PENDAFTARAN SEMESTER I SESI 2019/2020 (Pelajar Lama)

Sukacita dimaklumkan KUIPSAS akan memulakan semester pengkuliahan pada bulan Jun
2019.

Pelajar dikehendaki mendaftar untuk memulakan sesi baru pengkuliahan seperti ketetapan
di bawah. Unit Kewangan akan mengenakan denda sebanyak RM10.00 (Ringgit Malaysia :
Sepuluh Sahaja) sehari bagi setiap pelajar yang lewat mendaftar.

 

Tarikh : 20 Jun 2019 (Khamis)
Masa : 8.30 pagi – 12.30 petang
Tempat : Dewan Utama KUIPSAS

 

 

Sila rujuk lampiran dibawah untuk maklumat lanjut :

Maklumat Pendaftaran Pelajar Lama SEM II 2018

 

Selamat Kembali…

Bengkel Pemurnian Diploma Kaunseling Islam Tumpu Pematuhan MQA

11 Januari 2019 (KUANTAN) – Bengkel Pemurnian Diploma Kaunseling Islam telah diadakan selama 2 hari dan dikendalikan oleh 2 orang pakar dalam bidang kaunseling. Kedua-dua pakar tersebut ialah Dr. Md. Noor bin Saper, Pensyarah Kanan Kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang merupakan Panel Akademik dan Tn. Hj. Norazman bin Amat dari Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang merupakan Panel Industri.

 

Bengkel dan perbincangan padat selama 2 hari itu menumpukan kepada pematuhan standard program MQA, pemurnian objektif dan hasil pembelajaran program mengikut domain MQA, penawaran subjek, susun atur Makmal Kaunseling, penambahan kandungan kursus yang relevan dengan isu semasa dan perbincangan awal untuk menggubal dan menawarkan program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kaunseling.

Pemurnian ini dijalankan selari dengan dengan saranan MQA iaitu program perlu ditambahbaik dari semasa ke semasa serta persediaan untuk permohonan akreditasi penuh diploma ini. Semoga pemurnian ini dapat mengukuhkan lagi struktur program Diploma Kaunseling Islam KUIPSAS, yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar.

**********
Info semasa mengenai Diploma Kaunseling Islam KUIPSAS boleh diikuti di laman FB Page : Diploma Kaunseling Islam Kuipsas

 

KUIPSAS Umum Perlantikan PROF. MADYA

27 Disember 2018 (KUANTAN) – Perhimpunan Bulanan Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang KUIPSAS bagi bulan Disember 2018 yang diadakan pada hari ini menyaksikan pengumuman pelantikan beberapa jawatan penting di KUIPSAS. Perhimpunan yang bermula jam 8.15 pagi itu dihadiri oleh semua warga kerja KUIPSAS dan diadakan di Auditorium KUIPSAS.

Terdahulu sebelum itu, YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS dalam ucapannya menyentuh kepentingan KUIPSAS memastikan kelestarian dalam urusan kewangannya. Pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan KUIPSAS akan sentiasa kukuh dari sudut pengurusan kewangan.

Beliau kemudiannya mengumumkan pelantikan Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin (Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan) ke jawatan Profesor Madya dan pelantikan Dr. Asmadi bin Abdul Rahman sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni secara penempatan khas.

Turut diumumkan pelantikan ke jawatan tetap kepada Cik Nur Syafira Nasuha binti Mohd Zuki (Jabatan Perhubungan Korporat), Cik Nur Athirah binti Mohd Mazalan (Perpustakaan), Cik Nurul Syahirah binti Abdul Rahman (Unit Pengurusan Aset & Logistik), Cik Farah Wahida binti Abdul Manas (Jabatan Pengurusan Akademik), Cik Masitah binti Mohd Razali (Unit Kualiti), En. Muhamad Kasyidi Hakim bin Kamarudzaman (Unit Kejuruteraan Awam / Peyelengaraan), Cik Siti Mariam binti Nawang (Jabatan Sumber Manusia), Pn. Noor Suryana binti Omar (Unit Keselamatan), En. Ahmad Anasrul bin Muhammad (Unit Keselamatan) dan En. Muhammad Salihin bin Mohd Sabri (Unit Keselamatan).

