Program Pembangunan Modal Insan

30 OKTOBER 2022 (GRIK) – Seramai 30 Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) telah terpilih untuk menyertai Program Pembangunan Modal Insan Siri 1.0 yang diadakan di Tasik Banding, Grik, Perak.

Program selama 3 hari itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama berpasukan, mengeratkan hubungan silaturrahim serta meningkatkan perkongsian ilmu dalam kalangan peserta.

Program dianjurkan oleh Pusat Islam UnIPSAS dengan kerjasama Masjid UnIPSAS ini melibatkan aktiviti Slot Motivasi, Aktiviti Kerohanian, Berakit, Memancing, ‘Water Confident’, Lawatan Ke Kampung Orang Asli, Memancing, Treking ke Santuari Ikan Sungai Ruok dan Kembara ke Air Terjun Sungai Kooi.

Turut serta dalam program ini ialah Naib Canselor UnIPSAS, YH. Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan Pendaftar, YBrs. Dr. Muhammad Hafiz bin Yaakob.

UnIPSAS Ikrar Bebas Rasuah

21 OKTOBER 2022 (KUANTAN) – UnIPSAS komited untuk mencegah dan menghapuskan segala bentuk amalan rasuah dalam kalangan Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) ketika memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dan menjalankan operasi hariannya.

Sebagai bukti komitmen tersebut, UnIPSAS telah mengadakan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada hari ini bertempat di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS.

Bacaan ikrar diketuai oleh Naib Canselor yang diikuti oleh semua AKU sambil disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang, KPKPj Hairuzam Mohmad Amin@Hamim.

Pada majlis ini juga dilancarkan Polisi Antirasuah, Polisi Tidak Menerima Hadiah dan Polisi ‘Whistleblowing’ UnIPSAS.

Kontinjen UnIPSAS Naib Johan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang

9 Oktober 2022, Ahad – Sekitar Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 Hijrah yang disempurnakan oleh YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Perarakan yang bermula dari Taman Gelora ke Dewan Jubli Perak itu telah disertai pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, IPTA/S dan sekolah-sekolah sekitar daerah negeri Pahang. Tidak ketinggalan, UnIPSAS turut menghantar kontinjen UnIPSAS terdiri daripada pelajar-pelajar lelaki bagi menyertai majlis tersebut.

Seawal jam 6.30 pagi, kontinjen UnIPSAS telah tiba awal dengan penuh semangat. Bersama mengiringi perarakan berkenaan YBhg. Encik Abi Sofian bin Abdu Aziz, Penolong Pendaftar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Encik Khairul Rijal bin Dato’ Haji Abdu Rahman bagi pengurusan kontinjen.

Alhamdulillah, UnIPSAS telah dinobatkan sebagai Naib Johan kategori IPTA/IPTS/Sekolah, Pertandingan Perarakan dan Sepanduk Sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444H/2022M. YH. Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Naib Canselor UnIPSAS mewakili UnIPSAS menerima hadiah dan cenderahati yang disampaikan oleh YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan Pro Canselor 2 UnIPSAS. Tahniah diucapkan.

Istiadat Konvokesyen Ke-19 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS)

SIDANG 1,

6 OKTOBER 2022 | 9 RABIULAWAL 1444H.

Sidang 2,

7 Oktober 2022 Bersamaan 10 Rabiulawal 1444h

Tahniah Diucapkan Kepada Semua Graduan

Fun Run & Fun Ride sempena UnIPSAS Convo Carnival 2022

02 OKTOBER 2022, Ahad – Sebahagian daripada peserta Fun Run & Fun Ride memulakan larian dan kayuhan. Pelepasan disempurnakan oleh Naib Canselor UnIPSAS.

UnIPSAS Tuan Rumah Hari Jawi Pahang

24 September 2022 – Sebanyak 24 buah sekolah dengan 120 orang peserta telah mengambil bahagian dalam 3 pertandingan yang diadakan sempena Hari Jawi Pahang yang julung kalinya diadakan. Program anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan kerjasama Institut Jawi UnIPSAS, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kuliyyah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar ini berlangsung penuh meriah di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS.

Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan ceramah disampaikan oleh Ustazah Seriayuna binti Sa’adon Zubir yang juga Munsyi Dewan (Jawi) Dewan Bahasa dan Pustaka. Ceramah menyentuh tentang beberapa kaedah asas dalam ejaan Jawi sebagai ulang kaji kepada para peserta sebelum bertanding. Tiga pertandingan yang diadakan adalah Pertandingan Eja Tepat Jawi, Pertandingan Roda Impian Jawi dan Pertandingan Kahoot Jawi. Semua pertandingan dikendalikan oleh Institut Jawi UnIPSAS melibatkan penggubalan peraturan, soalan dan proses penilaian.

Sdri. Zaimah Zakiah Mohd Zakimi dari SMA Guai muncul juara pertandingan Eja Tepat Jawi, Sdr. Imtisyar binti Jamirul dari SMA al-Khairiah pula muncul juara acara Roda Impian Jawi manakala Sdra. Abdul Azim Abdul Razak dari SMA Darul Naim muncul juara acara Kahoot Jawi.

Majlis Penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman yang juga merupakan Ketua Jawi Negeri Pahang. Antara lain Dr. Asmadi mengharapkan agar acara pertandingan berkaitan Jawi seperti ini dapat dijadikan antara acara ilmiah dalam MASISUPA akan datang.

Muzakarah Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Pahang

23 OGOS 2022 (KUANTAN) – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah menganjurkan Muzakarah Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Pahang dengan tema “Memperkasa Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Pahang” pada 23 dan 24 Ogos 2022 bersamaan 25 dan 26 Muharam 1444H bertempat di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Muzakarah ini telah dirasmikan oleh YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pro Canselor II UnIPSAS merangkap Timbalan Yang Dipertua MUIP.

Objektif muzakarah adalah untuk menyatakan pendirian ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Pahang berkaitan dengan penghayatan ajaran Islam sekaligus menonjolkan peranan dan kesatuan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Pahang dalam mempertahankan ajaran Islam daripada sebarang penyelewengan dan salah faham.

Kertas kerja yang dibentangkan sepanjang sesi muzakarah berfokuskan kepada bidang akidah, syariah dan tasawuf. Pembentang kertas kerja ini terdiri daripada YBrs. Prof. Dr. Asmadi bin Mohamed Naim, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UnISHAMS), YM. Engku Ahmad Fadzil bin Engku Ali, Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang dan YBhg. Tuan Guru Syeikh Abd Raof bin Nurin, Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.

Antara intipati utama yang ditekankan oleh YAM. Tengku Panglima Raja dalam ucapan perasmian adalah umat Islam hendaklah sedar bahawa sumber rujukan ilmu Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar adalah berpandukan kepada empat sumber yang utama iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijma` Ulama` Dan Qiyas.

Umat Islam hendaklah memahami dan berpegang dengan pegangan akidah Imam Abu Hassan Al-Asha’ari dan Abu Mansur Al-Maturidi dan dari segi syariatnya berpegang dengan Mazhab Imam Syafie manakala dari segi tasawufnya berpegang dengan pandangan Imam Junaid Al-Baghdadi dan Imam Al-Ghazali.

YAM. Tengku Panglima Raja turut memberi nasihat kepada para ulama dan umat Islam agar mengutamakan prinsip keseimbangan, kestabilan, keadilan dan pertengahan pada setiap aspek dalam kehidupan agar umat Islam akan saling bersatu padu dan harmoni. Beliau memberi sokongan yang padu terhadap penganjuran Muzakarah Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Pahang dan memilih UnIPSAS sebagai penganjur program dengan kerjasama MUIP.

MUIP sebagai sebuah institusi agama negeri Pahang juga giat berusaha membuat penambahbaikan dari segi strategi, dasar dan polisi pentadbiran agama Islam bagi memperkasakan hal ehwal agama Islam di Pahang secara menyeluruh. Selain itu, MUIP turut merancang untuk menubuhkan institut ilmu yang bakal dibina di Bandar KOTASAS, Kuantan.

