Bakat KUIPSAS Terselah Dalam Amal Islami IPTIM 2018

15 November 2018 (JOHOR BAHRU) – KUIPSAS tidak pulang dengan tangan kosong dalam Karnival Amal Islami Institusi Pengajian Islam Malaysia (IPTIM) 2018 Peringkat ASEAN yang berakhir hari ini. Karnival Amal Islami IPTIM 2018 Peringkat ASEAN yang diadakan di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Johor Bahru berlangsung selama 4 hari dan disertai oleh 11 IPT Islam.

Kontingen KUIPSAS seramai 20 orang peserta dan 6 orang pegawai telah menyertai 15 acara yang dipertandingkan. Selepas tamat karnival, KUIPSAS telah mencuri perhatian dengan muncul Naib Johan bagi acara Pidato Bahasa Arab (W) melalui Sdri. Nurul Izzah Bt. Azman serta Naib Johan dalam acara Seni Videografi yang disertai oleh Mohamad Fidhadul Aiman b. Roslin, Syed Muhammad Daniel b. Syed Shikh dan Mohammad Amar Taqiuddin b. Majid.

Lebih menarik apabila KUIPSAS telah diumumkan sebagai tuan rumah Karnival Amal Islami IPTIM edisi seterusnya yang akan diadakan pada tahun 2020 nanti. Jumpa nanti di KUIPSAS.

KUIPSAS Gondol Ibu Segala Pingat, Muncul Naib Juara MASISWA 2018

4 November 2018 (KOTA BHARU) – KUIPSAS tampil cemerlang dalam Kejohanan Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA) Zon Timur 2018 apabila muncul Naib Juara Keseluruhan. KUIPSAS menampilkan 45 orang atlit serta 10 orang pegawai telah menyertai 5 acara sukan iaitu Bola Sepak, Bola Jaring, Badminton, Ping Pong dan Catur. MASISWA 2018 Zon Timur diadakan di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang telah bermula sejak 1 November dan berakhir hari ini. Sebanyak 15 kontinjen telah menyertai edisi kali ini dan bersaing dalam 6 acara sukan yang dipertandingkan.

Selepas tamat kejohanan, KUIPSAS mengungguli kutipan pingat apabila meraih 1E, 1P dan 3G dalam Ping Pong, 1P dan 2G dalam Badminton, 1E dalam Catur dan 1G dalam Bola Jaring. KUIPSAS turut bergaya menggondol ibu segala pingat, pingat emas dalam acara Bola Sepak.

Dengan pencapaian terbaik ini, KUIPSAS muncul selaku Naib Juara Keseluruhan dengan 3E, 2P dan 6G. Kontinjen KUIPSAS diketuai oleh En. Mohd Nor Hafizan b. Abdul Hamid (Jabatan Sukan dan Aktiviti Pelajar) serta turut dihadiri oleh Dr. Asmadi bin Abdul Rahman (Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni). Tahniah diucapkan kepada semua atlit dan pegawai.

Kunjungan Hormat Ke Mesir

25 Oktober 2018 (KAHERAH MESIR) – Kunjungan Hormat KUIPSAS yang diketuai oleh YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS ke negara Mesir baru-baru ini telah berjaya mencapai objektifnya. Beberapa urusan kerja yang dirancang telah berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Bermula dengan penghantaran 15 orang pelajar KUIPSAS yang diterima menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar, Mesir, beberapa program lain diadakan selepas itu. Kunjungan hormat ini turut disertai oleh Dr. Mohd. Zawavi bin Zainal Abidin (Timbalan Rektor Akademik Dan Pengantarabangsaan) serta Prof. Madya Dr. Mohamed Ahmed Mohamed Abdelaal Alsharabany (Pensyarah Fakulti Pengajian Islam KUIPSAS)

Kunjungan ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada kali ini telah membuahkan hasil apabila pihak Universiti Al-Azhar telah bersetuju untuk memperbaharui Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak dengan memasukkan beberapa persetujuan bersama yang dibentangkan dalam perbincangan tersebut. Selain itu, delegasi KUIPSAS telah mengadakan pertemuan dengan TYT Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Menteri Penasihat (Pendidikan) serta diadakan juga sesi temuduga bersama Dr. Ahmad Muhamad Ibrahim Khatir.

  

Perbincangan Kolaborasi Bersama Maahad Tahfiz Negeri Pahang

8 Oktober 2018 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini menerima kunjungan daripada Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP). Delegasi MTNP diketuai oleh YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifli bin Haji Ali Al-Hafiz, Ketua Pegawai Eksekutif dan disertai 5 orang anggota yang lain.
Kunjungan diadakan bertujuan untuk membincangkan sebarang bentuk kerjasama dan kolaborasi secara ‘Smart Partnership’ khususnya dalam bidang akademik yang dijangka mampu memberi manafaat kepada pelajar-pelajar khususnya dan kedua-dua pihak amnya.

 

Graduan KUIPSAS Tamat Pengajian Universiti AL-AZHAR

24 September 2018 (MESIR) – KUIPSAS merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Sdr. Muhammad Syafie Bin Ismail, graduan KUIPSAS yang telah berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar, Mesir. Syafie melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar hasil pengiktirafan dan MoU yang diperolehi oleh KUIPSAS daripada Universiti Al-Azhar dan membolehkan beliau meneruskan pengajian terus ke tahun tiga di sana. Beliau mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah Dan Undang-Undang Pengkhususan Syariah Islamiyah dalam Kuliah Syariah Dan Undang-Undang di universiti berkenaan.

Syafie yang merupakan graduan KUIPSAS dalam Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Syariah Dan Undang-Undang (2011 – 2014) pernah menjawat jawatan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar KUIPSAS (MPPKUIPSAS) dan merupakan graduan KUIPSAS yang menjadi kumpulan pertama menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir hasil daripada pengiktirafan dan MoU yang dijalinkan.

