Selamat Datang Auditor SIRIM

29 Jun 2020 (KUANTAN) – KUIPSAS menerima kehadiran Auditor SIRIM pada hari ini bagi menjalankan Sesi Audit Pensijilan Semula MS1900:2014 dan ISO9001:2015. Audit akan dilaksanakan selama dua hari yang merangkumi semua aspek dan bahagian di KUIPSAS.

Pasukan auditor diketuai oleh Cik Hjh. Hanida Ghazali dan dianggotai oleh En. Khalid Saleman, En. Mohd Hisyam Mahadi dan Ustaz Hisham Sabri selaku Pakar Teknikal Syariah.

Dalam ucapannya semasa Mesyuarat Pembukaan Audit, Cik Hjh. Hanida menyatakan penghargaan KUIPSAS kerana kekal menjalin hubungan dengan SIRIM bagi tujuan pensijilan MS dan ISO untuk menyediakan Sistem Pengurusan Kualiti yang berkesan di KUIPSAS.

 

Ziarah Mantan Presiden Alumni Hadapi Ujian Kesihatan

21 Jun 2020 (KUANTAN) – Wakil Persatuan Alumni KUIPSAS menziarahi Prof. Madya Dr. Muhamad Zaid bin Ismail yang kini menjalani rawatan kimoterapi berikutan kanser pangkal hidung yang dihadapinya sejak dua tahun lalu.

Prof. Madya Dr. adalah pelajar KUIPSAS ambilan pertama & kini berkhidmat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu.

Wakil persatuan turut menyampaikan sumbangan kepada Ybhg. Prof. Madya Dr. bagi meringankan beban yang dihadapi.

Semoga Ybhg. Prof. Madya Dr. diberikan kekuatan & kesembuhan untuk kembali menabur bakti pada anak bangsa.

 

Pemangku Raja Tunai Solat Jumaat Di Masjid KUIPSAS

19 Jun 2020 (KUANTAN) – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan Solat Fardhu Jumaat Bersyarat bersama 308 jemaah di Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) hari ini.

Jumlah kehadiran jemaah adalah bilangan teramai sejak Masjid KUIPSAS diberikan kebenaran untuk melaksanakan Solat Fardhu Jumaat Bersyarat yang masuk kali keenam pada minggu ini. Walaupun kehadiran jemaah semakin bertambah, mereka semua memberikan kerjasama terbaik kepada urusetia dengan mematuhi semua SOP dan arahan yang ditetapkan.

Hadir bersama baginda ialah Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Tengku Panglima Raja, YAM Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan; Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Osman; Timbalan Ketua Polis Pahang, YDH DCP Dato’ Mohd Yusri Hassan Basri dan Rektor KUIPSAS, Prof. Madya Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin.

Khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Anak Adalah Amanah Allah’ disampaikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman. Solat diimaman oleh Imam 1, Ustaz Mohd Khairi bin Mohd Desa manakala Bilal Bertugas ialah Ustaz Sahrulnizam bin Sapee.

Turut diadakan ialah bacaan Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin dan serta diangkat musibah wabak pandemik COVID-19 dari negara dan Negeri Pahang khususnya. Untuk rekod, KDYMM Tuanku ialah Canselor KUIPSAS.

 

KUIPSAS Lantik Pengarah dan Timbalan PPS

16 Jun 2020 (KUANTAN) – KUIPSAS melantik YBrs. Dr. Norahida binti Mohamed selaku Pengarah Pusat Pengajian Siswazah (PPS) KUIPSAS dan Pn. Zuraini binti Mohamad selaku Timbalan Pengarah.

Selaku Pengarah dan Timbalan Pengarah PPS, Dr. Norahida dan Pn. Zuraini bertanggungjawab mengendalikan kursus Pasca Siswazah yang mula ditawarkan sejak 2019, mewujudkan dan melaksanakan garis panduan dan peraturan dalam memastikan kualiti program pengajian siswazah memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Dr, Norahida merupakan pelajar KUIPSAS (ketika itu KIP) ambilan pertama pada tahun 1996 dan menamatkan pangajian Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Bahasa Arab dan Tamadun Islam pada 1999. Beliau kemudiannya menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Putra Malaysia (1999 – 2002) , Ijazah Sarjana di Universiti Malaya (2005 – 2009) dan Doktor Falsafah dalam bidang Tamadun Islam di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Terengganu. Beliau mula berkhidmat di KUIPSAS pada tahun 2002 sebagai Tutor sebelum dilantik sebagai pensyarah tetap pada tahun 2005 dan berkhidmat sehingga hari ini.

Manakala bagi Puan Zuraini pula memiliki Bachelor Sains Komputer (1997 – 2000) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat (Sains Komputer) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

PPS KUIPSAS pada masa kini mengendalikan satu program iaitu Sarjana Pengajian Islam (Secara Penyelidikan) dan akan menawarkan beberapa lagi program pada masa hadapan.

