti Pengajian Pengurusan (FPP) KUIPSAS hari ini menganjurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) – Pembersihan Tanah Perkuburan bertempat di Tanah Pekuburan Batu 8, Jalan Gambang, Kuantan.

 

Masjid Tour UNESCO HERITAGE Xploration Penang

22 Februari 2020 (PULAU PINANG) – Ahli-ahli Kelab Sahabat Siswa (KESSIS) KUIPSAS sertai program Masjid Tour yang merupakan program komunikasi dakwah kepada non Muslim melalui kaedah Perlancongan Masjid. Program diadakan di Masjid Lebuh Acheh, Masjid Kapitan Keling dan Islamic Outreach ABIM (IOA) Penang.

 

Info lanjut di FB Kessis Kuipsas.

 

MASJID TOUR | UNESCO HERITAGE XPLORATION PENANG

Alhamdulillah, Masjid Tour merupakan aktiviti terakhir untuk Program Unesco Heritage Xploration. Sebelum memulakan aktiviti, para peserta diberikan taklimat ringkas berkaitan Masjid Tour. Bagaimana nak mulakan perbualan, jika ada yang betul berminat untuk masuk islam apa tindakkan yang perlu dilakukan dll. Aktiviti ini fokus adalah untuk berkongsi kepada pelancong/ non muslim berkaitan masjid dan Islam.

Aktiviti dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan pertama berada di Masjid Lebuh Acheh, kumpulan kedua di Masjid Kapitan Keling & kumpulan ketiga di Islamic Outreach ABIM Penang. Peserta diberikan peluang untuk berkongsi tentang masjid dan islam kepada pelancong dan non muslim. Pada mulanya agak gementar untuk mulakan bicara bersama pelancong/ non muslim. Tapi, bila dah seronok berbicara sampai takcukup masa pula. Ada yang berjumpa dengan orang Indonesia, German, Italy dll negara.

Semoga dengan adanya aktiviti dan pendedahan seperti ini membuatkan pelajar KUIPSAS lebih bersemangat untuk mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kelas dalam arena lapangan.

 

 

Bengkel Asah Kemahiran Komunikasi Dengan Non Muslim

22 Februari 2020 (KUANTAN) – Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Dakwah (PERSADA) dan Jabatan Dakwah KUIPSAS hari ini menganjurkan program Bengkel Perbandingan Agama bertempat di Dewan Barakah KUIPSAS. Program yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang itu disertai seramai 35 orang mahasiswa KUIPSAS dan orang awam dan dikendalikan sepenuhnya oleh Sdr. Lim Jooi Soon.

Program diadakan bertujuan untuk mengasah kemahiran berkomunikasi dan berhujah mengenai agama-agama di Malaysia dalam kalangan peserta. Selain itu, program juga memberikan pendedahan berkenaan strategi mendekati sasaran dakwah bukan Islam. Dalam masa yang sama, peserta dilatih supaya berani berhujah dan berhadapan dengan masyarakat non Muslim dengan penuh keyakinan dan keberanian.

Dalam program tersebut, penceramah telah menjelaskan perbezaan-perbezaan di antara agama-agama di Malaysia. Aktiviti bengkel pula memfokuskan kaedah strategik untuk berhadapan dengan sasaran dakwah serta teknik menjawab persoalan dengan yakin. Program turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Dakwah KUIPSAS, Ustazah Nor Fadelah Nordin dan pensyarah-pensyarah Jabatan Dakwah.

Lim Jooi Soon Bro Lim Jooi Soon – Page

 

Bicara Intelek Kupas Islam Dan Perlembagaan

22 Februari 2020 (KUANTAN) – Pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman, Jabatan Syariah dan Fakulti Pengajian Islam (FPI) KUIPSAS hari ini menganjurkan program Bicara Intelek – Islam Dan Perlembagaan. Program ini menampilkan Pakar Perlembagaan iaitu Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz, Pensyarah Kanan Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Program ini dihadiri oleh semua pelajar dan pensyarah Jabatan Syariah dan turut disertai oleh Ahli Parlimen Belia Malaysia.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai isu dan persoalan berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Agama Islam telah dikupas dan dihuraikan oleh penceramah. Di antaranya ialah masa depan lslam, Melayu & Perlembagaan, Statut Rom, ICERD, isu “Bin Abdullah”, peranan Majlis Raja-Raja dalam memelihara agama Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

 

Feed The Homeless UNESCO HERITAGE Xploration Penang

21 Februari 2020 (GEORGETOWN) – Ahli-ahli Kelab Sahabat Siswa (KESSIS) KUIPSAS sertai program Feed The Homeless di sekitar KOMTAR dan Jalan Chowrasta, Pulau Pinang. Program dianjurkan bersama KESSIS dan Islamic Outreach ABIM (IOA) Pulau Pinang. Ahli-ahli KESSIS dapat mempraktikkan ilmu-ilmu kesukarelaan dengan berinteraksi bersama gelandangan dan mengedarkan roti dan air mineral kepada mereka.

Info lanjut di FB Kessis Kuipsas.