Perhimpunan kali ini turut meraikan kejayaan En. Mohd Fazzly Rassis bin Md. Kassim (FTMK) dan Cik Norhasniza Hanum binti Ishak (FPP) yang menamatkan pengajian peringkat Sarjana serta Pn. Nur Liana ‘Aqilah binti Derus (FPP) yang mendirikan rumah tangga baru-baru ini. Hadiah penghargaan ini disumbangkan oleh Badan Kebajikan Keluarga KUIPSAS (BAKKIP).

Pesilat KUIPSAS Raih Pingat Emas

19 Disember 2018 (KUANTAN) – KUIPSAS telah dijemput untuk menyertai Kejohanan Silat yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang pada hari ini bermula jam 8.00 pagi. Seramai 13 orang pesilat KUIPSAS telah menyertai kejohanan silat tersebut.

Pesilat KUIPSAS tampil bergaya apabila berjaya memenangi pusingan pertama dan lebih membanggakan pesilat Muhammad Faris Ikram bin Abdul Hameed telah berjaya memenangi Pingat Emas bagi Kategori Tanding (Individu Putera) dalam kumpulan H.

 

Pensyarah Bahasa Arab Menang Anugerah Inovasi UKM

18 Disember 2018 (BANGI) – Pensyarah Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS berjaya menarik perhatian dengan memenangi anugerah dalam Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab bersempena dengan program World Arabic Language Day (Hari Bahasa Arab Sedunia – WALD 2018) yang diadakan pada hari ini.

Pertandingan Inovasi yang dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini bertujuan untuk mengetengahkan hasil ciptaan & inovasi berkaitan PdPC bagi mata pelajaran Bahasa Arab dalam kalangan pensyarah-pensyarah IPT dan guru-guru sekolah.

KUIPSAS melalui Jabatan Bahasa Arab telah menghantar 3 orang wakil iaitu Ustazah Norillah Abdullah Hassim dan Ustazah Nurizan Baharum yang mempertandingkan projek inovasi “Pembelajaran I’rab & Bina’ Menggunakan Warna & Simbol” dan Ustaz Muhamad Fairuz Ali yang mempertandingkan “Pembelajaran Kosa Kata Bahasa Arab Menggunakan Roda Impian”.

Hasil usaha gigih peserta, Ustaz Muhamad Fairuz telah memenangi Pingat Emas manakala Ustazah Norillah dan Ustazah Nurizan meraih Pingat Perak
. Kejayaan ini sekaligus berjaya menaikkan nama KUIPSAS sebagai IPT yang menawarkan program pengajian dalam bidang Bahasa Arab.

**********
Untuk mendapatkan informasi lanjut mengenai program-program pengajian dalam bidang Bahasa Arab di KUIPSAS, sila ikuti FB Page : Jabatan Bahasa Arab KUIPSAS

Bengkel Zakat Tingkatkan Kesedaran MAHASISWA KUIPSAS

15 Disember 2018 (KUANTAN) – Mahasiswa KUIPSAS menyedari bahawa tuntutan menunaikan zakat harta merupakan amalan wajib ke atas umat Islam. Kesedaran ini menjadi lebih kukuh selepas mereka menghadiri program Bengkel Pengiraan Zakat Harta 2018. Bengkel anjuran Jabatan Syariah KUIPSAS ini dihadiri seramai 400 orang mahasiswa/wi daripada semua program pengajian Diploma.

Bengkel yang dikendalikan sepenuhnya oleh penceramah-penceramah daripada Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang itu antara lain bertujuan untuk memberikan pengetahuan mengenai kadar zakat harta yang ditetapkan oleh PKZ Pahang. Selain itu, peserta juga dilatih untuk membuat pengiraan zakat yang betul serta diperkenalkan dengan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh PKZ Pahang.

Penceramah PKZ Pahang yang hadir terdiri daripada Pn. Fatin Nor Azrin Bt Omar, Ustaz Felza Zulrrafaaee B Abdul Hamid, Ustaz Zafridan B Mohd Daud dan Ustaz Mohd Abdul Khaliq bin Mohd Nazir. Program dirasmikan oleh YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS.

Pusat Kutipan Zakat Pahang

**********
Informasi lanjut mengenai program-program pengajian dalam bidang Syariah di KUIPSAS boleh diikuti di Laman FB : Syariah Department Kuipsas

Kunjungan Ke Kolej Kominiti Paya Besar

10 Disember 2018 (KUIPSAS) – KUIPSAS mengadakan kunjungan ke Kolej Komuniti Paya Besar pada hari ini bermula jam 10.30 pagi dan disertai oleh Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Rosli bin Omar, Pegawai Psikologi, Dr. Sharafudin Aisa bin Osman dan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar.

