Seminar Internasional : Transformation of Da’wah and Communication Towards Society 5.0

INDONESIA, 22 September 2023 – Telah berlangsung satu seminar antarabangsa dinamakan Seminar Internasional : Transformation of Da’wah and Communication Towards Society 5.0. Seminar ini dianjurkan oleh Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry Banda Aceh Indonesia dan berlangsung dengan jayanya di Fakultas Dakwah UIN Ar-Raniry. Seminar telah dirasmikan oleh Rektor UIN Ar-Raniry, Profesor Dr. Mujiburrahman M.Ag.

Seramai 3 orang pensyarah dari UnIPSAS telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama (keynote speech) dalam seminar ini iaitu Ustazah Norfadelah Nordin (Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam) dengan tajuk ‘Persepsi Pelajar Dakwah, UnIPSAS terhadap Pembelajaran Bahasa Isyarat sebagai Medium Komunikasi Golongan OKU Pendengaran’, As-Sheikh Dr. Mohamed Ebrahim el-Sherbiny Ahmed Sakr (Pensyarah Jabatan Dakwah) dengan tajuk ‘Pendakwah Qurani’ dan Ustaz Ainuddin bin Kamaruddin (Pengarah Institut Jawi) dengan tajuk ‘Tulisan Jawi Sebagai Warisan Melayu Islam dan Sarana Komunikasi: Pemerkasaannnya di Pahang, Malaysia’.

Turut menyampaikan pembentangan pada seminar antarabangsa tersebut ialah Ustaz Hasmimie bin Mohd Yusof dengan tajuk Dai Rabbani Pembina Masyarakat 5.0: Harapan dan Cabaran. Seminar turut disertai oleh pembentang-pembentang daripada Indonesia yang membicarakan pelbagai topik menarik sekitar bidang dakwah.

Delegasi UnIPSAS yang menghadiri seminar ini turut mengambil peluang untuk mengadakan kunjung hormat ke pejabat Dekan Fakultas Dakwah, Prof. Dr. Kusmawati Hatta M.Pd pada sebelah pagi dan mengadakan perbincangan pada sebelah petang berkenaan kerjasama berkaitan penempatan pelajar Latihan Industri UnIPSAS di Aceh.

Program Pengukuhan SPM & Hala Tuju

KUANTAN, 12 September 2023 – Program Pengukuhan SPM & Hala Tuju Selepas SPM berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula 12 -14 September 2023 bertempat di Persada Baroqah Kuantan melibatkan seramai 145 orang peserta terdiri daripada 4 buah sekolah menengah agama di bawah kelolaan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan 7 buah sekolah menengah harian di sekitar Kuantan.

Program ini diuruskan oleh Fakulti Pengurusan dan Informatik (FMI) bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat UnIPSAS dan MUIP dalam membantu pelajar membuat persediaan menduduki peperiksaan SPM oleh guru-guru pakar di samping menggalakkan pembudayaan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan generasi muda.

Istiadat Konvokesyen Ke-20 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS)

KUANTAN, 4 September 2023 – Seramai 478 graduan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah
( UnIPSAS) dianugerahkan Ijazah dan Diploma pada istiadat Konvokesyen Ke-20 UnIPSAS yang berlangsung di Dewan Cashmere,Hotel Zenith di kuantan.

Istiadat tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pro-Canselor 1 UnIPSAS,Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan UnIPSAS atas kecemerlangan yang dicapai sepanjang mengikuti pengajian di UnIPSAS.

Semoga para graduan terus mencipta kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

TONTON FB LIVE : https://www.facebook.com/UNIPSASofficial/videos/861304725336976

Doa Ibu Bapa Sangat Penting Dalam Membentuk Kejayaan Anak-anak

KUANTAN, 22 Julai 2023 – Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin menekankan kepada kekuatan doa ibu bapa dalam membentuk kejayaan anak-anak.

