UnIPSAS menjalin kerjasama dengan enam institusi pendidikan tinggi dari Maldives dan Indonesia

MALE, 25 MEI 2024 – UnIPSAS melebarkan kolaborasi bersama enam institusi pendidikan tinggi dari Maldives dan Indonesia melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama di bawah jaringan kerjasama strategik Asian Islamic Universities Associations (AIUA) yang bermesyuarat di sini hari ini.

Kolaborasi ini antara lain mempromosikan kerjasama akademik, penyelidikan dan pertukaran pelajar di antara institusi yang terlibat. Institusi yang terlibat ialah Islamic University of Maldives, UIN Mahmud Yunus Batusangkar (Sumatra), UIN Antasari Banjarmasin (Kalimantan), UIN Prof. K.H. Saifuddin Zuhri (SAIZU) Purwokerto (Jawa Tengah), IAIN Kudus (Jawa Tengah) dan IAIN Kendari (Sulawesi).

Mesyuarat AIUA ini juga diserikan Seminar Antarabangsa Universiti Islam Asian yang dianjurkan oleh Islamic University of Maldives, dan telah dirasmikan oleh Ahmed Shiyam, Menteri Perikanan dan Sumber Laut Maldives.

Di dalam seminar yang bertemakan “Inclusive Higher Education Practices in Asia: Challenges and Possibilities”, Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Enhancing Accessibility To The Quran For The Visually Impaired Community In Pahang: An Experience Sharing By The Pahang State Government”.

Majlis Khatam Sahih Bukhari Perdana dan Pelancaran Kurikulum Wajib Maahad Tahfiz, Madasah dan Pondok Negeri Pahang.

KUANTAN, 15 MEI 2024 – Majlis disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigadier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Penganjuran ICCEIW Tangani Persepsi Negatif Terhadap Islam

KUANTAN, 7 MEI 2024Penganjuran International Conference On Contemporary Education In The Islamic World (ICCEIW) yang menghimpunkan wakil negara-negara Islam dilihat mampu menjadi medium kepada usaha menangani isu islamofobia yang semakin membimbangkan.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, semua pihak khususnya umat Islam perlu mengemukakan idea serta kaedah untuk mengubah persepsi negatif tersebut kepada ciri-ciri Islam sebenar.
 
Titah baginda, umat Islam juga perlu menolak kepada keganasan termasuk menyuarakan bantahan serta menghindari sebarang ideologi yang bertentangan dengan ajaran sebenar agama Islam.
 
“Persidangan seperti ini perlu mendapat cari ilham cari panduan cari wahyu supaya kita dapat bangkit dengan satu rumusan supaya kita boleh perjuangkan apa sebenar perwatakan corak Islam akan datang kita tidak harus menyokong mana-mana keganasan khususnya keganasan daripada orang Islam itu sendiri,” titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
 
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian penutup Conference On Contemporary Education In The Islamic World (ICCEIW), di sini.
 
Persidangan tersebut melibatkan organisasi peringkat antarabangsa yang disertai 300 peserta antarabangsa dengan kerjasama UnIPSAS, Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Kesatuan Universiti-universiti Islam Sedunia (Rabitah al-Jamiat al-Islamiyyah).
 
Persidangan itu dilaksanakan bertujuan menyediakan satu dimensi baru perbincangan dalam bidang-bidang ilmu terutama bidang pendidikan.
 
Gabungan dari 22 buah negara itu juga bertujuan untuk memajukan dan memperkembangkan lagi pendidikan Islam di negeri ini selain memberi kesan positif kepada usaha-usaha pembangunan Islam dan akademik ummah.

Sumber : Berita RTM, Kemas kini: 07 Mei 2024 05:17 PM

Lawatan Kerjaya & Kebolehpasaran Pelajar Lepasan SPM 2023 Daerah Maran Ke UnIPSAS

KUANTAN, 29 APRIL 2024 – Seramai 37 orang pelajar lepasan SPM 2023 dari 4 buah sekolah daerah Maran telah berkunjung ke UnIPSAS. Sekolah yang terlibat adalah SMK (LKTP) Jengka 16, SMK Jengka Pusat 2, SMK Desa Jaya dan SMK Jengka 10.

Turut hadir Pengetua SMK Jengka 16, En. Sharil Aznan bin Mansor, Pengetua SMK Desa Jaya, En.Yaakop bin Haji Chelon, Pengetua SMK Jengka 10, Tuan Haji Adnan bin Othman, dan Guru Bimbingan Kaunseling Sekolah Menengah (GBKSM), Puan Norhayati bt Hasan, Puan Syuhada Adyani bt Mohd Syarif, Pn. Siti Muzaiyanah bt Kasdan, Puan Norhayani Binti Hasan dan Cik Nurulazwa bt Mohd Yusof.

