KUIPSAS Sertai Anugerah Integriti Governans Dan Anti-Rasuah

26 OKTOBER 2021 (KUANTAN) – KUIPSAS menerima Sijil Penyertaan Anugerah Integriti, Governans Dan Anti-Rasuah 2020 (AIGA) Peringkat Negeri Pahang dalam majlis yang diadakan di Yayasan Pahang. Sijil Penyertaan diterima oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin.
AIGA 2020 yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Yayasan Pahang (YP) merupakan satu anugerah bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti, tadbir urus terbaik serta inisiatif antirasuah dalam organisasi mereka.
Majlis penyampaian anugerah dilakukan oleh YAB. Dato’ Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang yang juga turut dihadiri oleh Ybhg. Tan Sri Mohd Zuki Bin Ali, Ketua Setiausaha Negara.

Institusi Pengajian Tinggi Agama Berperanan Bentuk Watak Sarjana Muslim

22 OKTOBER 2021 (KUANTAN) – Institusi Pengajian Tinggi Agama berperanan membentuk watak kesarjanaan Muslim yang ideal menurut ukuran matlamat pendidikan Islam serta membawa visi dan misi yang memenuhi keperluan kersarjanaan Islam bertaraf global.
Demikian menurut Rektor KUIPSAS, Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KUIPSAS dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menurutnya lagi, sebuah institusi pengajian yang membawa jati diri Islam, perlu berdaya saing dengan institusi pengajian lain dalam usaha melahirkan para sarjana yang berkemahiran dalam bidang ilmu-ilmu keislaman dan berminda global.
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman yang diadakan secara maya ini bertujuan untuk membina kerjasama di antara KUIPSAS dan UIAM khususnya dalam bidang penyelidikan. MoU ditandatangani oleh Rektor KUIPSAS dan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli bin Abdul Razak.

Menggembirakan Rasulullah Dengan Mengenang Kelahirannya

21 Oktober 2021 (KUANTAN) – Umat Islam digalakkan mengenang kelahiran Rasulullah SAW kerana Allah SWT juga mengenang kelahiran Baginda sebagaimana yang disebut dalam Surah Al-Dhuha. Mengenang kelahiran Baginda akan menghidupkan fitrah Allah SWT serta menggembirakannya dengan kisah kelahirannya.
Demikian menurut YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Pahang ketika menyampaikan Ceramah Maulidurrasul sempena program Gema Maulidurrasul KUIPSAS di Masjid KUIPSAS.
Beliau menambah, kelahiran Rasulullah SAW adalah luar biasa yang wajar dikenang dan diingati serta diulang sebut untuk membugar hubungan dengan Baginda. Hubungan dengan Rasulullah SAW ini akan menguatkan lagi umat Islam untuk membawa dakwah agama ini kepada masyarakat.
Program Gema Maulidurrasul KUIPSAS dianjurkan oleh Pusat Islam Masjid KUIPSAS sempena Sambutan Maulidurrasul 1443H dan dihadiri oleh warga KUIPSAS serta ahli kariah berdekatan. Terdahulu, hadirin diperdengarkan dengan Bacaan Qasidah dan Gema Selawat bagi mengenang Rasulullah SAW.

UMW Sumbang Toyota Inova

13 OKTOBER 2021 (CAMERON HIGHLANDS) – UMW Corporation Sdn. Bhd. sebuah konglomerat dalam bidang automotif, kejuruteraan, pembuatan dan aeroangkasa menyampaikan sumbangan berbentuk satu unit kenderaan pelbagai guna Toyota Inova kepada KUIPSAS.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Fuaad b. Mohd Kenali, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad kepada YAB. Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy b. Wan Ismail, Menteri Besar Pahang di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.
Turut hadir semasa majlis penyampaian sumbangan tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang dan Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin.
YAB. Dato’ Sri Wan Rosdy mengucapkan terima kasih atas sumbangan tersebut dan menyatakan bahawa KUIPSAS boleh memanfaatkan sumbangan dalam urusan kerja seharian. Beliau turut mengambil peluang memandu uji kenderaan tersebut di sekitar bandar Tanah Rata, Cameron Highlands sebelum menyerahkannya kepada Rektor KUIPSAS.

Audit Pematuhan Diploma Muamalat Selesai

12 OKTOBER 2021 (KUANTAN) – Program Diploma Pengurusan Muamalat selesai menjalani Audit Pematuhan Agensi Kelayakan Malaysia (MQAVA) yang diadakan sepanjang hari ini secara maya.
Audit dikendalikan oleh Prof. Madya Ezani bin Yaakub dan dibantu oleh Pn. Suhana Bt. Ramli (Pegawai MQA).
Audit diadakan untuk menyemak pematuhan program ini kepada standard yang ditetapkan oleh MQA selepas mendapat Akreditasi Penuh sebelum ini.

Rektor Lancar Hari Sukan Negara

9 OKTOBER 2021 (KUANTAN) – Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin melancarkan Hari Sukan Negara 2021 Peringkat KUIPSAS bertempat di Perkarangan Auditorium.
Program bermula jam 7.30 pagi dihadiri secara ‘hybrid’ oleh warga KUIPSAS.
Dalam ucapannya, Rektor KUIPSAS mengingatkan kepentingan bersukan untuk mendapatkan kesihatan tubuh badan. Umat Islam menurutnya juga memohon untuk mendapatkan kesihatan tubuh badan sebanyak 18 kali sehari di dalam doa qunut dan doa di antara dua sujud.
Selepas pelancaran, warga KUIPSAS menjalankan aktiviti bersukan seperti berbasikal, senamrobik, badminton dan berlari.