“Ibu dan bapa jangan putus berdoa dalam menjamin kejayaan anak-anak. Anak-anak pula jangan sesekali lupa bahawa kejayaan anak-anak adalah berkat doa ibu dan bapa,” ujar beliau dalam merasmikan program Majlis Anugerah Kecemerlangan 2023 SMK Paya Besar, Kuantan.

Dalam ucapan perasmian, Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin juga telah berkongsi pengalaman kesukaran hidup semasa beliau belajar di Universiti Al-Azhar Mesir sebagai suntikan motivasi kepada pelajar cemerlang SMK Paya Besar bahawa ilmu adalah segala-galanya.

Dalam majlis ini, seramai 38 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang SPM 2022 diraikan oleh SMK Paya Besar.

UnIPSAS Sebar Kepakaran Dalam Klinik Guaman Syarie dan Kaunseling Islam

RAUB, 22 Julai 2023 – UnIPSAS menyemarakkan Karnival Tanah anjuran Pejabat Tanah dan Galian Raub pada hari ini melalui perkhidmatan Klinik Guaman Syarie dan Kaunseling Islam di Dewan Jubli Perak (Raub).

Program yang dirasmi oleh YAB Menteri Besar Pahang telah membuka ruang kepada UnIPSAS untuk para pensyarah Fakulti Syariah UnIPSAS menawarkan khidmat nasihat mengenai perkahwinan, penceraian, hak jagaan anak, wasiat, harta sepencarian dan pengurusan kes-kes mahkamah syariah kepada masyarakat awam melalui Klinik Guaman Syarie ini.

Encik Mohd Saifuddin bin Abdul Karim, Dekan Fakulti Syariah UnIPSAS menjelaskan bahawa kepakaran pensyarah UnIPSAS dalam bidang Syariah dan Perundangan perlu disebarluas, terutama dalam usaha meneguhkan syariat Islamiyyah bagi menyokong kesejahteraan hidup di Malaysia.

“Penyertaan dalam Karnival Tanah di Raub pada hari ini diselaraskan oleh Puan Yusliha binti Yunus bersama 5 pelajar Fakulti Syariah dan merupakan poin kritikal untuk UnIPSAS berkhidmat kepada masyarakat melalui kepakaran pensyarah yang dimiliki oleh Fakulti Syariah,” kata beliau lagi.

Dalam program yang sama, UnIPSAS turut menyediakan khidmat kaunseling Islam sebagai menyokong program Klinik Guaman Syarie, sekaligus mengenengahkan kepakaran pensyarah dalam bidang Kaunseling Islam.

“Kaunseling Islam merupakan bidang yang mendapat perhatian ramai dewasa ini kerana ia menekankan elemen rohani yang membantu individu menjaga kesejahteraan emosi, mental dan spiritual. Justeru itu, kaunseling Islam sesuai dan bermakna dalam membantu individu menghadapi cabaran masakini”, jelas Dr. Nur Yani binti Che Hussin, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan merangkap pensyarah Kaunseling Islam UnIPSAS.

Sambutan Maal Hijrah 1445 Peringkat UnIPSAS

KUANTAN, 21 Julai 2023 / 3 Muharram 1445H – Pusat Islam UnIPSAS telah menganjurkan program perarakan sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H peringkat Universiti pada hari ini. Perarakan ini telah disertai hampir 800 peserta dari 11 kontinjen yang terdiri daripada Fakulti Pengajian, jabatan-jabatan pentadbiran dan persatuan pelajar yang ada di UnIPSAS.

Pengarah Pusat Islam UnIPSAS, Ustaz Mohd Shupian bin Majid berkata Program Sambutan Maal Hijrah 1445H peringkat UnIPSAS ini bertujuan agar anggota kerja dan pelajar UnIPSAS dapat bersama menghayati falsafah dari peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari kota Makkah ke kota Madinah demi menyebar dan menyubur dakwah Islamiyyah.

“Peristiwa Maal Hijrah merupakan titik tolak kepada perkembangan agama Islam ke peringkat global dan perlu dihayati sebagai penanda aras kepada kehidupan Islam yang sebenar dalam diri kita”, ujar beliau lagi.

