Gotong Royong Ceriakan Persekitaran Masjid KUIPSAS

28 Julai 2020 (KUANTAN) – Anggota Kerja KUIPSAS (AKK) lelaki hari ini bergabung tenaga menjalankan aktiviti gotong royong bagi mengindahkan persekitaran Masjid KUIPSAS. Aktiviti gotong royong ini dilakukan kepada pagar di sekeliling Masjid KUIPSAS dengan dicat semula supaya kelihatan lebih ceria di mata ahli jemaah yang hadir menunaikan ibadah solat.

Gotong royong juga diadakan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidil Adha yang akan tiba beberapa hari lagi. Sempena Hari Raya Aidil Adha, Masjid KUIPSAS akan mengadakan Solat Sunat Aidil Adha, Solat Fardhu Jumaat dan ibadah korban 3 ekor kerbau dan lembu pada Hari Tasyrik ke-3.

 

Entrance Conference Audit Negara

22 Julai 2020 (KUANTAN) – Entrance Conference Mengenai Pengauditan Pengurusan Syarikat Sistem Pendidikan Islam Pahang Sd. Bhd. (SPIPSB) telah diadakan hari ini di Dewan Senat KUIPSAS. Sesi audit yang akan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara Negeri Pahang ini selaras dengan Warta Kerajaan Persekutuan di bawah Perintah Audit (Akta Syarikat) 2017, P. U. (A) 294, Perkara 106 Perlembagaan Persekutuan dan para 5(1)(d) Akta Audit 1957.

Pihak Audit akan menjalankan pengauditan bermula 10 Ogos 2020 sehingga auditan selesai dijalankan. Entrance Conference ini telah dihadiri oleh Tuan Zulkifli bin Tungal, Pengarah Jabatan Audit Negara Negeri Pahang, Pn. Noorafizah binti Mohamad (Juruaudit) dan para Penolong Juruaudit.

 

Lawatan Kerja Ke Ladang Sawit

21 Julai 2020 (MARAN) – Pengurusan Kanan KUIPSAS hari ini mengadakan Lawatan Kerja ke Ladang Bukit Bedong, Maran bagi melihat sendiri perkembangan semasa projek penanaman kelapa sawit. Ladang yang diusahakan bersama LKPP Corporation Sdn. Bhd. ini merupakan salah satu lokasi ladang sawit di seluruh negeri Pahang bertujuan untuk menjana sumber pendapatan KUIPSAS pada masa hadapan.

Delegasi KUIPSAS diketuai oleh Pendaftar, Mejar Mohd Zamri bin Wahab telah diberikan taklimat kemajuan projek, dibawa melawat persekitaran ladang dan diberi peluang untuk menanam pokok sebagai tanda kenangan lawatan.

Sepanjang lawatan diadakan, delegasi KUIPSAS telah diberikan penerangan oleh Pengurus LKPP Corporation Sdn. Bhd. Ladang Batu 55 Maran, Tuan Haji Azhar Bin Mohd Salleh.

 

Lawatan Prihatin Ke SMA Al-Falah Batu Talam

14 Julai 2020 (RAUB) – KUIPSAS mengadakan Lawatan Prihatin pada hari ini ke Sekolah Menengah Agama Al-Falah Batu Talam, Raub bagi meninjau keadaan Asrama Putera yang terjejas kerana musibah kebakaran yang berlaku baru-baru ini. Delegasi KUIPSAS diketuai oleh Rektor, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan disertai oleh Pegawai-Pegawai Kanan KUIPSAS.

Lawatan telah disambut oleh Pengetua SMA Al-Falah, En. Hasanuddin bin Md Isa dan guru-guru sekolah berkenaan. Dalam lawatan tersebut, delegasi KUIPSAS telah diberikan penerangan oleh Pengetua sebelum melihat kesan kerosakan akibat kebakaran yang berlaku kepada blok asrama tersebut. Delegasi KUIPSAS juga dibawa melawat ke lokasi penempatan sementara pelajar lelaki di Dewan Makan dan Dewan Sekolah.

Sebagai tanda keprihatinan KUIPSAS terhadap musibah yang melanda, Rektor KUIPSAS telah menyerahkan sumbangan berupa wang tunai termasuk kutipan Solat Jumaat di Masjid KUIPSAS yang merupakan hasil sumbangan orang ramai.

