KUANTAN, 01 MAC 2024 – Kuliah Duha yang disampaikan oleh Felo Kanan Dakwah UnIPSAS, Ybhg. Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid. Seluruh Anggota Kerja dan mahasiswa/i UnIPSAS tidak melepaskan peluang ini, turut hadir pelajar-pelajar KPTM, UMPSA, Akademi Tahfiz Al-Ameen Aspa Cottage, Madrasah Al-Muhammadi Bukit Rangin.
Majlis diiringi dengan alunan qasidah sebelum diteruskan dengan tazkirah duha. Ketibaan Ybhg. Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid disambut oleh Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Zawavi Bin Zainal Abidin dan pengurusan tertinggi UnIPSAS.
Program Ramah Mesra Mahasiswa dan Mahasiswi Sabah bersama Agensi Kerajaan Negeri Sabah
KUANTAN, 29 FEBRUARI 2024 – Buat julung kalinya Agensi Kerajaan Negeri Sabah memilih Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) untuk Program Ramah Mesra bersama mahasiswa-mahasiswi UnIPSAS yang berasal dari negeri Sabah.
Program ini melibatkan kehadiran hampir seratus orang mahasiswa/i di UnIPSAS yang berasal dari negeri Sabah. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan bantuan pendidikan seperti biasiswa, bantuan awal, bantuan komputer dan Persatuan Pelajar Sabah di UnIPSAS juga dapat pencerahan untuk memohon sumbangan dana dari Kerajaan Negeri Sabah. Program ini juga bertujuan menghargai mahasiswa/i dan memberi input mengenai inisiatif bantuan pendidikan.
Taklimat yang disampaikan oleh Agensi Kerajaan Sabah bermula dengan : i) Yang Dihormati Puan Zaidah Hussain, Pengurus Kanan Yayasan Sabah Cawangan Kuala Lumpur ii) Yang Dihormati Puan Jurianah binti Juti, Ketua Penolong Setiausaha, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas). iii) Wakil Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah iv) Dan Wakil Pengarah Bahagian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri.
Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin menzahirkan rasa syukur dan berterima masih kepada semua Agensi Kerajaan Negeri Sabah yang hadir dan persatuan pelajar Sabah di UnIPSAS. UnIPSAS merupakan Universiti Pertama Milik Kerajaan Negeri Pahang membuka peluang pengajian ke peringkat Asasi, Diploma, Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah kepada seluruh warganegara Malaysia.
Program Jelajah Cakna Undang – Undang Kesalahan Syariah 2024
KUANTAN, PAHANG – 22 Februari 2024, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah (BPPPS) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Fakulti Pengajian Syariah, UnIPSAS dan Institut Dakwah Islamiah Antarabangsa I-DIA, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah menganjurkan program Jelajah Cakna Undang – Undang Kesalahan Syariah 2024 bertempat di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS, Kuantan Pahang.
Dengan tema “Jauhi Amalan Khurafat, Banteras Ajaran Sesat” telah disertai seramai 400 orang peserta dari kalangan penjawat awam dan penuntut Institut Pengajian Tinggi dari sekitar daerah Kuantan. Dua orang pembentang yang terdiri daripada Yang Berbahagia Tuan Izzuddin bin Dato’ Haji Mutalib, Al-Fadhil Qadhi Daerah Jerantut dan Yang Berbahagia Tuan Muhamad Yusri bin Aman, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasa Undang – Undang Syariah JAIP, masing – masing telah mengupas isu akidah dan ajaran sesat.
Yang Berbahagia Dato’ Haji Zamani Ahmad bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM telah merasmikan program tersebut. Turut hadir dalam Majlis Perasmian Konvensyen ialah Y.H Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Naib Canselor UnIPSAS, Yang Berusaha Dr. Muhammad Fadlly bin Ismail, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik, Para Dekan Fakulti dan YBrs. Tuan Ahmad Husaini bin Mustafa, Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah, JAKIM.
Yang Berbahagia Dato’ Haji Zamani Ahmad bin Mansor, dalam ucapan perasmian, berharap agar kerjasama program seumpama ini dapat diperkukuhkan agar dapat memberi kefahaman sebenar kepada umum tentang kesalahan yang melibatkan undang – undang jenayah syariah seperti ajaran sesat. Para peserta juga diharapkan dapat memanfaatkan setiap ilmu dan maklumat yang diperolehi dari program tersebut serta bersedia menjadi “mata” dan “telinga” kepada pihak berkuasa bagi membendung isu – isu melibatkan kesalahan jenayah syariah.
