KDPB Sultan Pahang Berkenan Berangkat Ke Persembahan Taklimat Penubuhan Universiti Al-Quran

KUANTAN, 8 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat mendengar persembahan taklimat penubuhan Universiti Al-Quran di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), di sini hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda disambut disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, Naib Canselor UniPSAS, Profesor Dato’ Dr Hj Mohd Zawavi Zainal Abidin serta barisan Pegawai Kakitangan Kerajaan Negeri.

Kredit Foto : Kesultanan Pahang & Pahang Media

UnIPSAS di Persada Antarabangsa, 6 Pelajar ke MBZUH, UAE

SEPANG, 5 September 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) melakar sejarah apabila seramai enam (6) pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian telah berlepas dari KLIA 1, Sepang ke Muhammad bin Zaid University for Humanities (MBZUH), Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengikuti Program Mobiliti Berkredit Antarabangsa selama empat bulan.

Program ini merupakan hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara UnIPSAS dan MBZUH yang telah disaksikan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Canselor UnIPSAS.

Lebih istimewa, keseluruhan kos pengajian, penginapan dan perbelanjaan pelajar sepanjang program ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak MBZUH. Sokongan penuh ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik serta potensi pelajar UnIPSAS untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin, berkata bahawa program ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk menimba ilmu dan pengalaman baharu, tetapi turut memperkukuh hubungan akademik antara UnIPSAS dan institusi pendidikan tinggi antarabangsa.

“UnIPSAS komited melahirkan graduan yang berwibawa, berdaya saing dan berteraskan al-Quran serta Sunnah. Program seperti ini membuktikan bahawa UnIPSAS berada di landasan yang tepat untuk memperluas jaringan global serta menambah nilai kepada pelajar kami,” ujarnya.

Program ini dijangka memberikan impak positif kepada para peserta, khususnya dalam memperkayakan pengalaman antarabangsa, membina jaringan akademik global serta memantapkan penguasaan ilmu dalam bidang pengajian Quran dan Sunnah.

UnIPSAS berharap agar para pelajar ini akan terus membawa nama baik universiti di persada antarabangsa dan kembali dengan ilmu bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.

INJAH 2025 Angkat Tulisan Jawi Dan Warisan Melayu Ke Persada Dunia

KUANTAN, 19 Ogos 2025 – Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu atau International Convention on Jawi and Malay Heritage (INJAH 2025) telah berlangsung dengan jayanya pada 18 dan 19 Ogos 2025. Konvensyen yang bertempat di Dewan Astana dan Dewan Perdana Hotel Grand DarulMakmur itu menghimpunkan seramai 200 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli akademik, pengkaji, guru-guru, penggiat tulisan Jawi dan para Munsyi Dewan (Jawi) Dewan Bahasa dan Pustaka.

Menariknya, konvensyen ini menampilkan 12 orang pembentang hebat dalam bidang Jawi dan warisan Melayu termasulah 4 orang pembentang antarabangsa yang membicarakan tajuk-tajuk berkaitan Jawi dan Warisan Melayu. Mereka ialah Dr. Hiroki Nomoto dari Jepun, Dr. Hirman Mohamed Khamis dari Singapura serta dua orang pembentang dari Brunei iaitu Dr. Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk dan Ustaz Abdul Rahman Bin Haji Ajak.

Konvensyen antarabangsa ini turut dimeriahkan oleh acara pertandingan Deklamasi Puisi bertemakan warisan Melayu, pertandingan Ejaan Jawi Tepat dan pertandingan Khat. Di samping itu pelbagai persembahan kebudayaan Melayu Pahang turut menjadi selingan setiap acara. Para pengunjung dan peserta juga berpeluang melawat reruai-reruai pameran dari pelbagai agensi seperti MUIP, DBP, Perpustakaan Negara Malaysia, Arkib Negara Malaysia, Khazanah Fathaniyah, demonstrasi tanjak, khat dan lain-lain lagi.