 

Pengguna Di Kuantan Menyukai Portal PAHANGMART

9 Jun 2020 (KUANTAN) – Hasil kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik KUIPSAS merumuskan bahawa 80.16% pengguna di Kuantan menyukai Portal PahangMart yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Kajian yang bertajuk “Faktor Sikap, Kebergunaan Dan Kemudahgunaan Terhadap Niat Penggunaan Portal PahangMart Dalam Kalangan Pengguna di Kuantan” melibatkan responden seramai 127 orang dalam daerah Kuantan.
Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti tahap niat penggunaan portal PahangMart dalam kalangan pengguna di Kuantan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan baru-baru ini. Kajian ini dijalankan oleh kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Cik Nur Aulia Fahada bt Misaridin (Pensyarah FPP) dan dianggotai oleh YBrs. Dr. Mohammad Zulfakhairi Mokhtar (Pensyarah FPP) dan En. Wan Hashridz Rizal bin Wan Abu Bakar (Pensyarah FPI).

T20 Berniat Sedekah Lebih Tinggi Sepanjang PKP

7 Jun 2020 (KUANTAN) – Golongan T20 Muslim di negara ini didapati mempunyai niat untuk bersedekah lebih tinggi berbanding golongan lain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini. Demikian hasil kajian yang bertajuk “Kajian Niat Muslim untuk Bersedekah Sepanjang Tempoh Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)”.
Kajian telah melibatkan 418 orang responden dari seluruh negara dan dilaksanakan oleh kumpulan penyelidik daripada Fakulti Pengajian Pengurusan (FPP) KUIPSAS. Kumpulan penyelidik diketuai oleh YBrs. Dr. Mohammad Zulfakhairi Mokhtar dan dianggotai oleh Pn. Lydiawaty Hassan Busry dan Cik Nur Aulia Fahada Misaridin.
Berikut adalah hasil kajian secara keseluruhan :
1- Tahap niat untuk bersedekah dalam kalangan Muslim di Malaysia ialah 94%
2- Perempuan mempunyai niat yang lebih tinggi untuk bersedekah berbanding lelaki
3- Muslim yang sudah berkahwin mempunyai niat untuk bersedekah yang lebih tinggi
4- Golongan T20 mempunyai niat untuk bersedekah yang lebih tinggi
5- Kedudukan tiga negeri di Malaysia yang mempunyai niat untuk bersedekah tertinggi:
a) Kedah sebanyak (98%)
b) Melaka sebanyak (96%)
c) Pahang sebanyak (94%)
6- Muslim di Malaysia cenderung memberikan sedekah kepada individu
7- Muslim di Malaysia cenderung bersedekah dalam bentuk wang tunai melalui tabung kutipan.
8- Muslim di Malaysia cenderung bersedekah melalui pindahan wang secara online.
Fakulti Pengajian Pengurusan Kuipsas
Fakulti Pengajian Pengurusan Kuipsas

Solat Jumaat Kali Kedua Berjalan Lancar

22 Mei 2020 (KUANTAN) – Solat Fardhu Jumaat berjaya dilaksanakan pada hari ini di bawah pengawasan dan pematuhan SOP yang ketat di Masjid KUIPSAS. Solat ini adalah kali kedua dilaksanakan selepas kebenaran diberikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
Solat Fardhu Jumaat ini telah dihadiri seramai 150 orang jemaah terdiri daripada kakitangan KUIPSAS, penduduk sekitar dan ahli kariah Masjid KUIPSAS. Turut hadir menunaikan solat ialah Setiausaha Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Salehuddin bin Ishak, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH. Dato Seri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH. Dato’ Mohd Zakaria bin Ibrahim dan Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin.
Pusat Islam Masjid KUIPSAS yang menyelaraskan pelaksanaan Solat Fardhu Jumaat ini telah menambah dua lagi SOP yang perlu dipatuhi oleh ahli jemaah bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik sekaligus menghalang kemungkinan berlakunya penularan wabak Covid-19. Pelaksanaan solat ini juga telah dipantau dengan rapi oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang

Tengku Amir Lawat KUIPSAS

20 Mei 2020 (KUANTAN) – Warga KUIPSAS sangat bertuah hari ini kerana menerima lawatan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Lawatan ini julung kali dilakukan selepas YAM Tengku dilantik sebagai TYDP MUIP.
Ketibaan YAM Tengku pada jam 10.00 pagi disambut oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan Pengurusan Kanan KUIPSAS. Lawatan ini diadakan bertujuan untuk meninjau perkembangan semasa Makmal Hadis KUIPSAS yang sudah mula beroperasi pada ketika ini.
Makmal Hadis ini merupakan amanat dan hasrat murni Canselor KUIPSAS yang pertama, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah semasa hayat Baginda. Untuk tujuan itu, peruntukan sebanyak RM100,000 telah disalurkan oleh MUIP kepada KUIPSAS bagi menjayakan hasrat murni ini.
Di samping itu, YAM Tengku juga mendengar pembentangan taklimat mengenai KUIPSAS secara keseluruhannya dan menyampaikan pandangan mengenai ruang-ruang kerjasama seterusnya di antara MUIP dan KUIPSAS pada masa hadapan.
Tengku Panglima Raja
Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang
Kerajaan Negeri Pahang