Dua Ijazah FMI Selesai Audit Maya MQA

1 OKTOBER 2021 (KUANTAN) – Dua program pengajian yang ditawarkan oleh Fakulti Pengurusan dan Informatik (FMI) KUIPSAS telah selesai menjalani Audit Maya Agensi Kelayakan Malaysia (MQAVA). Dua program tersebut ialah Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian).
Sesi audit yang dijalankan secara maya tersebut bertujuan untuk menyemak dan membuat penilaian kepada kedua-dua program tersebut sebelum diberikan Akreditasi Penuh.
Sesi Audit Maya untuk Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Kepujian) dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Yahya Mohd Hussin, Prof. Dr. Muhammad Ridhwan Ab Aziz dan Pn. Siti Elija binti Jamaluddin (Pegawai MQA).
Manakala Audit Maya untuk Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dikendalikan oleh Dr. Shahrul Nizam Salahudin, Prof. Madya Dr. Mohd Zainal Munshid Harun dan Pn. Nurul Asyikin binti Tajudin (Pegawai MQA).

Rektor Serah Surat Lantikan, Tawaran Lantikan Dan Tawaran Cuti Belajar

29 SEPTEMBER 2021 (KUANTAN) – Rektor KUIPSAS telah menyerahkan Surat Lantikan, Surat Tawaran Lantikan dan Surat Tawaran Cuti Belajar kepada Anggota Kerja KUIPSAS yang terpilih sempena Program Perhimpunan Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang Dan Cintai Negara Peringkat KUIPSAS bagi bulan September.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima.
PELANTIKAN SEBAGAI PENYELARAS KELAB BORNEO
Encik Muhd Ilham bin Ciding
PELANTIKAN SEBAGAI PENGARAH PERANCANGAN STRATEGIK DAN ARAHAN MENJALANKAN TUGAS SEBAGAI PEGAWAI KUALITI
YBrs. Dr. Rosli bin Omar
TAWARAN PELANTIKAN KONTRAK SEBAGAI PENSYARAH GRED DM45
1. Encik Nik Ahmad Mumtaz bin Nik Din
2. Encik Abu Dzar bin Ahmad
3. Cik Norhafizatul Sheha binti Dzulkepli
TAWARAN CUTI BELAJAR BERGAJI PENUH PERINGKAT DOKTOR FALSAFAH SECARA SEPENUH MASA
1. Puan Nur Yani binti Che Hussin
2. Puan Hasiah binti Mat Salleh
3. Puan Nurul Khair binti Ishak

Rektor Bentang Hala Tuju Universiti

29 SEPTEMBER 2021 (KUANTAN) – Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal membentangkan 8 Hala Tuju Universiti untuk dicapai oleh warga KUIPSAS di bawah kepimpinannya.
Hala Tuju tersebut merangkumi Pengajian Turath, Pusat Rujukan Agama, Pusat Rujukan Hadis dan Pusat Rujukan Jawi. Selain itu, KUIPSAS juga akan bergerak ke arah menjadi Pusat Latihan Para Mufti, Pusat Pengkaderan Pendakwah, Universiti Mesra Asnaf dan B40 serta Pusat APEL (A) dan APEL (C).
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan Amanat Rektor dalam Program Perhimpunan Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang Dan Cintai Negara Peringkat KUIPSAS bagi bulan September 2021.
Selain itu, beliau turut memaklumkan mengenai perkembangan semasa KUIPSAS yang akan menawarkan program-program pengajian baharu pada peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.
Beliau turut menyentuh perkembangan terkini KUIPSAS yang sudah berada pada peringkat akhir untuk menerima Perakuan Pendaftaran sebagai Universiti Penuh, Pencapaian MyRA, Pertambahan Premis Pengajian, Program Kerjasama dengan IPT lain serta Perjanjian Persefahaman yang akan ditandatangani dalam masa terdekat.
Di akhir program, Rektor KUIPSAS turut menyerahkan Surat Pelantikan, Surat Tawaran Pelantikan dan Surat Tawaran Cuti Belajar kepada Anggota Kerja KUIPSAS yang terpilih.

Lawatan Rasmi Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Ke KUIPSAS

LAWATAN RASMI YBHG. PROF. DATO’ DR. HUSAINI BIN OMAR, KETUA PENGARAH PENDIDIKAN TINGGI KE KOLEJ UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH (KUIPSAS)
28 SEPTEMBER 2021 (KUANTAN) – Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Husaini bin Omar meluangkan masa untuk mengadakan Lawatan Rasmi ke KUIPSAS. Lawatan beliau disertai oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff, Pengarah Bahagian Governan IPTS dan Dr. Wan Baharuddin bin Wan Mahmood, Pengarah Bahagian Standard Swasta.
Ketibaan beliau disambut oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan Pengurusan Kanan KUIPSAS.
Dalam Ucapan Aluannya, Rektor KUIPSAS menyatakan bahawa lawatan ini sangat bermakna kerana selepas 25 tahun KUIPSAS ditubuhkan, ini kali pertama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi mengadakan Lawatan Rasmi ke kampus ini.
Dalam lawatan tersebut, Rektor KUIPSAS turut membentangkan laporan dan perkembangan terkini khususnya persediaan untuk menjadi Universiti Penuh dalam masa terdekat kepada delegasi lawatan.
Lawatan Rasmi ini diadakan selepas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan delegasi selesai mengadap KDYMM Pemangku Raja Pahang di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota.

ms_MYMalay