Majlis Perasmian penutupan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah. Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat mengiringi KDPB Sultan. Dalam titahnya, KDPB Sultan Pahang menzahirkan rasa bangga melihat premis perniagaan dan papan iklan di negeri ini mempamerkan tulsain Jawi. Baginda juga menzahirkan rasa terharu dan bangga melihat anak-anak muda berbusana Melayu tradisional dan mempersembahkan silat. Baginda turut berkenan merasmikan Institut Jawi UnIPSAS, melancarkan buku ‘Mahir Jawi’ yang ditulis oleh para Munsyi Dewan (Jawi) DBP dari UnIPSAS dan mengurniakan sijil penghargaan kepada para Munsyi Dewan (Jawi) Pahang atas khidmat bakti dalam memperkasakan tulisan Jawi di negeri ini.

Rata-rata peserta menzahirkan respon yang amat positif dengan penganjuran konvensyen ini dan berharap agar ia dapat diadakan lagi pada tahun-tahun akan datang.

Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat Serta Perasmian Masjid UnIPSAS

Kuantan, 25 Julai 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berangkat menyempurnakan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat serta Perasmian Masjid Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-66, di sini semalam.

Masjid UnIPSAS telah dimasyurkan dengan nama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Dalam titahnya, Paduka Baginda turut menyarankan agar masjid tersebut dijadikan antara lokasi utama pelaksanaan hafazan, tadabbur dan tasmi’ al-Quran, sekali gus menjadikannya bukan sahaja sebagai tempat ibadah, bahkan medan penyubur cahaya wahyu dan warisan nubuwwah.

Keberangkatan Paduka Baginda ke majlis tersebut diiringi oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj; Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; serta barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri.

Semarak Ma’al Hijrah 1447h di UnIPSAS

Kuantan, 11 Julai 2025 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) terus menyemarakkan semangat kecintaan terhadap Rasulullah SAW menerusi Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat UnIPSAS 1447H yang berlangsung dengan penuh meriah dan berjiwa keislaman pagi tadi.

Majlis dimulakan dengan perarakan kontinjen yang melibatkan 26 jabatan, fakulti, unit serta perwakilan pelajar, dibahagikan kepada enam kumpulan utama. Perarakan yang bermula jam 7.30 pagi dari perkarangan Masjid UnIPSAS menyusuri laluan kampus sambil diiringi gema selawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Setiap kontinjen tampil dengan identiti dan kreativiti tersendiri, menonjolkan pelbagai elemen menarik yang melambangkan semangat kebersamaan dan komitmen dalam kalangan warga kampus.

Sejurus selesai perarakan, para peserta bersama-sama menunaikan solat sunat Duha secara berjemaah, menzahirkan rasa syukur dan harapan pada tahun baharu Hijrah yang lebih bermakna.

Majlis diteruskan dengan ceramah khas Ma’al Hijrah yang disampaikan oleh YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang. Ceramah beliau menyentuh aspek spiritual hijrah serta peranan mahasiswa dalam membina masyarakat Islam yang sejahtera.

Turut diadakan ialah penyampaian kad Bank Rakyat kepada para pelajar, sumbangan kepada pelajar Asnaf UnIPSAS, penyampaian hadiah kepada kontinjen terbaik dan cabutan bertuah serta jamuan.

Penganjuran sambutan ini secara tidak langsung memperkukuh nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar, selain mempererat hubungan antara pelbagai entiti dalam kampus.

UnIPSAS komited untuk terus menganjurkan program-program keagamaan bersifat membina jati diri, memperkukuh keterampilan dan menyantuni kebajikan warga universiti.

Amazing Team Building UnIPSAS 2025 Kukuhkan Ukhuwah & Semangat Berpasukan Anggota Kerja

Kuala Tahan, 24 Jun 2025 – Seramai hampir 90 orang kakitangan dan pensyarah lelaki Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah menyertai program Amazing Team Building UnIPSAS 2025 yang berlangsung selama tiga hari di XCAPE Resort, Kuala Tahan, Jerantut.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama UnIPSAS Holding ini bertujuan memperkukuh semangat berpasukan, membina jati diri serta mempererat silaturrahim dalam kalangan anggota kerja UnIPSAS. Menariknya, program ini dikendalikan oleh pasukan fasilitator profesional yang berpengalaman luas dalam pengendalian aktiviti team building, sekaligus memberikan impak yang mendalam dan berkesan kepada para peserta.