Sumber : JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM) Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah
Amanat dan Pelepasan Kontijen UnIPSAS ke Sukan SUPTIM 2024
KUANTAN, 09 FEBRUARI 2024 – Majlis Amanat Naib Canselor UnIPSAS & Pelepasan Kontinjen UnIPSAS Ke Sukan Institusi Pengajian Tinggi Islam Malaysia 2024. Berlangsung pada 11 – 14 Februari 2024 UNISHAMS, Kuala Ketil, Kedah.
Berbekalkan semangat “KITA JUARA” pada kejohanan sukan sebelum ini (Dis 2023) YH Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin menyuntik semangat kepada atlet UnIPSAS untuk berjuang sehabis baik untuk memperoleh kemenangan bagi setiap acara sukan yang disertai.
UnIPSAS mempertaruhkan pasukan dalam 7 acara iaitu Bola Sepak, Futsal, Bola Jaring, Badminton, Ping Pong, Memanah Tradisional dan Catur dengan penglibatan seramai 66 org atlet & 10 pegawai pengiring.
Semoga pasukan dapat mempersembahkan prestasi terbaik dan beroleh kemenangan. Amin… Semoga Berjaya.
Program Kepimpinan Pelapis Negeri Pahang Modul Pengajian Agama
KUANTAN, 7 FEBRUARI 2024 – Pada 6 dan 7 Februari 2024 telah berlangsungnya Program Latihan Kepimpinan Kanan PELAPIS Negeri Pahang Modul Pengajian Agama anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Pusat Penjanaan Hasil, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah.
Program yang diadakan di Grand Darul Makmur Hotel, Kuantan ini dihadiri oleh barisan-barisan pegawai kanan dan majlis tertinggi kerajaan seramai 40 orang.
Modul Pengajian Agama mendedahkan para peserta mengenai topik – topik berkenaan tentang Kepimpinan Menurut Perspektif Maqasid al-Syariah, Zakat dan Wakaf.
Barisan panel terdiri daripada individu-individu yang pakar dalam bidang masing-masing antaranyaYBrs. Prof. Dr. Hassan Bin Ahmad selaku professor Pusat Sains dan Kemanusiaan UMPSA, YH Dato’ Haji Halidan Bin Md Daud selaku Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, dan Tuan Haji Che Samsol Bin Ibrahim selaku Timbalan Pengurus Besar Zakat Pahang.
Program Mahir Jawi SMA Al-Khairiah Temerloh
TEMERLOH, 31 JANUARI 2024 – Institut Jawi UnIPSAS telah dijemput oleh SMA Al-Khairiah, Temerloh untuk menyampaikan perkongsian kepada pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 3 dalam program dinamakan Program Mahir Jawi. Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 30 dan 31 Januari 2024 baru-baru ini. Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan besar di dua dewan yang berbeza melibatkan pelajar tingkatan 1 seramai 225 orang dan pelajar tingkatan 3 seramai 170 orang.
Ustaz Ainuddin Kamaruddin dan Ustazah Seriayuna Sa’don Zubir dari Institut Jawi UnIPSAS hadir menyampaikan perkongsian pada hari pertama manakala Ustazah Nurizan Baharum dan Ustazah Siti Nora’aeshah Zakaria hadir pada hari kedua. Para peserta telah didedahkan dengan kemahiran menulis dan menyambung huruf dalam tulisan Jawi, mengenal padanan huruf Rumi-Jawi dan beberapa kaedah asas dalam ejaan Jawi terkini.
Rata-rata peserta merasa teruja dan seronok melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan sepanjang program dua hari ini termasuklah latihan menyambung huruf, kuiz mengeja Jawi secara individu, menulis Jawi di papan putih dan pertandingan antara kumpulan-kumpulan kecil.
Program Kepimpinan Pelapis Negeri Pahang Modul Critical Thinking
KUALA LUMPUR – 11 JANUARI 2024, Pada 9 hingga 11 Januari untuk fasa 1 dan 23 hingga 24 Januari 2024 untuk fasa 2 telah berlangsungnya Program Latihan Kepimpinan Kanan PELAPIS Negeri Pahang yang anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Pusat Penjanaan Hasil, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah.
Program yang diadakan di Tamu Hotel And Suites, Kuala Lumpur ini dihadiri oleh barisan-barisan pegawai kanan dan majlis tertinggi kerajaan seramai 40 orang.