Kemuncak kepada program ini ialah tausiyah yang disampaikan oleh Naib Canselor UnIPSAS sendiri, YH Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin. Tausiyah yang bertajuk Ibrah Maal Hijrah antara lain mengajak seluruh warga UnIPSAS untuk berusaha meningkatkan kualiti diri dan pendidikan dengan mengambil pengajaran dari kisah pengorbanan dan cabaran sahabat Nabi saw bernama Salman Al Farisi ketika memeluk Islam dengan meninggalkan segala kekayaan warisannya serta kesungguhannya berhadapan segala cabaran perit merih semata-mata untuk menuntut dan mendapatkan ilmu.

Dalam program ini juga, Persatuan Pelajar Borneo UnIPSAS telah diangkat sebagai Juara Perarakan Maal Hijrah 1445H Peringkat UnIPSAS setelah dikira kekemasan dan keceriaan skuad, di samping penggunaan tulisan jawi yang betul dalam sepanduk perarakan kumpulan masing-masing. Tidak dilupakan, perarakan ini juga disertai oleh anak-anak Tadika Naluri UnIPSAS.

UnIPSAS Komited Memastikan Anak-anak Orang Asli Mendapat Pengajian Peringkat Tinggi

KUANTAN, 20 Julai 2023 – UnIPSAS menzahirkan komitmen untuk terus membantu anak-anak Orang Asli dalam negeri Pahang agar tidak ketinggalan dalam arus pendidikan tinggi negara.

Dalam pertemuan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang pada hari ini, Profesor Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin menyatakan komitmen untuk memperuntukkan ruang kepada anak Orang Asli untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan PhD di UnIPSAS.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Pengarah JAKOA, Tuan Johari bin Alwi. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Akademik UnIPSAS, Dr. Hj. Muhammad Fadlly bin Ismail.

UnIPSAS diiktiraf sebagai Pusat Penilaian APEL Swasta pertama di Pantai Timur

06 JULAI 2023 (KUANTAN) – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) mengukir sejarah apabila Agensi Kelayakan Malaysia melantiknya sebagai sebuah Pusat Penilaian APEL (PPA) bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6) dan Ijazah Sarjana (APEL T-7), sekaligus menobatkan UnIPSAS sebagai IPTS pertama yang berjaya menjadi PPA swasta di Pantai Timur.

Pengiktirafan ini telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran dalam program Sesi Jelajah MQA Bersama Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) Zon Timur pada 6 Julai 2023 di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS.

Menurut beliau, kelulusan ini membuka ruang dan peluang kepada masyarakat di Pahang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan menggunakan laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) iaitu APEL.A dan APEL.C.

“Masyarakat negeri Pahang perlu merebut peluang untuk menyambung pengajian walaupun tidak memiliki sijil pendidikan formal secara konvensional. Melalui laluan APEL, masyarakat yang mungkin kurang bernasib baik atau tidak berkesempatan untuk melanjutkan pengajian melalui laluan konvensional boleh meneruskan pengajian mereka di UnIPSAS.”

Sementara itu, Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar selaku wakil rasmi YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang berkata bahawa kelulusan UnIPSAS sebagai Pusat Penilaian APEL adalah selari dengan Pelan Strategik UnIPSAS 2022-2026 yang memberi penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat Negeri Pahang.

Hadir di dalam majlis yang sama ialah Exco Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Seri Ir. Mohd Soffi Abdul Razak selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang.

“Saya amat menghargai pihak Malaysian Qualifications Agency (MQA) kerana memilih UnIPSAS sebagai Pusat Penilaian APEL serta menganjurkan program Sesi Jelajah MQA Bersama PPT Zon Timur di UnIPSAS. Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada warga kerja UnIPSAS atas inisiatif memastikan kualiti program mencapai standard terbaik di samping memberi peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka”.

Untuk makluman, UnIPSAS telah dilantik sebagai Pusat Penilaian APEL (PPA) dan diluluskan untuk melaksana APEL C oleh Agensi Kelayakan Malaysia. APEL A memberikan pengiktirafan kepada individu dengan pengalaman kerja yang relevan untuk memasuki program pengajian tertentu, manakala APEL C memberikan pengiktirafan kepada individu dengan pengalaman kerja untuk mendapatkan pengecualian kredit bagi sesuatu subjek.