Bertemakan pengukuhan jati diri dan kerjasama, program ini turut mengambil inspirasi daripada firman Allah SWT dalam Surah As-Saff, ayat 4:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya dalam saf yang teratur, seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”

(As-Saff: 4)

Ayat ini menjadi asas kepada setiap aktiviti dan latihan sepanjang program, yang menekankan kepentingan kesatuan, koordinasi, dan semangat berjuang bersama dalam satu pasukan yang teguh.

Program ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin, yang turut bersama peserta sepanjang program sebagai tanda komitmen terhadap kebajikan serta pembangunan sahsiah staf akademik dan pentadbiran universiti.

Antara pengisian utama termasuklah aktiviti berkumpulan yang mencabar, riadah pagi, lawatan ke kampung tradisional Orang Asli, menaiki bot menyusuri Sungai Tembeling, sesi pembentangan kumpulan serta latihan penyelesaian masalah (problem solving) secara kreatif dan kolaboratif.

Turut dimuatkan ialah sesi ice-breaking yang menceriakan dan mengukuhkan keserasian antara peserta, di samping kuliah subuh, tazkirah maghrib, serta aktiviti pemantapan rohani yang menjadi elemen penting dalam membentuk keseimbangan antara kekuatan fizikal dan spiritual sepanjang program.

Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja menjadi ruang rehat daripada tugasan harian, malah berfungsi sebagai platform strategik untuk membina ukhuwah, memperkukuh kerjasama dan menyemai nilai-nilai murni yang menjadi asas kekuatan institusi.

UnIPSAS terus komited dalam melaksanakan inisiatif memperkasa modal insan melalui pendekatan holistik yang berteraskan nilai Islam, integriti dan profesionalisme.

Suasana Meriah Sempena Pendaftaran Pelajar Baharu Di UnIPSAS

Kuantan, 21 Jun 2025 – Kampus Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) hari ini kembali meriah apabila menerima kehadiran pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2025/2026.

Pelajar bersama ibu bapa tiba seawal pagi, membawa semangat dan harapan besar untuk memulakan perjalanan baharu dalam dunia pengajian tinggi. Kehadiran mereka dari pelbagai negeri di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak menyerlahkan keterbukaan UnIPSAS sebagai sebuah institusi yang menerima pelajar dari segenap pelosok tanah air.

Petugas dan pensyarah pelbagai fakulti menyambut kehadiran pelajar baharu dengan mesra dan ceria, sekali gus mencerminkan nilai kekeluargaan yang diterapkan oleh pihak universiti.

Majlis pendaftaran turut diserikan dengan taklimat khas oleh Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin yang menyampaikan amanat kepada ibu bapa dan pelajar. Beliau menekankan komitmen universiti dalam membentuk graduan berintegriti tinggi, berilmu serta bersedia menghadapi cabaran global.

Pendaftaran Walk-In Masih Dibuka Hingga 26 Julai 2025

UnIPSAS memaklumkan bahawa pendaftaran secara walk-in masih dibuka sehingga 26 Julai 2025, khusus buat lepasan SPM, STAM, STPM dan setaraf yang masih mencari peluang menyambung pengajian.

Antara kemudahan yang ditawarkan termasuklah surat tawaran yang dikeluarkan pada hari yang sama, penginapan asrama yang disediakan serta bantuan pinjaman pendidikan yang akan diuruskan selepas minggu orientasi.

Pelajar hanya perlu membawa slip keputusan peperiksaan ke kampus untuk memohon secara terus.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian WhatsApp rasmi UnIPSAS di 019-966 3755 atau hadir terus ke kampus di Jalan Gambang, Kuantan, Pahang.

Pingat Emas untuk UnIPSAS Acara Memanah

UITM Seri Iskandar Perak, 12 Jun 2025 – Alhamdulillah dan tahniah!, Adam Harris Irwan bin Tumino, pelajar Asasi Sains Kemanusiaan UnIPSAS telah mengharumkan nama universiti dengan merangkul Pingat Emas dalam acara Memanah Individu Lelaki (Compound) di Kejohanan Sukan MASISWA 2025.