 

Sayang Di Sayang Bersama Warga Emas OKU

21 Februari 2020 (TEMERLOH) – Pelajar-pelajar Diploma Kaunseling Islam hari ini menyantuni Warga Emas Kelainan Upaya dalam Program Sayang Di Sayang bertempat di Pusat Jagaan Rumah Sejahtera, Kampung Lebak, Temerloh

Program bertujuan untuk melatih pelajar-pelajar diploma ini mengendalikan sesi bimbingan individu, sesi bimbingan kelompok, sukaneka dan gotong-royong di pusat jagaan tersebut. Pelajar-pelajar juga dapat membentuk kesedaran tentang kepentingan menyantuni warga emas serta didedahkan dengan langkah-langkah menguruskan warga emas kelainan upaya.

Program turut dihadiri oleh En. Shohaimi Abd Latif (Pengetua Pusat Jagaan), En. Mohd Fikri bin Mohd Mokhtar (Pensyarah Kaunseling Islam) dan dua orang pelajar praktikum.

 

Kunjungan Hormat Kepada Pengarah Pendidikan

20 Februari 2020 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini mengadakan Kunjungan Hormat kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Hj. Tajuddin bin Mohd Yunus di pejabatnya di Bandar Indera Mahkota. Delegasi KUIPSAS diketuai oleh Rektor, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin.

Kunjungan Hormat bertujuan untuk mengukuhkan hubungan baik di antara KUIPSAS dan JPNP di samping mengemukakan cadangan program-program kerjasama yang boleh dianjurkan secara bersama. Delegasi KUIPSAS turut disertai oleh Pendaftar, En. Mohd Zamri bin Wahab, Pegawai Psikologi, YBrs. Dr. Sharafuddin Aisa bin Osman dan Penolong Pendaftar Perhubungan Korporat, En. Muhammad Hisyamudin bin Baharudin.

 

Lawatan Strategik Bahagian Penyelidikan KUIPSAS

18 Februari 2020 (PUTRAJAYA) – Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (BPI) KUIPSAS yang diketuai oleh Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi, YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar hari ini mengadakan Lawatan Strategik ke Bahagian Sitasi & Infometrik, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya dan Institut Kajian Hadis dan Aqidah (INHAD), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

 

Lawatan BPI ke Bahagian Sitasi & Infometrik bertujuan untuk mendapatkan panduan yang tepat berkenaan cara pendaftaran Jurnal Al-Sirat terbitan KUIPSAS bagi mendapatkan taraf Scopus. Taklimat telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Sitasi Malaysia, YBhg. Prof. Madya Dr. Zuraidah binti Abd Manaf.

 

Lawatan ke INHAD KUIS pula diadakan untuk membincangkan ‘matching-grant’ di antara Akademi Hadis KUIPSAS dan INHAD bagi menjalankan penyelidikan dalam bidang Hadis. Perbincangan ini berfokus kepada tajuk penyelidikan serta peruntukan kewangan yang disediakan. Perbincangan telah dihadiri oleh Pengarah INHAD, YBhg. Dr. Norsaleha binti Mohd Salleh dan Dr. Mohd Khafidz bin Soroni (Ketua Bahagian Hadis).

 

Selain Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi, lawatan ini turut disertai oleh YBrs. Dr. Fahmi Zaidi bin Abdul Razak (Ketua Unit Pembangunan Penyelidikan dan Ilmu), En. Mohd Yusrizal Bin Mohd Yunus (Penolong Pendaftar BPI), YBrs. Dr. Mohamad Zulfakhairi bin Mokhtar (Wakil BPI) dan En. Abu Dzar bin Ahmad (Wakil Akademi Hadis).

 

Rektor Sertai Lawatan Kerja Ke Muadzam

17 Februari 2020 (MUADZAM SHAH) – Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin diundang ke Lawatan Kerja bersama YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Pelajaran & Kesihatan Negeri Pahang di Muadzam Shah hari ini. Lawatan Kerja turut disertai YH. Dato’ Syed Ahmad Fuad bin Syed Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YB. Datin Shamsiah Arshad, ADUN Bukit Ibam, YB. Ir. Razali Kassim, ADUN Muadzam Shah, Pemimpin-pemimpin setempat, Pegawai Kanan JAIP & Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Program bermula dengan sesi Ramah Mesra bersama warga Sekolah Menengah Agama (SMA) Bukit Ibam. Dalam ucapannya, YB. Dato’ Sri turut menyampaikan ceramah ringkas kepada pelajar-pelajar SMABI termasuk menzahirkan kewujudan KUIPSAS sebagai Institusi Pengajian Tinggi Islam di Negeri Pahang yang menjadi pusat pengajian untuk melahirkan ulama, cendikiawan dan profesional pada masa hadapan. Beliau turut menggalakkan pelajar-pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Lawatan diteruskan dengan sesi Libaturus dengan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Muadzam. Dalam sesi ini, delegasi lawatan diberikan taklimat oleh Alfadhil Qadhi Daerah Muadzam, Ustaz Hamdan Yusi Yusof mengenai latar belakang dan peranan yang dimainkan oleh PAID Muadzam Shah dalam menyemarakkan syiar Islam.

 

ms_MYMalay