Modul Critical Thinking ini mendedahkan para peserta mengenai topik – topik berkaitan Introduction To Thinking, Thinking Styles And Tools, Creativity, Critical Thinking dan akhir sekali Proble Solving.
Barisan panel terdiri daripada individu-individu yang pakar dalam bidang masing-masing antaranyaProf. Dr. Jelani Sulaiman selaku Dekan Fakulti Pengajian Bahasa dan Asasi UNIPSAS, YBhg Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman selaku Presiden Malaysia Rail Industry Corporation, Encik Mohd Faroq Ibrahim selaku Chief Operating Officer Widad University College, Encik Mohd Shakran bin Shamsudin selaku Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Perak, YBhg Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Bin Mohd Zain selaku Naib Canselor UCYP dan akhir sekali Encik Rashid bin Sibir selaku Pengarah Urusan Opera Klasik Sdn Bhd .
Majlis APC UnIPSAS 2021-2022
KUANTAN, 04 JANUARI 2024 – YB. Dato’ Sri Haji Zulkifli Bin Haji Yaakob, Setiausaha Kerajaan Pahang telah hadir ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Kesetiaan UnIPSAS bagi Tahun 2021 dan 2022.
Seramai 43 orang penerima Anugerah Perkhidmatan cemerlang, 45 orang Penerima Anugerah Kesetiaan dan 16 Penerima Anugerah Khas Naib Canselor.
Majlis yang diadakan setiap tahun ini merupakan suatu bentuk pengiktirafan dan penganugerahan atas prestasi yang cemerlang sepanjang tahun 2021 dan 2022 serta tanda penghargaan ikhlas atas segala khidmat bakti yang dicurahkan selama berkhidmat di UnIPSAS bumi barakah.
Anugerah Penyelidikan dan Inovasi UnIPSAS 2023
KUANTAN, 02 JANUARI 2024 – Tahun 2023 telah melabuhkan tirainya, Kejayaan demi kejayaan telah terukir khususnya kepada UnIPSAS. Sekalung Penghargaan diucapkan kepada penerima Anugerah Penyelidikan dan Inovasi UnIPSAS sepanjang tahun 2023 antaranya:
Anugerah Kecemerlangan Geran Universiti kepada Fakulti Pengajian Islam, Anugerah Kecemerlangan Inovasi kepada Fakulti Pengajian Bahasa & Asasi, Anugerah Khas Geran Penyelidikan FRGS kepada Puan Siti Nur Marsitah & Dr. Safiah Abdul Razak, Anugerah Kecemerlangan Geran Kontrak kepada Fakulti Syariah.
Pingat Perak Penang International Invention Innovation and Design (PIID) 2023 kepada Dr. Hasiah Mat Salleh, Pingat Perak Invention, Innovation & Entrepreneurship Idea Exhibition (IIEE 2023) kepada Kumpulan Produk Inovasi Braille Odyssey: Alat Bantu Mengajar Flash Card Kod Braille, Pingat Perak International University Carnival On E-Learning 2023 (IUCEL2023) kepada Kumpulan Produk Inovasi Development of Jawi Game on Mobile As aLearning Approach
Sesi Penyerahan Sijil Penghargaan diserahkan kepada penerima, ketika Majlis Amanat Naib Canselor UnIPSAS Tahun 2024.
UnIPSAS Rangkul Platinum Anugerah APEC Pahang 1st 2023
KUANTAN, 15 DISEMBER 2023 – UnIPSAS telah menerima Anugerah Platinum bagi kategori Anugerah Pentadbiran Cemerlang (APEC) dalam Majlis Anugerah Pahang 1st yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang. Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan negeri dalam kecemerlangan tadbir urus institusi dan agensi di negeri Pahang.
Sejumlah 89 penyertaan diterima untuk pencalonan Anugerah Pahang 1st 2023. Sebanyak 41 agensi yang telah menyertai pencalonan Anugerah Pentadbiran Cemerlang (Apec) Pahang 1st 2023. Daripada jumlah tersebut 7 agensi yang mendapat anugerah tertinggi kategori iaitu PLATINUM termasuk UnIPSAS.
Naib Canselor UnIPSAS, YH Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) di atas komitmen, usaha dan budaya kerja cemerlang yang telah ditonjolkan. Beliau juga menyeru agar semua AKU bersama-sama meneruskan budaya kerja berkualiti dan berintegriti serta sentiasa memperbaiki kelemahan.
Semoga UnIPSAS terus melakar kejayaan sebagai Institusi Pengajian Tinggi Swasta berteraskan Islam tersohor di negeri ini.