Adam Harris menunjukkan ketenangan dan ketepatan yang luar biasa sepanjang kejohanan, sekaligus membuktikan bahawa atlet muda dari UnIPSAS mampu bersaing di peringkat IPT.

Turut bertanding dalam acara Recurve Individu Lelaki ialah: Aniq Ashraaf bin Abdul Razak dan Amru Baihaqi bin Mustapha Faidzul. Meskipun perjalanan terhenti di pusingan pertama peringkat kalah mati, usaha dan semangat juang mereka amat dibanggakan.

Tahniah kepada semua atlet dan jurulatih yang telah memberi komitmen terbaik. Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk lebih banyak pencapaian dalam kejohanan akan datang.

UnIPSAS Dilantik Penggerak Utama Penubuhan Universiti Al-Quran

KUANTAN, 12 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah melantik Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) sebagai penggerak utama dalam merealisasikan penubuhan sebuah universiti berteraskan Al-Quran di negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, pemilihan ini berdasarkan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri ini memiliki kapasiti dan kepakaran dalam bidang keilmuan Islam.

“Terlebih dahulu, kami ingin merakamkan penghargaan menjunjung kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, atas cetusan idea penubuhan sebuah universiti berteraskan Al-Quran di Negeri Pahang.

“Idea ini telah dilontarkan secara rasmi semasa Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali ke-67 pada tahun 2024. Sesungguhnya, ini adalah cetusan ilham yang berpandangan jauh dan berpaksikan kepada kecintaan terhadap Al-Quran sebagai asas pembangunan ummah.

“Menjunjung titah Baginda, Kerajaan Negeri Pahang telah mengorak langkah dengan melantik Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) sebagai penggerak utama dalam merealisasikan hasrat murni ini. Pemilihan UnIPSAS sebagai institusi pelaksana adalah sangat bertepatan, memandangkan kedudukan universiti ini sebagai institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri yang mempunyai kapasiti dan kepakaran dalam bidang keilmuan Islam.

“Cadangan penubuhan Universiti Al-Quran ini bukan sekadar membuka lembaran baharu dalam dunia pendidikan tinggi Islam, bahkan ia menjadi manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam memartabatkan Al-Quran sebagai asas pembangunan insan, sosial dan tamadun negeri. Ini sejajar dengan aspirasi YAB Menteri Besar Pahang yang sentiasa menekankan bahawa pentadbiran negeri harus berpaksikan nilai-nilai Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW,” katanya.

Menurut beliau, Universiti Al-Quran yang dicadangkan ini akan menawarkan pendekatan holistik, merangkumi aspek kurikulum, pembangunan pelajar, penyelidikan dan tadbir urus universiti.

“Objektifnya adalah untuk melahirkan graduan profesional Muslim yang menjadikan Al-Quran sebagai asas pemikiran, akhlak, dan amal.

“Kurikulum yang dirancang akan merangkumi pelbagai bidang, daripada qiraat, tafsir, kaunseling Islam, dakwah digital, sains sosial, teknologi maklumat hingga ke program-program peringkat Doktor Falsafah, semuanya berteraskan integrasi ilmu naqli dan aqli.

“Lebih istimewa, universiti ini dirancang untuk menjadi inklusif, membuka peluang kepada pelajar dari pelbagai latar belakang termasuk Orang Asli, mualaf, pelajar luar bandar, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan lepasan tahfiz, agar mereka turut dapat menikmati pendidikan tinggi berkualiti yang bersifat rahmatan lil’alamin,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang juga amat berharap perancangan menubuhkan universiti ini dapat direalisasikan dan mendapat sokongan daripada seluruh masyarakat dalam melahirkan graduan berteraskan Al-Quran.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang amat berharap agar perancangan penubuhan Universiti Al-Quran ini dapat direalisasikan dengan jayanya melalui sokongan padu daripada semua pihak, terutamanya daripada pihak UnIPSAS yang kini giat menggerakkan usaha ini di bawah pimpinan YH Prof. Dato’ Dr Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, barisan panel penilai serta semua pihak yang telah bersama menjayakan cita-cita murni ini.

