NC UnIPSAS suntik semangat calon SPM Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART)

20 November 2024, KUANTAN – Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib telah melancarkan satu program khas kepada pelajar Tingkatan 5 yang bakal menghadapi peperiksaan SPM. “Program Peledak Prestasi Diri: Lonjakan Kecemerlangan SPM 2024” di antara Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan SMK Abdul Rahman Talib (SMART).

Sesi ceramah motivasi disampaikan oleh Naib Canselor UnIPSAS, YH. Profesor Dato’ Hj. Zawavi Bin Zainal Abidin. Beliau menegaskan agar pelajar-pelajar harus menanamkan iltizam tinggi bertekad untuk menyambung pengajian hingga ke menara gading.

Beliau menyampaikan petikan nasihat ulama kepada penuntut ilmu, serta mengupas beberapa petikan Surah Al Insyirah (ayat 5&6)

‎فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرًا

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

‎إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرٗا

(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Dengan suntikan motivasi ini, diharapkan pelajar-pelajar lebih semangat untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.

Turut hadir Pengetua SMK Abdul Rahman Talib, Tuan Haji Mohammad bin Che Ibrahim, guru-guru, serta kaunselor SMK Abdul Rahman Talib.

26 Anggota Kerja UnIPSAS sertai Kursus Pengurusan Aset 2024

KUANTAN, 23 Oktober 2024 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Aset.

Kursus ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan berkaitan pengurusan aset Kerajaan. Sepanjang 2 hari berkursus, para peserta telah didedahkan dengan Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan yang betul dan selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan AM bagi memastikan Aset Kerajaan diurus dengan lebih bersistematik.

Diharapkan agar dengan mematuhi perintah-perintah yang ditetapkan ia mampu mendapat ketahanan maksimum, menjimatkan perbelanjaan, menjamin keselamatan pengguna serta mampu memelihara imej UnIPSAS.

Terima kasih diucapkan kepada penceramah jemputan, En. Mohd Ghazali Bin Jusoh, Pegawai Kewangan Bahagian Agihan Zakat, MUIP.

Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin diiringi Pendaftar UnIPSAS, Dr. Muhammad Hafiz Bin Dato’ Hj. Yaakob di Dewan Hotel DSH Taman Tas, Kuantan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta.

Kunjungan Hormat Muassasah Assaqafah Al-Islamiyah Pattani Thailand ke UnIPSAS

KUANTAN, 21 OKTOBER 2024 – UnIPSAS telah menerima kunjungan hormat dari Muassasah Assaqafah Al-Islamiyah Pattani Thailand pada 21 Oktober 2024. Seramai 90 orang pelajar termasuk pegawai pengiring telah menyertai kunjungan ini. Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi ukhwah disamping bagi memperkasa kemahiran perguruan serta meninjau UnIPSAS sebagai tempat untuk pelajar Pattani Thailand menyambung pengajian di peringkat ijazah pertama.

Kerajaan Pahang Rangka Kolaborasi Dengan UnIPSAS Bangun Bakat Dan Kreativiti Belia

KUANTAN, 15 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang merangka untuk berkolaborasi bersama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) bagi membangunkan bakat dan kreativiti golongan belia khususnya dalam bidang multimedia, rekabentuk kreatif dan pengiklanan digital.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kolaborasi terbabit membolehkan bakat pelajar Ijazah Sarjana Muda Multimedia (Pengiklanan Digital) universiti berkenaan digilap sekali gus boleh menjadi aset penting kepada UNIPSAS dan Kerajaan Negeri sendiri.

“Saya dapat lihat potensi besar pelajar dengan macam-macam produk yang mereka hasilkan menggunakan digital advertising dan saya tengok potensi ini perlu digilap.

“Ia juga berkait dengan portfolio saya khususnya komunikasi dan multimedia. Mungkin kita ada kolaborasi antara UNIPSAS dan fakulti ini untuk membolehkan pelajar ini berkarya atau menghasilkan produk kreativiti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian program ‘LIKHA Showcase’ Pameran Penilaian Akhir Pelajar Ijazah Sarjana Muda Multimedia (Pengiklanan Digital) dengan Kepujian bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP), di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Naib Canselor UNIPSAS, Professor Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi Zainal Abidin, Pengarah PPAP, Puan Nor Zahira Muhammad Azmi, Pengarah Open University Malaysia (OUM) Pahang, Puan Razalina Abdul Rashid, dan Pengarah Urusan dan Kreatif Alev Global Sdn. Bhd., Encik Najmi Aliff Che Harun.

YB. Tuan Fadzli juga memberitahu, progam pameran itu bukan sahaja menjadi platform bagi pelajar untuk mempamerkan hasil kreativiti dan inovasi mereka, malah juga merupakan medan untuk mempersiapkan mereka dalam menghadapi cabaran dunia industri multimedia yang semakin kompetitif dan tinggi kadar permintaan dalam pasaran kerjaya.

