AMAZING TEAM BUILDING UnIPSAS 2025 Kukuhkan Ukhuwah & Semangat Berpasukan Anggota Kerja
KUALA TAHAN, 24 Jun – Seramai hampir 90 orang kakitangan dan pensyarah lelaki Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah menyertai program Amazing Team Building UnIPSAS 2025 yang berlangsung selama tiga hari di XCAPE Resort, Kuala Tahan, Jerantut.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama UnIPSAS Holding ini bertujuan memperkukuh semangat berpasukan, membina jati diri serta mempererat silaturrahim dalam kalangan anggota kerja UnIPSAS. Menariknya, program ini dikendalikan oleh pasukan fasilitator profesional yang berpengalaman luas dalam pengendalian aktiviti team building, sekaligus memberikan impak yang mendalam dan berkesan kepada para peserta.
Bertemakan pengukuhan jati diri dan kerjasama, program ini turut mengambil inspirasi daripada firman Allah SWT dalam Surah As-Saff, ayat 4:
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya dalam saf yang teratur, seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”
(As-Saff: 4)
Ayat ini menjadi asas kepada setiap aktiviti dan latihan sepanjang program, yang menekankan kepentingan kesatuan, koordinasi, dan semangat berjuang bersama dalam satu pasukan yang teguh.
Program ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin, yang turut bersama peserta sepanjang program sebagai tanda komitmen terhadap kebajikan serta pembangunan sahsiah staf akademik dan pentadbiran universiti.
Antara pengisian utama termasuklah aktiviti berkumpulan yang mencabar, riadah pagi, lawatan ke kampung tradisional Orang Asli, menaiki bot menyusuri Sungai Tembeling, sesi pembentangan kumpulan serta latihan penyelesaian masalah (problem solving) secara kreatif dan kolaboratif.
Turut dimuatkan ialah sesi ice-breaking yang menceriakan dan mengukuhkan keserasian antara peserta, di samping kuliah subuh, tazkirah maghrib, serta aktiviti pemantapan rohani yang menjadi elemen penting dalam membentuk keseimbangan antara kekuatan fizikal dan spiritual sepanjang program.
Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja menjadi ruang rehat daripada tugasan harian, malah berfungsi sebagai platform strategik untuk membina ukhuwah, memperkukuh kerjasama dan menyemai nilai-nilai murni yang menjadi asas kekuatan institusi.
UnIPSAS terus komited dalam melaksanakan inisiatif memperkasa modal insan melalui pendekatan holistik yang berteraskan nilai Islam, integriti dan profesionalisme.














