Khidmat Masyarakat Di Kampung Orang Asli

10 Februari 2019 (KUANTAN) – KUIPSAS telah menganjurkan Program Kokurikulum Khidmat Masyarakat bertempat di Kampung Orang Asli Sungai Soi, Kuantan selama 3 hari dan berakhir pada hari ini.

Program adalah anjuran bersama PERKIM KUIPSAS, MUIP, JAKIM, MRA, Bomba dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan dan disertai seramai 45 orang pelajar KUIPSAS sebagai memenuhi salah satu Subjek Wajib Kolej selain memberikan pendedahan kepada para pelajar untuk lebih mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.

Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program 3 hari ini ialah gotong-royong, ziarah mahabbah, tahsin ibadah, sukaneka kanak-kanak dan dewasa serta pertandingan mewarna.

Majlis penutup program ini dirasmikan oleh Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan KUIPSAS, Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pendidikan kepada generasi masa kini khususnya dalam mendepani cabaran arus globalisasi. Beliau turut menggalakkan agar program sebegini diteruskan oleh para pelajar sebagai melatih kemahiran komunikasi dan kepimpinan serta semangat berpasukan.

Pengarah Program, Saudara Muhd Alif Syafiq bin Mohamed Ismail pula dalam ucapannya menyatakan penghargaan yg tidak terhingga kepada semua penduduk kampung yang terlibat kerana telah memberikan kerjasama yang baik dan sama-sama memeriahkan program ini.

KUIPSAS @ Darul Quran JAKIM

31 Januari 2019 (KUALA KUBU BHARU) – KUIPSAS telah dijemput untuk menghadiri program Hari Huffaz Selangkah Ke Menara Gading 2019 yang telah dianjurkan oleh Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada hari ini. Seramai 500 orang pelajar peringkat diploma Darul Quran yang sedang berada di Semester 6 telah hadir ke program ini. Turut hadir pelajar-pelajar Maahad Tahfiz dari negeri-negeri yang turut mengambil program diploma Darul Quran JAKIM.

Ramai pelajar yang menunjukkan minat untuk menyambung pengajian peringkat ijazah di KUIPSAS. Selain kaunter informasi KUIPSAS dibuka sempena program ini, taklimat peluang menyambung pengajian ke KUIPSAS turut disampaikan oleh Penolong Pendaftar Perhubungan Korporat KUIPSAS dalam program ini.

Warga KUIPSAS Memuliakan Keberangkatan Al-Sultan Abdullah

31 Januari 2019 (KUANTAN) – Warga KUIPSAS turut mengambil peluang untuk menghadiri Istiadat Memuliakan Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah ke Kuala Lumpur sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Warga KUIPSAS berada di Jalan Bypass berdekatan Bukit Rangin dan di Pangkalan TUDM Kuantan seawal jam 6.30 pagi bersama-sama sekalian rakyat negeri Pahang yang turut hadir memuliakan keberangkatan Tuanku berdua.

 

 

Malam Sanjungan Budi Raikan Mantan Pengerusi SPIPSB

25 Januari 2019 (KUANTAN) – KUIPSAS mengadakan Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih pada hari ini bagi meraikan persaraan YH. Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, mantan Pengerusi Lembaga Pengarah, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB). SPIPSB merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang yang menjadi pemilik penuh KUIPSAS.

Dato’ Sri Muhammad Safian yang berkhidmat sebagai Pengerusi SPIPSB bermula Oktober 2007 hingga Januari 2019 telah terlibat secara langsung dalam menetapkan hala tuju KUIPSAS dari segi pengembangan program pengajian, kelestarian kewangan peningkatan imej positif KUIPSAS dalam kalangan masyarakat.

Dalam majlis yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur itu, Rektor KUIPSAS, YH. Dato’ Haji Yahya bin Zainal Abidin dalam ucapannya telah mengucapkan penghargaan atas segala jasa bakti yang telah dicurahkan oleh Dato’ Sri Muhammad Safian semasa menerajui SPIPSB. Majlis yang berlangsung selama 2 jam itu turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid dan deklamasi sajak yang disampaikan oleh pensyarah dan kakitangan KUIPSAS.

FTMK Murnikan Kurikulum Diploma

25 Januari 2019 (KUANTAN) – Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) KUIPSAS selesai mengadakan Bengkel Pemurnian Kurikulum Diploma Teknologi Maklumat dan Rangkaian selama dua hari dan berakhir pada hari ini. Bengkel diadakan bertujuan untuk menyemak secara terperinci dokumen diploma ini sekaligus mengemaskinikannya berdasarkan perkembangan semasa serta mematuhi Standard Program yang telah ditetapkan oleh Malaysian Qualification Agency (MQA).

Bengkel pemurnian ini dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Mohamad Fadli Zolkipli, Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar, Fakulti Sains Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang juga merupakan Panel Akademik kepada program diploma ini.

Perjumpaan Pengerusi SPIPSB Bersama Warga KUIPSAS

17 Januari 2019 (KUANTAN) – Selepas dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang yang baharu, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak telah menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga KUIPSAS pada hari ini. Sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB), anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang yang memiliki KUIPSAS.

Dalam perjumpaan yang diadakan di Auditorium KUIPSAS ini, beliau telah menyampaikan beberapa pesanan penting. Antara lain beliau menyatakan bahawa pengetahuan pada masa kini merupakan komoditi yang penting tetapi ianya mesti kekal relevan dalam masyarakat. Di samping itu, transformasi dalam negara mestilah berteraskan ilmu pengetahuan yang berkelas dunia. Sehubungan dengan itu, beliau menggesa warga KUIPSAS supaya terus menuntut ilmu dan jangan berhenti belajar.

Terdahulu sebelum itu, YB. Dato’ Sri Dr. telah mengadakan pertemuan bersama Pengurusan Tertinggi KUIPSAS di Bilik Mesyuarat Utama bagi mendapatkan penerangan mengenai perkembangan terkini KUIPSAS.

Lawatan Akademik Kolej Wasatiah Yaman

 

 

 

 

 

 

 

 

14 Januari 2019 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini menerima Lawatan Akademik dari Kolej Wasatiah, Hadramaut, Yaman yang dihadiri oleh Ybhg. Sheikh Muhamad Ba Hamyish (Penolong Pengarah Kuliah Islamiah) dan Dr Omar Ali Saeed Bargoth. Lawatan selama satu jam itu merupakan sebahagian daripada Lawatan Akademik yang disusun ke beberapa institusi Pendidikan Islam di negeri Pahang.

 

ms_MYMalay