Ketibaan Pengetua disambut oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UnIPSAS, YBrs. Dr. Norahida binti Mohamed, Penolong Pendaftar Perhubungan Korporat, En. Mohd Sakeri bin Mohd Yunos serta warga Jabatan Perhubungan Korporat UnIPSAS.

Sesi penerangan telah dikendalikan oleh Pendaftar UnIPSAS iaitu YBrs. Dr. Muhammad Hafiz Bin Dato’ Haji Yaakob. Semua pelawat telah diberikan pendedahan tentang program pengajian yang ditawarkan oleh UnIPSAS secara umum dan peluang serta keistimewaan yang akan pelajar peroleh apabila menyambung pengajian di UnIPSAS.

Taklimat dan sesi soal jawab amat memberangsangkan daripada para guru serta pelajar. Selesai sesi taklimat pelajar telah dibawa untuk sesi lawatan ke Makmal Kaunseling dan Makmal Komputer UnIPSAS.

Objektif utama lawatan ini adalah untuk memahami dan mendalami pengetahuan mengenai sesuatu kursus yang ditawarkan oleh Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS). Selain itu juga dapat mengumpul maklumat dan memberi pendedahan berkaitan kehidupan sebagai pelajar di institusi pengajian tinggi.

Di kesempatan ini juga, pihak UnIPSAS dan 4 sekolah dari daerah Maran menandatangani “Letter Of Coorperation” (LOC).

UnIPSAS mendoakan agar kesemua pelajar mendapat keputusan SPM dengan cemerlang.

Pahang Peruntuk RM1.2 Juta Beli Al-Quran Braille

KUANTAN, 25 april 2024 – Kerajaan Pahang memperuntukkan RM1.2 juta bagi pembelian al-Quran braille untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan di negeri ini membaca al-Quran. Peruntukan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lalu itu juga bagi membiayai penganjuran latihan yang bersesuaian termasuk kepada tenaga pengajar kelas pengajian al-Quran braille di Pahang.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Sabariah Saidan berkata, program itu dijalankan dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS). Menurutnya, inisiatif itu antara usaha kerajaan negeri dalam menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan OKU penglihatan di negeri ini.

“Ia juga membuktikan isu berkaitan OKU penglihatan beragama Islam di negeri ini dalam mempelajari ilmu agama dan al-Quran sentiasa diberi perhatian.

“UnIPSAS juga telah mengorak langkah ke hadapan dengan menyediakan kepakaran, modul dan penyelidikan berkaitan dengan OKU. “Hal ini menunjukkan universiti sentiasa bersedia untuk meningkatkan penguasaan ilmu dalam kalangan OKU dan membuktikan kekurangan bukan menjadi halangan kepada golongan tersebut untuk berjaya dalam akademik dan sahsiah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Projek Celik Al-Quran Bagi OKU Penglihatan Peringkat Negeri Pahang di sini pada Khamis.

Turut hadir, Naib Canselor UniPSAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad.

Sabariah berkata, antara objektif penganjuran program itu adalah untuk menggalakkan perkembangan kelas pengajian al-Quran braille di Pahang untuk golongan OKU penglihatan. “Selain menyediakan al-Quran braille, usaha menambah baik kemudahan di Kelas Pengajian Al-Quran Braille di Temerloh juga akan dilaksanakan untuk keselesaan kepada pelajar.

“Selain menyediakan fasiliti terbaik, usaha untuk menambah bilangan tenaga pengajar juga akan ditingkatkan memandangkan hanya seorang yang ada ketika ini,” katanya. Berdasarkan rekod JKM, terdapat 41,898 OKU berdaftar di Pahang dan 3,737 daripadanya adalah OKU penglihatan.

Kredit : Sinar Harian
25 April 2024 03:09pm
NIK AMIRULMUMIN NIK MIN

World Quran Hour

KUANTAN, 04 APRIL 2024 – Bersempena dengan Bulan Ramadan kali ini, mari kita bersama-sama menyambut World Quran Hour yang akan diadakan di Masjid Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS). Program telah diadakan pada 24 Ramadan 1445H bersamaan 4 April 2024, jam 12 hingga 1 petang secara serentak di seluruh Negara.

Dengan bertemakan “Kesatuan dan Transformasi Sosial”, World Quran Hour tahun ini membawa misi Surah Al-Jumu’ah untuk kita berkumpul dan berinteraksi bersama al-Quran dengan membaca, mendalami maksud serta bertadabbur dengan Surah Al-Jumu’ah.