Sejajar dengan objektif muzakarah yang bersidang selama dua hari ini, institut ilmu ini dilihat akan menjadi sebuah pusat yang menyatupadukan Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada pelbagai latar belakang dalam negara mahupun luar negara agar dapat selalu berkunjung dan berhimpun bagi tujuan bermuzakarah dan bergiat secara aktif dalam menyumbangkan ilmu dan dakwah mereka kepada pihak pemerintah serta masyarakat awam.

Muzakarah turut dihadiri oleh SS. Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, Mufti Negeri Pahang, YAA. Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Md. Yunos, Ketua Hakim Syarie Pahang serta 30 ahli panel muzakarah yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Perundingan Syarak Negeri Pahang, ahli akademik, guru-guru Pondok Negeri Pahang dan wakil institusi agama Negeri Pahang.

Majlis Menandatangani MoU UnIPSAS dan Universiti Mu’tah Jordan

10 OGOS 2022 (ON-LINE) – UnIPSAS perbaharui Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universiti Mu’tah, Jordan bagi membolehkan pelajar lepasan Diploma UnIPSAS menyambung pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan pada peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Pelajar Lepasan Diploma UnIPSAS yang menyambung pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan akan terus mengikuti pengajian pada tahun ke-2 atau tahun ke-3.

Selain itu, MoU ini juga bertujuan untuk bekerjasama dalam pertukaran jangka pendek tenaga akademik bagi tujuan pendidikan dan pembelajaran.

MoU ini turut membolehkan program mobiliti dilaksanakan kepada pelajar-pelajar di antara kedua-dua institusi dan juga menjalinkan kerjasama dalam bidang kajian dan penyelidikan.

Penilaian Penarafan Setara 2022

4 OGOS 2022 (KUALA TERENGGANU) – UnIPSAS telah menjalani Sesi Audit Penilaian Penarafan SETARA 2022 yang dilaksanakan secara berpusat bagi Zon Timur bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

UnIPSAS diwakili 9 orang pegawai dengan diketuai oleh Pendaftar, YBrs. Dr. Muhammad Hafiz bin Dato’ Haji Yaakub. Kehadiran Naib Canselor, YH. Prof Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin pada sesi Pembukaan Audit dan sesi pengauditan memperlihatkan sokongan dan komitmen pengurusan tertinggi UnIPSAS terhadap usaha meningkatkan kualiti akademik dan perkhidmatan universiti melalui penilaian penarafan SETARA.

Penilaian yang berlangsung selama 2 hari itu memberikan pelbagai input dan pengetahuan baharu yang dapat dimanfaatkan sebagai penambahbaikan persediaan penarafan akan datang.

Penilaian dilakukan oleh barisan fasilitator yang terdiri daripada Puan Norisnini binti Sidek (Monash University), Prof. Madya Dr. Nurlida binti Basir (USIM) dan Puan Salmie binti Jemon (UMS) dan diselaraskan oleh Sekretariat SETARA Jabatan Pendidikan Tinggi.

Pemeteraian MoU bersama Applied Science University (ASU) Amman, Jordan

04 OGOS 2022 (ON-LINE) – Applied Science University (ASU) adalah peneraju dalam bidang pendidikan tinggi dan kualiti dan salah satu ipt terbaik di Jordan.

Universiti ini memulakan misi pendidikannya pada 19 Oktober 1991, selepas mendapat lesen pada 10 Julai 1989. Ia merupakan universiti swasta terbesar di Jordan.

ASU mempunyai 9 fakulti : Fakulti Farmasi, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi, Fakulti Teknologi Maklumat, Fakulti Sastera dan Sains, Fakulti Perniagaan, Fakulti Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Undang-undang, dan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam.

Antara tujuan mou ditandatangani ialah ;
i. Pertukaran jangka pendek tenaga akademik bagi tujuan pendidikan dan pembelajaran.
ii. Penempatan(attachment) kakitangan dan tenaga akademik.
iii. Pertukaran pelajar
iv. Saling bekerjasama dalam mengadakan persidangan, simposium, seminar, bengkel atau latihan untuk kepentingan masyarakat islam.

ms_MYMalay