#unipsasbumibarakah #jommasukunipsas #mohmasukunipsas

UnIPSAS terus mengekalkan pensijilan MS ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014

5 JULAI 2023 (KUANTAN) – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) terus mengekalkan tahap sistem pengurusan kualiti yang amat baik melalui audit pensijilan semula MS ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014 oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd.

Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin berkata, hasil audit ini merupakan manifestasi bahawa UnIPSAS sentiasa berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar, ibu bapa dan pemegang taruh yang telah menyumbang kepada pembangunan organisasi ini.

“UnIPSAS telah mula mendapat pengiktirafan MS ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014 pada tahun 2012. Kini setelah lebih 10 tahun, sistem pengurusan kualiti ini terbukti berupaya membentuk budaya kerja yang berkualiti dan diasimilasi dalam operasi kerja harian, dengan izin Allah SWT.”

Sementara itu, Pegawai Kualiti UnIPSAS, Puan Zarina binti Kamarozaman turut menekankan bahawa penambahbaikan berterusan perlu dibuat di poin kritikal dalam penyampaian perkhidmatan.

“UnIPSAS akan terus berusaha menambahbaik sistem aduan pelanggan yang merupakan nadi utama terhadap pengukuran kualiti penyampaian perkhidmatan”, ujarnya.

Dalam sesi audit yang berlangsung selama 3 hari bermula 3 hingga 5 Julai 2023, UnIPSAS juga mengekalkan rekod tanpa ketidakpatuhan.

Kolokium Antarabangsa Pengajian Islam & MoU UnIPSAS – UINSU

21 Jun 2023 (KUANTAN)-Kolokium Antarabangsa Pengajian Islam UnIPSAS- UINSU merupakan salah satu program Mobiliti yg dilaksanakan secara kerjasama di antara UnIPSAS dan Universitas Islam Sumatera Utara Indoneia dengan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah.

Kolokium ini dilaksanakan sempena kunjungan delegasi UINSU ke Malaysia, Thailand Dan Singapura.

 Program Mobiliti merupakan salah satu program akademik yang dirancang dalam Pelan Strategik UnIPSAS 2022-2026 untuk memastikan halatuju UnIPSAS selari dengan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara seperti yang dihasratkan menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dapat dicapai.

Fakulti Pengajian Islam, UnIPSAS tujuan utama pelaksanaan program mobiliti adalah melahirkan graduan berkualiti. Kerajaan dan majikan hari ini juga telah memperakui bahawa tenaga kerja pada masa hadapan mestilah terdiri daripada graduan-graduan yang bukan saja terlatih dan kompeten tetapi merupakan ahli profesional yang mempunyai perspektif global agar berupaya menyelesaikan masalahmasalah pelbagai bidang dengan lebih berkesan.

Kolokium Antarabangsa Pengajian Islam UnIPSAS- UINSU ini diharap dapat menghasilkan mahasiswa yang holistik dan berdaya saing serta mampu menghadapi cabaran global.

Pembentang kertas kerja adalah seperti berikut: Pembentangan Kertas Kerja 1 oleh UnIPSAS: Nama Pembentang : Dr. Safiah Binti Abd Razak Dekan Fakulti Pengajian Islam UnIPSAS Tajuk : EPISTEMOLOGI ISLAM TERAS KECEMERLANGAN PERADABAN ISLAM.

Pembentangan Kertas Kerja 2 dari UIN SU: Nama Pembentang : Prof Dr. Lahmuddin Lubis M.Ed. Dekan Fakultas Dakwah dan Komunikasi Universiti Islam Negeri Sumatera Utara (UINSU) Tajuk : PROBLEM SOLVING DALAM PERSPEKTIF ISLAMI.

Program ini diserikan dengan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman MoU di antara pihak UnIPSAS dan UINSU.

ms_MYMalay