UnIPSAS Lakar Sejarah Daftar Kumpulan Pertama Calon PHD
25 Januari 2022 (KUANTAN) – Sejarah baru tercipta lagi di bumi UnIPSAS apabila menerima pendaftaran kemasukan kumpulan pertama calon pengajian Doktor Falsafah (PhD).
Seramai 10 orang calon PhD ini mendaftar dalam program Doktor Falsafah Pengajian Islam. Mereka terdiri daripada pentadbir hal ehwal agama, pemimpin siasah, golongan pendidik dan pencinta ilmu.
Pendaftaran yang diselaraskan oleh Pusat Pengurusan Siswazah (PPS) UnIPSAS itu disusuli dengan Majlis Amanat Naib Canselor. Amanat disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Dan Inovasi, YBrs. Dr. Muhamad Fadlly bin Ismail.
18 JANUARI 2022 (KUANTAN) – Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Naib Canselor UnIPSAS membentangkan tujuh Perancangan 2022 yang merangkumi Perkasa Imej, Perkasa Program Pengajian, Perkasa Urus Tadbir, Perkasa Penyelidikan dan Inovasi, Perkasa Kemenjadian Pelajar dan Alumni, Perkasa Kebajikan Anggota Kerja dan Pelajar serta Perkasa Kewangan.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor sempena Majlis Kesyukuran Anggota Kerja UnIPSAS yang diadakan di Dewan Astana, Hotel Darulmakmur Kuantan.Program yang diadakan dengan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Kakitangan KUIPSAS (BAKKIP) itu turut menampilkan Ustaz Haslin Bahrim yang menyampaikan Ceramah Motivasi bertajuk “Minda Universiti Islam, Ciri-Ciri Pekerja Cemerlang”.
Dalam program ini juga, BAKKIP telah menyampaikan sumbangan kepada AKU yang telah terjejas banjir pada baru-baru ini. Seramai 70 orang dilaporkan telah terjejas dan menerima sumbangan daripada Presiden BAKKIP, YH. Dato’ Dr. Hj. Ahmad Munawar bin Abdul Jalil.
Warga UnIPSAS Terjejas Banjir Terima Sumbangan BAKKIP
Warga UnIPSAS Terjejas Banjir Terima Sumbangan BAKKIP
18 JANUARI 2022 (KUANTAN) – Badan Amal Dan Kebajikan Kakitangan KUIPSAS (BAKKIP) menyampaikan sumbangan kepada Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) yang telah terjejas dengan bencana banjir yang berlaku pada bulan lepas.
Seramai 70 orang AKU menerima sumbangan melibatkan mereka yang terjejas kerana rumah dimasuki air banjir dan mengalami kerosakan harta benda.Sumbangan disampaikan oleh Presiden BAKKIP, YH. Dato’ Dr. Hj. Ahmad Munawar bin Abdul Jalil sempena Majlis Kesyukuran Anggota Kerja UnIPSAS yang diadakan di Dewan Astana Hotel Grand Darulmakmur Kuantan.
Masjid Negeri Santuni Warga UnIPSAS Terjejas Banjir
27 Disember 2021 (Isnin) : Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan hari ini tampil menghulurkan bantuan kepada Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) yang terjejas banjir baru-baru ini.Bantuan yang disalurkan menerusi Program “Santunan Dhua’fa” itu disampaikan sendiri oleh Imam Besar, YH. Dato’ Haji Badli Shah bin Haji Alauddin.
Majlis diadakan di Porch Utama UnIPSAS pada jam 8.30 pagi yang turut dihadiri oleh Naib Canselor, YH. Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan Pegawai-Pegawai Kanan UnIPSAS.Bantuan berbentuk barang-barang keperluan harian itu disampaikan kepada 68 orang AKU yang telah terjejas banjir.
Bantuan yang diberikan bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung serta mengeratkan hubungan silaturrahim di antara institusi-intistusi agama di negeri ini. UnIPSAS Pasti Bangkit!