“Kita menyeru agar seluruh masyarakat, pihak korporat, institusi pendidikan dan agensi kerajaan berganding bahu dalam menyokong pembangunan Universiti Al-Quran ini daripada segi sumber manusia, kewangan mahupun penyelidikan.

“Semoga usaha ini dapat melahirkan graduan berteraskan Al-Quran seterusnya menjayakan cita-cita Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur,” katanya selepas Perasmian Bengkel Jawatankuasa Khas Penilaian Cadangan Penubuhan Universiti Al-Quran Siri II di Hotel Swiss Garden, Genting Highlands. –

PAHANGMEDIA : Oleh : Ain Nadhirah Basha

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad pada Perasmian Bengkel Jawatankuasa Khas Penilaian Cadangan Penubuhan Universiti Al-Quran Siri II di Hotel Swiss Garden, Genting Highlands.

Studium General FDK UINAR Hadirkan Dosen Tamu dari UnIPSAS Malaysia

ACEH, 12 Mei 2025 – Telah dilaksanakan kegiatan Studium General yang diselenggarakan oleh Fakultas Dakwah dan Komunikasi (FDK) Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry Banda Aceh dengan mengangkat tema “Isu-Isu Dakwah Internasional”. Kegiatan ini berlangsung di Aula FDK dengan 2 orang pemateri dan dihadiri oleh segenap sivitas akademika FDK, serta tamu undangan.

Studium General ini dibuka oleh Wakil Dekan I FDK Dr. Mahmuddin, M.Si. “Kegiatan ini adalah aktifitas rutin yang perlu terus dilanjutkan” ungkap Mahmuddin. Berbagai isu dibahas dalam menyikapi perkembangan dakwah kawasan dan global, dengan segenap dinamika dan problematika yang menyertainya. Untuk itu, kampus perlu hadir dalam menjawab segenap masalah dan potensi masalah yang akan timbul.

Acara ini menghadirkan 2 orang narasumber utama yaitu pertama Ustazah Dr. Norfadelah Binti Nordin, Timbalan Dekan Fakulti Dakwah, Pendidikan dan Pembangunan Insan, UnIPSAS Malaysia. Beliau memberikan pandangan ilmiah dan praktis terkait dinamika dakwah internasional dalam konteks globalisasi serta tantangan dakwah kontemporer di berbagai belahan dunia. Materi yang beliau sampaikan memperkaya wawasan peserta dalam memahami peran dakwah sebagai solusi dalam berbagai konteks sosial dan budaya global. Dan pemateri kedua Dr. Sabirin, M.Si dengan tema Isu LGBT dan tantangan dakwah global. Beliau menyoroti perubahan prilaku manusia dan penggiringan opini publik yang cenderung meninggalkan budaya ketimuran, sebagai sebuah bahaya laten dalam perkembangan dakwah di masa yang akan datang.

Kegiatan ini juga melibatkan lima orang mahasiswa yang ditunjuk sebagai perwakilan dari berbagai Program Studi (Prodi) yang ada di lingkungan FDK UIN Ar-Raniry, yaitu Komunikasi dan Penyiaran Islam (KPI); Bimbingan dan Konseling Islam (BKI); Manajemen Dakwah (MD); Pengembangan Masyarakat Islam (PMI); dan Kesejahteraan Sosial (Kesos).

Selain itu, juga melibatkan Organisasi kemahasiswaan yang turut ambil bagian dalam menyukseskan kegiatan ini, termasuk Senat Mahasiswa (Sema) FDK, Dewan Eksekutif Mahasiswa (Dema) FDK, serta sejumlah perwakilan dari Himpunan Mahasiswa Program Studi yang hadir sebagai peserta aktif. Para peserta menunjukkan antusiasme tinggi dalam mengikuti paparan dan sesi tanya jawab yang berlangsung secara dinamis dan konstruktif.

Kegiatan ini berjalan dengan lancar dan memberi kontribusi positif dalam menambah wawasan serta memperkuat pemahaman mahasiswa terhadap isu-isu dakwah lintas negara. Materi yang disampaikan juga memberikan refleksi kritis terhadap peran mahasiswa dakwah dalam menjawab tantangan global yang semakin kompleks dan multidimensional.

ms_MYMalay