KUIPSAS Laksana Solat Jumaat

15 Mei 2020 (KUANTAN) – Masjid KUIPSAS telah mendapat perkenan daripada KDYMM Pemangku Raja Pahang sebagai salah satu daripada 3 masjid untuk melaksanakan Solat Fardhu Jumaat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa kini.
Solat Jumaat ini dilaksanakan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan di samping kawalan keselamatan yang ketat. Seramai 200 orang jemaah telah hadir menunaikan solat yang terdiri daripada kakitangan KUIPSAS serta penduduk setempat.
Walaupun terpaksa menghadapi SOP yang ketat, semua jemaah yang hadir telah memberikan kerjasama yang terbaik. Mereka terlebih dahulu telah mendaftarkan diri, memakai pelitup muka, membawa sejadah, sihat tubuh badan, hadir dalam keadaan berwuduk, mengambil tempat dalam saf yang telah dijarakkan serta meninggalkan masjid dalam keadaan teratur dan tidak melakukan kontak fizikal serta perkumpulan atau perhimpunan selepas menunaikan solat.
Pelaksanaan Solat Jumaat ini dipantau rapi oleh pegawai daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Khutbah telah disampaikan oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin manakala imam yang bertugas ialah Imam Khairi bin Mat Desa. Ustaz Jaafri bin Yusuf pula bertindak selaku Bilal.
Pelaksanaan Solat Jumaat ini telah diselaraskan oleh Pusat Islam Masjid KUIPSAS yang diketuai oleh Ustaz Mohd Shupian bin Majid serta dibantu seramai 36 orang urusetia yang bertugas secara sukarela bagi memastikan kelancaran dan kepatuhan kepada SOP sepenuhnya.

Kerajaan Negeri Pahang

Jabatan Agama Islam Pahang
Kementerian Pengajian Tinggi
Majlis Keselamatan Negara
Majlis Keselamatan Negara Negeri Pahang

Rakyat Malaysia Cenderung Menabung Dalam Tempoh PKP

13 Mei 2020 (KUANTAN) – 83% rakyat Malaysia mempunyai niat untuk menabung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2020 lalu. Demikian salah satu hasil kajian bertajuk “Kajian Terhadap Kecenderungan Rakyat Malaysia Untuk Menabung Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan” yang diumumkan hari ini di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).
Kajian ini merupakan kajian ketiga yang dilaksanakan oleh KUIPSAS dan dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah Fakulti Pengajian Pengurusan (FPP) serta Bahagian Penyelidikan dan Inovasi KUIPSAS.
Kajian ini juga menunjukkan bahawa kaum wanita mempunyai niat untuk menabung yang lebih tinggi berbanding lelaki. Di samping itu, faktor umur yang semakin meningkat turut mempengaruhi niat rakyat Malaysia untuk meningkatkan tabungan mereka. Selain itu, pasangan yang telah berkahwin turut menunjukkan niat untuk menabung dalam tempoh PKP yang lebih tinggi berbanding mereka yang bujang.
Menurut Ketua Pasukan Penyelidik, YBrs. Dr. Muhammad Hafiz bin Yaakub, kajian ini menggunakan Theory of Planned Behavior sebagai asas untuk menentukan niat (intention) seseorang untuk membuat tabungan. Teori ini dikembangkan lagi dengan memasukkan pembolehubah kadar celik kewangan sebagai satu faktor yang mempengaruhi niat untuk menabung. Menarik tentang dapatan kajian ini ialah kadar kecelikan kewangan seseorang tidak mempengaruhi niatnya untuk menabung dalam tempoh PKP.
Data kajian yang diperolehi dari responden seluruh pelusuk Malaysia ini turut merumuskan bahawa kakitangan sektor badan berkanun/ GLC lebih berkecenderungan untuk menabung berbanding sektor lain. Di samping itu, penduduk negeri Perak mempunyai niat untuk menabung tertinggi, iaitu 88.2%, diikuti dengan Sabah (86.6%) dan Sarawak (86.2%), manakala peratusan rakyat Pahang yang mempunyai niat untuk menabung ialah 82.4%.
Selain YBrs. Dr. Muhammad Hafiz yang bertindak sebagai Ketua Pasukan Penyelidik, kajian ini turut dilaksanakan oleh YBrs. Dr. Muhamad Zulfakhairi bin Mokthar, Puan Maslina binti Mohamed, Puan Nurul Khair binti Ishak dan Puan Nor Azah binti Abdul Jalil.
Kerajaan Negeri Pahang
Kementerian Pengajian Tinggi
Fakulti Pengajian Pengurusan KUIPSAS
ms_MYMalay