Exco Kerajaan Negeri Lawat UnIPSAS
23 Disember 2021 (Rabu), YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang meluangkan masa melawat Kampus UnIPSAS yang terjejas banjir.
Dalam lawatan tersebut, beliau mendapatkan taklimat situasi semasa UnIPSAS daripada Naib Canselor, YH. Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin di samping melihat sendiri kerosakan yang berlaku di kawasan persekitaran Dewan Barakah, Pejabat HEPA dan Asrama Penginapan.
Ziarah Prihatin Naib Canselor, Anggota Terjejas Banjir
23 Disember 2021 (Khamis), Kesudian dan keprihatinan Naib Canselor UnIPSAS YH. Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin melakukan ziarah prihatin ke 20 daripada 63 buah rumah Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) yang terjejas dengan banjir baru-baru ini amat disyukuri AKU terbabit.
AKU tersebut cukup terharu dengan kata-kata semangat daripada NC dan mereka juga amat berbesar hati dengan kesediaan UnIPSAS membantu mereka apabila diperlukan. Sebaik sahaja banjir surut pada 20 Disember 2021, UnIPSAS telah menggerakkan bantuan mencuci rumah-rumah AKU yang terjejas dengan banjir.
14 DISEMBER 2021 (PEKAN) TAHNIAH YH. Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin, DSAP., SMP., AMP.Naib Canselor UnIPSAS atas pengurniaan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato’Sempena Memuliakan Ulang TahunHari Keputeraan Yang Ke-62Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
Kayuhan Heboh UnIPSAS – Ubai
12 DISEMBER 2021 (KUANTAN) – Pasukan Berbasikal UnIPSAS telah menganjurkan Program Kayuhan Heboh UnIPSAS – Ubai – UnIPSAS pada hari ini dan disertai seramai 20 orang peserta. Kayuhan yang bermula jam 7.30 pagi itu berjaya diselesaikan oleh peserta dengan jarak kayuhan sejauh 40KM.
Program diadakan bertujuan untuk meraikan kejayaan UnIPSAS dinobatkan sebagai universiti penuh pada awal Disember selain bagi menggalakkan aktiviti dan gaya hidup sihat dalam kalangan Anggota Kerja UnIPSAS (AKU).
Selain AKU, turut menyertai program kayuhan ini ialah Dato’ Mohd Zakaria bin Ibrahim (Timbalan SUK – Pengurusan), Mejar (PA) Mohd Zairosnizam bin Mohd Tarmizi (Pen. Pengarah APM Pahang), Tuan Mohamad Yusri bin Aman (KPP JAIP) dan Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin (Naib Canselor UnIPSAS).
Pendidikan Tertiari Milik Kerajaan Negeri Pahang – UNIPSAS
Pada 1 Disember 2021 bersamaan 26 Rabiulakhir 1443H, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) secara rasmi dikenali sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah atau singkatannya UnIPSAS.Naik taraf UnIPSAS secara rasmi ini sebagai sebuah Universiti Penuh merupakan kejayaan dan kebanggaan semua pihak di Negeri Pahang Darul Makmur.Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited untuk menjadikan UnIPSAS terus berkembang maju dalam semua aspek melalui penyaluran geran tahunan.Selepas dinobatkan sebagai Universiti Islam Swasta Pertama di Negeri Pahang dan di Pantai Timur, UnIPSAS boleh memainkan peranan yang lebih luas dalam perkembangan semasa sektor pengajian tinggi di Malaysia melalui enrolmen pendidikan tinggi negara terutama peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.Naik taraf UnIPSAS ini lebih bermakna kerana pada tahun 2021 ini, UnIPSAS menyambut Jubli Perak sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25. Usia 25 tahun ini sangat signifikan kerana membuktikan bahawa UnIPSAS terus kekal relevan, menerima sokongan yang baik daripada masyarakat serta berjaya menawarkan program pengajian yang menjadi permintaan dan mempunyai nilai kebolehpasaran graduan yang tinggi. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 2.23 juta ringgit bagi program sokongan universiti ini.- Petikan Ucapan Pembentangan Belanjawan 2022 Negeri Pahang Darul Makmur oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail.Sumber video : Pahang Media
KUIPSAS Dinaiktaraf Universiti Penuh Dikenali “UnIPSAS”
01 DISEMBER 2021 (KUALA LUMPUR) –KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad menunjukkan Sijil Pendaftaran KUIPSAS sebagai sebuah universiti penuh iaitu Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Istana Negara hari ini.