Lawatan turut disertai oleh sebahagian ahli KUIPSAS Riders Club (KRC) untuk menghulurkan sumbangan tenaga melakukan kerja amal membantu pihak sekolah menyusun atur asrama sementara di Dewan Sekolah bagi menerima kemasukan semula pelajar sekolah ini pada minggu hadapan.

#kebakaranasrama #smaalfalahbatutalam #raub #afiss #sumbangan #kuipsas #kuipsasbumibarakah

 

KUIPSAS Riders Club Dilancarkan

13 Julai 2020 (KUANTAN) – Dengan menggunakan slogan “Ride, Ride Juga, Solat Jangan Tinggal”, KUIPSAS Riders Club (KRC) hari ini dirasmikan pelancarannya oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin. Pelancaran dilakukan dalam Program Perhimpunan Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang Dan Cintai Negara Bulan Julai 2020.

KRC ditubuhkan oleh Anggota Kerja KUIPSAS (AKK) bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim sesama AKK melalui aktiviti riadah bermotor. Sehingga hari ini KRC telah dianggotai seramai 25 orang pensyarah, kakitangan dan pelajar KUIPSAS. KRC diketuai oleh Ustaz Haizuran bin Mohd Jani, Ketua Jabatan Quran Sunnah KUIPSAS.

Selain menganjurkan program konvoi ke lokasi-lokasi menarik, KRC juga akan mempromosikan KUIPSAS kepada masyarakat umum serta melakukan kerja-kerja amal dan khidmat masyarakat di lokasi-lokasi yang disinggahi.

KUIPSAS RIDERS CLUB@KRC Rektor Kuipsas

#krc #riders #motor #fitkuipsas #kuipsas #kuipsasbumibarakah

 

Rektor Bentang Misi Tahun Kedua

13 Julai 2020 (KUANTAN) – Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin hari ini membentangkan Misi Rektor Tahun Kedua selepas pelantikannya masuk tahun kedua pada bulan Jun yang lepas. Pembentangan ini dilakukan dalam program Perhimpunan Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang Dan Cintai Negara Bulan Julai 2020.

Perhimpunan yang diadakan di Auditorium KUIPSAS itu bermula jam 8.30 pagi dan dihadiri oleh semua Anggota Kerja KUIPSAS (AKK).

Dalam ucapannya, Rektor telah membentangkan 5 Misi Tahun Kedua iaitu Menambahkan Program Pengajian, Meningkatkan Pendapatan, Menganjurkan Sambutan Jubli Perak, Memenuhi Kriteria Universiti Penuh dan Memperkasa Kebajikan AKK dan Pelajar.

Kesemua misi tersebut menurutnya lagi, perlu berlandaskan prinsip-prinsip pengurusan yang diterapkan oleh Islam iaitu adil, amanah, mengutamakan kemaslahatan, tabayun, kerja berkualiti dan syura.

Di akhir perhimpunan, Rektor telah menerima penyerahan buku bertajuk “Taqlif” yang ditulis oleh YBrs. Dr. Mohamed Ebrahim Elshirbiny Saqr, pensyarah Jabatan Dakwah KUIPSAS dan kemudiannya merasmikan pelancaran KUIPSAS Riders Club (KRC).

 

Kunjungan Hormat Ke PTPTN

7 Julai 2020 (KUALA LUMPUR) – Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin hari ini mengetuai delegasi KUIPSAS mengadakan Kunjungan Hormat ke pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kunjungan disambut oleh Cik Mastura binti Mohd Khalid, Ketua Pegawai Operasi (COO) PTPTN.

Kunjungan diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua pihak serta mengadakan perbincangan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan penyaluran pinjaman PTPTN kepada pelajar-pelajar KUIPSAS.

Delegasi KUIPSAS turut disertai oleh Timbalan-Timbalan Rektor, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman dan YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar dan Bendahari, En. Khairuddin Ismail.