“Saya kagum sebenarnya dengan hasil kreativiti, komitmen dan kesungguhan mereka dari segi logo yang mereka hasilkan, desainnya yang macam-macam untuk merchandise yang mereka buat.. t-shirt, keychain, topi, beg dan macam-macam lagi lah kita tengok sepanjang pameran ini.

“Jadi InshaAllah, mungkin saya akan bincangkan dengan Professor Dato’ Zawawi macam mana kita boleh bekerjasama antara Kerajaan Negeri dan agensinya dengan pelajar-pelajar ini.

“Saya tak nak kreativiti mereka ini.. seperti yang saya katakan tadi.. terhenti setakat di sini. Kita perlu sama-sama bantu,” ujarnya. –

KREDIT : PAHANGMEDIA
Oleh: Norhafizan Zulkifli

Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institusi Pendidikan Pahang bersama Mohamed Bin Zayed University (MBZUH)

ABU DHABI (UAE), 03 OKTOBER 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mengilhamkan kerjasama pendidikan antara Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan Mohamad Bin Zayed University for Humanities (MBZUH).

Kolaborasi pendidikan ini dimeterai di MBZUH, Abu Dhabi, yang disaksikan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Penaung Pro Canselor UMPSA dan Canselor UnIPSAS.

Memorandum Persefahaman (MoU) antara UnIPSAS dan UMPSA bersama MBZUH ini membuka peluang yang amat signifikan dalam pelbagai bidang akademik dan penyelidikan, termasuklah Program Dual Ijazah; Muádalah (Pengiktirafan Ijazah); Mobiliti Bukan Akademik; Pertukaran Pensyarah dan Pelajar; serta Kolaborasi Penyelidikan.

Kredit : Pahang Media.

Mantan Mufti Pahang Terima PhD Pengajian Islam

KUANTAN, 9 September 2024 –  ”Patik merasakan diri ini terlalu kerdil untuk menerima anugerah ini.” Itu kata bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang menjadi penerima Istiadat Konvokesyen ke-21 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) hari ini.

Penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Islam itu antara 442 graduan berkonvokesyen di hadapan Pro-Canselor II UniPSAS, Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibni Al-Sultan Abdullah.

”Namun patik percaya, anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada ketinggian martabat ilmu dan merupakan hadiah kepada seluruh komuniti ilmuwan yang sentiasa istiqamah dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan memberi bimbingan kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada istiadat itu.

Abdul Rahman diberi penghormatan berucap konsep ’Ilmu, Akhlak dan Dakwah’ di hadapan lebih 2,000 tetamu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Jelasnya, ilmu bukan dicari untuk diri sendiri atau untuk perhiasan dan bermegah di depan orang lain tetapi medium untuk berbuat baik dan bertakwa serta untuk tujuan penyebaran dakwah.

Dengan demikian katanya seorang muslim layak mendapat kehormatan di sisi Allah serta kebahagiaan yang abadi dan berkongsi kisah  seorang ulama sufi terkenal, Sa’ id al-Thawril.

“Sesungguhnya, ilmu itu dipelajari agar kita dapat bertakwa kepada Allah. Hiasilah ilmu dan jangan menghias diri dengan ilmu.

”Sahabat Nabi SAW, Ubaid Ka’ab berkata, pelajarlah ilmu dan amalkanlah dan jangan pelajarinya untuk bermegah, sesungguhnya ia akan menjadi hiasan seperti mana seorang lelaki menghias dirinya dengan pakaiannya,” katanya,

Anak jati kelahiran Temerloh itu berkata, orang yang bertafaqquh, iaitu orang yang mendapat ilmu yang mendalam adalah pemimpin terbaik yang memimpin ke arah kebaikan.

Abdul Rahman dilahirkan pada 2 Mac 1953 di Jalan Merdeka, Bandar Temerloh semasa ayahanda beliau, Osman Hashim menjawat jawatan sebagai Kadi Daerah Temerloh. Sejak kecil, beliau telah mempelajari al-Quran dengan ayah dan ibunya, Aminah Busu.

Beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan Datin Seri Nahayah Ismail pada tahun 1982 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Penglibatan beliau dalam bidang kefatwaan bermula apabila dilantik sebagai Timbalan Mufti Negeri Pahang dari tahun 2000 hingga 2008.

Kemudiaannya, beliau dilantik sebagai Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah sehingga 31 Januari 2024 selama 24 tahun di Jabatan Mufti negeri Pahang.

Kredit : MalaysiaGazette
Oleh Syahira Yahya

Anak Kedua Lima Beradik Terima Anugerah Sultan Ahmad Shah

KUANTAN, 09 September 2024 – Anak kedua daripada lima beradik tidak menyangka akan menerima Anugerah Sultan Ahmad Shah pada Istiadat Konvokesyen Ke-21 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, pada Isnin.

Muhammad Khalil Zuhairi Mohd Zaidi, 26, berkata, tujuan utama hanya untuk menimba ilmu dan bukannya untuk meraih sebarang anugerah.