KENYATAAN MEDIA YAB. MENTERI BESAR PAHANG UNIPSAS, UNIVERSITI ISLAM PERTAMA NEGERI PAHANG 1 DISEMBER 2021 / 26 RABIULAKHIR 1443H
Sukacita dimaklumkan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima menghadap Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Binti Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi di Istana Negara pada hari ini bagi menerima Warkah Perakuan Naik Taraf Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) sebagai sebuah Universiti Penuh.
Ini bermakna, bermula 1 Disember 2021 bersamaan 26 Rabiulakhir 1443H, KUIPSAS secara rasmi dikenali sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah atau singkatannya UnIPSAS.
Pendaftaran UnIPSAS secara rasmi ini sebagai sebuah Universiti Penuh merupakan kejayaan semua pihak di negeri Pahang Darul Makmur.
Peranan Institusi DiRaja Pahang sangat signifikan sejak awal penubuhan Kolej Islam Pahang pada tahun 1996.
Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah sangat mengambil berat perkembangan institusi pengajian tinggi ini dan telah dilantik sebagai Canselor KUIPSAS yang pertama pada tahun 2016.
Kini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Canselor KUIPSAS yang kedua sejak 2019 bagi menggantikan nenda Baginda.
Komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang juga telah menjadikan UnIPSAS terus berkembang maju dalam semua aspek.
Penyaluran geran tahunan oleh Kerajaan Negeri Pahang telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan pengajian tinggi yang terbaik kepada para pelajarnya.
Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri Pahang terlibat secara langsung untuk menentukan hala tuju UnIPSAS dari semasa ke semasa melalui anak syarikatnya, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. yang memiliki UNIPSAS.
Selepas dinobatkan sebagai Universiti Islam Pertama di Negeri Pahang dan Pantai Timur, UnIPSAS boleh memainkan peranan yang lebih luas dalam perkembangan semasa sektor Pengajian Tinggi di Malaysia melalui hala tuju yang jelas iaitu menyumbang kepada sasaran 70 peratus enrolmen pendidkan tinggi negara serta menyumbang kepada sasaran 8 peratus kadar enrolmen Sarjana dan Doktor Falsafah pada tahun 2025.
Pada masa kini, UnIPSAS menawarkan 27 program pengajian pada peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana. Kesemua program pengajian ditawarkan dalam tiga Fakulti Pengajian iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Pengurusan dan Informatik dan Fakulti Pengajian Bahasa Dan Asasi.
Beberapa lagi program pengajian baharu pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda akan mula ditawarkan tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Pendaftaran UnIPSAS secara rasmi pada hari ini lebih bermakna kerana pada tahun 2021 ini, UnIPSAS menyambut Jubli Perak sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25.
Usia 25 tahun ini sangat signifikan kerana membuktikan bahawa UnIPSAS terus kekal relevan, menerima sokongan yang baik daripada masyarakat serta berjaya menawarkan program pengajian yang menjadi permintaan dan mempunyai nilai kebolehpasaran graduan yang tinggi. Sekian, terima kasih. DATO’ SRI HAJI WAN ROSDY WAN ISMAIL YAB Menteri Besar Pahang Pro-Canselor UnIPSAS 1 Disember 2021 / 26 Rabiulakhir 1443H