 

Pelantikan Pegawai KUIPSAS Menganggotai Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syariah Negeri Pahang

25.9.2018 – Pegawai KUIPSAS terdiri Ybhg. Dr. Zawavi bin Zainal Abidin, Timbalan Rektor Akademik & Pengantarabangsaan dan Ybhg. Encik Wan Emril Nizam bin Wan Embong, pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam telah dilantik meanggotai Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syariah Negeri Pahang bertempat di Pusat Pemulihan Aqidah Baitul Iman Ulu Yam, Selangor.

Dalam majlis itu satu taklimat berkaitan peranan dan fungsi Pusat Pemulihan Aqidah di Selangor untuk diaplikasikan di Negeri Pahang. Turut hadir bersama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, dan Sahibus Samahah, Mufti Negeri Pahang YDH Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Osman.Warga KUIPSAS mengucapkan tahniah kepada pegawai yang dilantik.

   

Perkongsian Pintar Bersama SMK Tanjung Lumpur

21 September 2018 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini menandatangani persefahaman bersama Sek. Men. Keb. Tanjung Lumpur, Kuantan untuk membina Perkongsian Pintar yang akan memberi manafaat kepada kedua-dua pihak. Dalam majlis ringkas yang dihadiri oleh Pengetua SMK Tanjung Lumpur, Tn Haji Muhammad Azhar Bin Muhammad Ishak, beliau menjelaskan Perkongsian Pintar yang dijalin ini akan memberi faedah kepada pelajar-pelajar mereka terutama hala tuju melanjutkan pengajian selepas tamat persekolahan.

Rektor KUIPSAS, Dato’ Hj. Yahya bin Zainal Abidin menyambut baik usaha mengadakan Perkongsian Pintar ini yang turut melebarkan jaringan KUIPSAS dengan pihak-pihak yang mempunyai aspirasi sama dalam bidang pendidikan. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi, Pendaftar, Penolong Pendaftar Perhubungan Korporat serta Guru Kaunseling SMK Tanjung Lumpur.

  

Graduan KUIPSAS Bersedia Ke AL-AZHAR MESIR

15 September 2018 (KUANTAN) – Selepas menghadiri Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) selama 2 bulan, seramai 15 orang graduan KUIPSAS dalam bidang Pengajian Islam sudah bersedia untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar, Mesir. Peluang menyambung pengajian ke universiti tersohor ini hasil daripada perjanjian persefahaman yang dimateri di antara KUIPSAS dengan Universiti Al-Azhar, Mesir.

  

Dalam Majlis Penutupan KIBA 2018 yang dirasmikan oleh YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Bin Syed Ahmad, Pengerusi  Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang itu, semua peserta KIBA telah menerima Sijil Penyertaan serta sedikit sumbangan yang disampaikan oleh YB. Dato’ Sri. Dalam ucapan perasmiannya, YB. Dato’ Sri menasihati para pelajar supaya jangan malu untuk bertutur dalam Bahasa Arab dengan masyarakat tempatan serta alim ulama di Mesir selain perlu tekun dengan urusan menuntut ilmu pengetahuan.

Majlis yang turut dihadiri oleh Rektor KUIPSAS, Timbalan Rektor, Dekan Fakulti Pengajian Islam serta pensyarah-pensyarah Jabatan Bahasa Arab dan pensyarah-pensyarah berasal dari Mesir disajikan dengan persembahan ‘kalam jamaiy’ oleh peserta KIBA tersebut. Peserta-peserta KIBA ini akan berangkat ke bumi Mesir pada bulan Oktober nanti dan akan terus mengikuti pengajian dalam tahun kedua bagi pelajar Kulliah Lughah dan tahun ketiga bagi pelajar Kulliah Usuluddin dan Syariah. Terdahulu daripada ini, seorang pelajar KIBA ini juga sudah melanjutkan pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan.

Selamat Maju Jaya diucapkan kepada mereka semua.

     

Pensijilan ISO KUIPSAS Dinaiktaraf

14 September 2018 (KUANTAN) – Pihak pengurusan dan seluruh anggota kerja KUIPSAS melafazkan kesyukuran kerana sesi audit bersama Auditor SIRIM telah berjalan dengan lancar. Sesi audit selama 3 hari tersebut bertujuan untuk menyemak secara terperinci pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti KUIPSAS.

   

Auditor SIRIM terdiri daripada Pn. Nor Hasifah Abdul (Ketua Auditor), Cik Hajah Hanida Ghazali dan Dr. Mohd Shahril Ahmad Ramizi. Sepanjang sesi audit dilaksanakan, tiada Laporan Ketidakpatuhan (NCR) dilaporkan oleh auditor dan beberapa Peluang Penambahbaikan (OFI) dibentangkan dalam Mesyuarat Penutupan Audit.

Dengan ini, Auditor SIRIM telah membuat rekomendasi supaya Pensijilan MS1900:2014 disambung dan Pensijilan ISO dinaiktaraf kepada versi terbaharu iaitu ISO9001:2015.

   

KUIPSAS dan UMP Advance Bincang Potensi Kerjasama

03 September 2018 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi UMP Advanced yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Mohamad Rozi bin Hassan. Pertemuan ini menjurus kepada perbincangan untuk mengembangkan potensi kerjasama di antara kedua-dua pihak khususnya dalam penawaran program-program pengajian berbentuk profesional dan eksekutif kepada orang ramai. KUIPSAS diketuai oleh Rektor, YH. Dato’ Hj. Yahya bin Zainal Abidin dalam perbincangan tersebut.

    

ms_MYMalay