Menurutnya, namun bersyukur kerana terpilih mendapat pengiktirafan itu di hadapan semua graduan UNIPSAS.

“Saya tidak sangka, tapi anugerah ini adalah satu rezeki buat saya,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Kredit : Sinar Harian ( OlehNORAWAZNI YUSOF )

Pelajar UnIPSAS Sertai Program Pengabdian Kepada Masyarakat di Aceh

ACEH, 3 – 8 September 2024 – Pelajar-pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah mengambil bahagian dalam Program Pengabdian Kepada Masyarakat (PKM) yang diadakan di Gampong Ie Seum, Aceh, Indonesia.

Program antarabangsa ini dianjurkan bersama oleh Universiti Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Aceh, dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Inisiatif ini bertujuan untuk melibatkan pelajar secara langsung dalam menyumbang idea, tenaga, dan aspirasi mereka kepada masyarakat setempat, dengan tumpuan khusus kepada pemberdayaan komuniti.

Sepanjang tempoh seminggu program ini, pelajar-pelajar UnIPSAS bersama peserta dari institusi pengajian tinggi lain telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti khidmat masyarakat, termasuk kerja-kerja amal serta kempen kesedaran sosial. Para peserta juga berpeluang menjadi sebahagian daripada keluarga angkat penduduk Gampong Ie Seum, mempereratkan hubungan serta mendalami budaya tempatan. Usaha sama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Indonesia, malah turut memupuk kesedaran tentang tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar di peringkat antarabangsa.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk Gampong Ie Seum, program ini turut merangkumi usaha untuk mempromosikan kolam air panas setempat sebagai destinasi pelancongan.

Dengan memperkenalkan kolam air panas ini kepada pelancong domestik dan antarabangsa, program ini diharap dapat merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan melalui pembangunan sektor pelancongan, seperti penyediaan perkhidmatan homestay, pembuatan produk kraftangan, penyajian makanan tempatan, dan perkhidmatan pelancongan lain.

Penglibatan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dalam Program Pengabdian Kepada Masyarakat (PKM) ini diharapkan mampu memberi impak positif kepada masyarakat Gampong Ie Seum dalam aspek pembangunan sosial, budaya, dan ekonomi, serta memperluaskan jaringan akademik dan hubungan sosial antara kedua-dua negara.

Amanat Naib Canselor Bakar Semangat Atlet UnIPSAS

23 Ogos 2024 (KUANTAN) – UnIPSAS akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Sukan MASISWA Zon Timur 2024 yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Ogos 2024 bertempat di UC TATI, Terengganu.

Pada kejohanan kali ini UnIPSAS akan menyertai 11 acara sukan iaitu Futsal, Bola Jaring, Sepak Takraw, Badminton, Petanque, Ping Pong, Catur , Bola Tampar, Ragbi dan E- Sport yang melibatkan penyertaan seramai 117 orang atlet. Kontinjen UnIPSAS diketuai oleh Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar, En. Abi Sofian Bin Abdul Aziz selaku Chef De Mission (CDM). Mohd Nur Dayyan Danial Bin Abdullah dari Diploma Syariah dan Undang-Undang sebagai ketua atlet UnIPSAS.

Dalam Majlis Penyerahan Bendera UnIPSAS kepada kontinjen pada hari ini, Naib Canselor UnIPSAS YH Professor Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin mengingatkan semua atlet supaya sentiasa menjaga nama baik UnIPSAS sepanjang kejohanan berlangsung. Beliau juga turut mendoakan penyertaan kali ini akan dapat membawa pulang pingat kemenangan serta mengulangi kejayaan menjadi juara keseluruhan seperti tahun 2023.

Selamat Maju Jaya Kontinjen UnIPSAS.

#Masiswa#ZonTimur #2024 #UnIPSAS#sukanMasiswaZonTimur2024

Program Lawatan Berinformasi Sekolah Menengah IMTIAZ

KUANTAN, 22 Ogos 2024 – Seramai 26 orang guru dan 14 orang pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah IMTIAZ telah menyertai kunjungan berinformasi ke UnIPSAS.

Objektif lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan yang mendalam tentang peluang pengajian dan aktiviti ko-kurikulum yang boleh disertai oleh para pelajar di universiti kami.

Sesi taklimat akademik telah dikendalikan oleh TNCA UnIPSAS dan wakil pensyarah iaitu YBrs. Dr. Muhammad Fadlly bin Ismail dan Ustaz Muhammad Assyifaa Ulhayat bin Jahidin. Guru-guru dan para pelajar didedahkan mengenai program pengajian yang ditawarkan oleh UnIPSAS dan keistimewaan yang bakal pelajar perolehi apabila menyambung pengajian di UnIPSAS.

Melalui program ini, kami berharap dapat membimbing dan memotivasi pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan serta memegang teguh nilai-nilai Islam.

ms_MYMalay