 

Kunjungan dilakukan bertujuan untuk membincangkan peluang mengadakan program kemahiran pelajar di samping mewujudkan Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan Kolej Komuniti Paya Besar. Hasil dari perbincangan, Kolej Komuniti Paya Besar telah bersetuju untuk memberi latihan kemahiran kepada pelajar dan staf-staf KUIPSAS mengikut keperluan pihak KUIPSAS.

Bengkel & Amali Hospital Mesra Ibadah

24 November 2018 (KUANTAN) – KUIPSAS telah mengadakan Kursus Hospital Mesra Ibadah (HMI) bertempat di Dewan Barakah KUIPSAS dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Kursus ini diadakan dengan kerjasama Badan Nadwah Islamiyah (NADWAH) dan telah dirasmikan oleh Encik Khairul Anuar, Timbalan Pengerusi NADWAH.

Seramai 23 orang pelajar Diploma Dakwah dan Pengurusan dan Diploma Syariah Dan Undang-Undang mewakili KUIPSAS dalam Kursus ini. Kursus selama dua hari pada 23 hingga 24 November 2018 init telah mendedahkan peserta mengenai kefahaman berkenaan solat, wuduk, tayammum serta isu-isu permasalahan ibadah bagi orang yang sakit dan kaedah penyelesaiannya.

Pelajar juga turut diberi latihan amali di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan mendekati pesakit sakaligus memberi bembingan kepada pesakit dalam menunaikan tanggungjawab ibadah mereka semasa ditimpa kesakitan.

Pelajar KUIPSAS Curi Perhatian Di Pertandingan Dakwah pentas DAI’E

22 November 2018 (PUTRAJAYA) – Pelajar KUIPSAS telah menyertai program Karnival Dakwah Masjid (Pentas Dai’e Diskusi Mahasiswa) yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada hari ini. Program yang bermula pada jam 9 pagi itu dirasmikan oleh Tuan Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Dua orang pelajar KUIPSAS telah mencuri perhatian hadirin selepas mengambil bahagian dan memenangi tempat kedua dan keempat. Mereka adalah Muhd Adli bin Jamiri, pelajar Diploma Bahasa Arab Tamadun Islam mendapat naib johan, dan Muhammad Irfan bin Badrulzaman pelajar Asasi Sastera mendapat tempat ke-4 daripada sepuluh peserta yang menyertai Pertandingan Pentas Dai’e di Putrajaya.

Selain itu, seorang lagi pelajar, Mohd Azmi bin Azman dari Ijazah Sarjana Muda Dakwah Islamiyah telah mewakili KUIPSAS dalam Diskusi Mahasiswa untuk berkongsi pengalaman menyertai program-program dakwah yang pernah dijalankan di KUIPSAS. Semoga penglibatan pelajar-pelajar dalam program ini dapat mengasah bakat serta kemahiran mereka dalam pengucapan awam serta perkongsian idea-idea daripada mahasiswa berkenaan isu-isu terkini.

KUIPSAS Menyertai Perarakan MAULIDUR RASUL 1440H

20 Nov 2018 (KUANTAN) – Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Tahun 1440H/2018 anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) telah diadakan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan pada hari ini yang bertemakan “Menyantuni Umat Membawa Rahmat”. Program ini diadakan bagi memperingati hari keputeraan junjungan besar Rasulullah SAW dan menghayati perjuangan Baginda dalam menegakkan syiar Islam. Program ini juga diadakan bagi menggalakkan masyarakat masa kini supaya menghayati perjuangan Baginda dengan meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan, bersatu padu memupuk ukhuwah Islamiyyah di samping mencipta kegemilangan dan ketamadunan masyarakat Islam mengikut arus perkembangan semasa secara seimbang.

KUIPSAS turut tidak terlepas dalam menyertai program ini, yang sudah menjadi program wajib untuk disertai setiap tahun. Seramai 33 orang pelajar KUIPSAS telah mengambil bahagian dalam perarakan kali ini. Perarakan bermula jam 7.30 pagi di perkarangan masjid disertai kira-kira 1,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Majlis selesai pada jam 12.00 tengah hari. Kontinjen KUIPSAS telah muncul pemenang tempat ketiga dalam perarakan pada tahun ini.

ms_MYMalay