Untuk rekod, KUIPSAS mencarum dalam SSPN-i Plus melalui Pakej Intan bagi meningkatkan perkhidmatan dan kebajikan kepada semua warga kerjanya. Rujuk : https://www.facebook.com/KUIPSASofficial/posts/1977343185682520

Dalam masa yang sama, KUIPSAS telah menerima Anugerah Sahabat Terbaik Agensi Swasta 2019 yang diberikan oleh PTPTN Negeri Pahang. Rujuk : https://www.facebook.com/KUIPSASofficial/posts/2395158217234346

 

Keputusan Bijak Sambung Sarjana

6 Julai 2020 (KUANTAN) – Keputusan yang dibuat untuk menyambung pengajian pada peringkat Sarjana di KUIPSAS merupakan satu keputusan yang bijak bagi memacu perkembangan akademik dan masa hadapan. Demikian menurut Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dalam Majlis Pertemuan bersama calon-calon Sarjana Pengajian Islam KUIPSAS di Dewan Senat KUIPSAS.

Majlis yang diselaraskan oleh Pusat Pengajian Siswazah (PPS) KUIPSAS ini dihadiri seramai 9 orang calon Sarjana yang sudah mendaftar bagi memulakan pengajian dalam Sesi Kemasukan Jun 2020/2021 ini. Turut hadir ialah Timbalan Rektor Akademik Dan Pengantarabangsaan, YBrs. Dr. Rosli bin Omar dan Pengarah PPS KUIPSAS, YBrs. Dr. Norahida Mohamad.

 

Tiada NCR, SIRIM Sambung Pensijilan MS Dan ISO

30 Jun 2020 (KUANTAN) – Tiada penemuan dan ketidakakuran yang dilaporkan oleh pasukan Auditor SIRIM yang selesai menjalankan Sesi Audit Pensijilan Semula MS1900:2014 dan ISO9001:2015 di KUIPSAS pada hari ini. Demikian menurut Cik Hjh. Hanida Ghazali yang bertindak selaku Ketua Pasukan Auditor SIRIM dalam Mesyuarat Penutupan Audit di Dewan Senat KUIPSAS.

Beliau kemudiannya menyatakan bahawa tanpa Laporan Ketidakakuran (NCR) ini, Pensijilan MS1900:2014 dan ISO9001:2015 yang dimiliki oleh KUIPSAS akan disambung selama 3 tahun lagi sehingga 2023.

Turut hadir semasa Mesyuarat Penutupan Audit ialah Mejar Mohd Zamri bin Wahab, Wakil Pengurusan merangkap Pendaftar KUIPSAS, Timbalan-Timbalan Rektor, Bendahari, Pegawai-Pegawai Kanan KUIPSAS, AJK ISO dan Unit Kualiti KUIPSAS.

Sesi Audit Pensijilan Semula oleh SIRIM yang dijalankan selama 2 hari ini melibatkan 4 orang auditor. Mereka terdiri daripada Cik Hjh. Hanida Ghazali (Ketua), En. Khalid Saleman, En. Mohd Hisyam Mahadi dan Ustaz Hisham Sabri (Pakar Teknikal Syariah).

KUIPSAS komited untuk menyediakan perkhidmatan pengajian tinggi yang terbaik dan berkualiti kepada semua pelajar dan ibu bapa / penjaga. Pensijilan MS1900:2014 dan ISO9001:2015 yang dimiliki oleh KUIPSAS sejak tahun 2014 ini menjadi manifestasi komitmen tersebut.

 

Rektor Sertai Delegasi Bertemu Menteri Agama

30 Jun 2020 (PUTRAJAYA) – Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin hari ini menyertai delegasi dari Negeri Pahang untuk bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB. Senator Datuk Dr. Hj. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di pejabatnya di Putrajaya.

Delegasi dari Negeri Pahang terdiri daripada YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Bin Ab.Moin, Ahli Dewan Negeri Pahang Kawasan Dong, YH. Dato’ Syed Ahmad Fuad bin Syed Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Hamdan bi Hussin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuatan (MPK) dan YH. Dato’ Shahid bin Ismail, Pegawai Daerah Raub.

Pertemuan diadakan bertujuan untuk mengemukakan mengemukakan permohonan pembinaan kampus Darul Quran JAKIM di daerah Raub, pembinaan Masjid Terapung di bandar Kuantan dan pembinaan masjid di Pulau Tioman.

 

ms_MYMalay