Surah Al-Jumu’ah dianggap sebagai misi penting dalam ‘reset’ pada semua peringkat masyarakat, termasuk Ummah, Umara’, dan Ulama, dengan tujuan mencapai kesatuan, transformasi sosial, dan peningkatan berterusan. Justeru, misi membaca dan mendengarkan Surah Al-Jumu’ah bertujuan menyokong usaha untuk meningkatkan penghayatan Al-Quran dalam kalangan masyarakat.

LIVE : https://www.facebook.com/Pahanglibrary/videos/723271919970623

UnIPSAS Terima Sumbangan Wakalah Zakat Lebih Rm1 Juta

KUANTAN, 28 MAC 2024 – Lebih RM1 juta kutipan wakalah zakat berjaya dikumpul Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) hasil sumbangan kira-kira 30 agensi di negeri ini.

Naib Canselor UnIPSAS, Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, dianggarkan seramai 190 pelajar bakal menerima sumbangan zakat itu antara RM200 ke RM1,000 bergantung kelayakan.

“UnIPSAS percaya melalui sumbangan wakalah zakat itu dapat meringankan beban pelajar sekali gus menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan lebih baik daripada sebelum ini.

“Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana UnIPSAS mendapat perhatian kerajaan negeri terutama Tuanku Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan universiti.

“Baginda dan kerajaan negeri sentiasa memberikan galakan kepada agensi-agensi di negeri ini untuk menyumbang ke arah memastikan hala tuju UnIPSAS termasuk dalam usaha meringankan beban pelajar-pelajar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wakalah Zakat dan sambutan Nuzul Al-Quran peringkat UnIPSAS di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Zawavi berkata, dalam menentukan penerima, unit Hal Ehwal Pelajar bertanggungjawab sepenuhnya memilih pelajar-pelajar asnaf tersebut.

“Pihak universiti adakan temuduga, maknanya tapisan kita buat sangat teliti bagi memastikan tidak ada yang mengambil dua kali. Kita juga nak pastikan penerima yang benar-benar layak dan mereka memerlukan tidak terlepas pandang daripada menerima agihan zakat tersebut.

“Justeru itu, saya memberi jaminan kepada semua terutama ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sini, bahawa anak-anak pelajar asnaf di UnIPSAS tidak akan susah mahupun lapar kerana yang layak pasti menerima sumbangan,” katanya. – UTUSAN

Khatam Al-Quran Peringkat UnIPSAS

27 MAC 2024 (KUANTAN) – Pusat Islam Masjid UnIPSAS hari ini menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran bagi menyemarakkan lagi 10 Akhir Ramadan dengan amalan membaca Al-Quran. Program yang diadakan di perkarangan dewan solat Masjid UnIPSAS bermula jam 4.45 petang. Turut disertai oleh pensyarah-pensyarah UnIPSAS, kakitangan sokongan serta pelajar-pelajar UnIPSAS.

Majlis ini diadakan sebagai penutup kepada aktiviti Tadarus Al-Quran yang disertai oleh pensyarah dan kakitangan UnIPSAS pada setiap pagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Majlis Khatam Al-Quran ini telah dipimpin oleh Imam Masjid KUIPSAS iaitu Ustaz Mohd Khairi. Majlis turut dihadiri oleh Naib Canselor, Timbalan-Timbalan Canselor, Pendaftar dan Dekan-Dekan Fakulti.

Program Memasak Bubur Lambuk Peringkat UnIPSAS 2024

KUANTAN, 19 MAC 2024 – Sempena kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini, UnIPSAS mengadakan Program Memasak Bubur Lambuk Peringkat UnIPSAS yang bermula pada jam 8 pagi di perkarangan Masjid UnIPSAS.

Terdahulu pegawai dan kakitangan UnIPSAS telah bergotong-royong memasak bubur lambuk sebelum mengagihkan kepada komuniti. Naib Canselor UnIPSAS, YH Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin turut hadir membantu dalam proses penyediaan bubur lambuk tersebut.

Agihan bubur lambuk dibuat bermula selepas solat Fardhu Asar di Padang Majlis Bandaraya Kuantan dan di perkarangan Masjid UnIPSAS. Pengagihan yang dilakukan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UnIPSAS telah berjaya mengedar 1,500 pek bubur lambuk kepada komuniti sekitar.

Program ini merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial terhadap komuniti dan masyarakat khususnya bagi membuka ruang untuk mewujudkan kesedaran sosial terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Semoga bulan Ramadan ini membawa keberkatan buat semua yang terlibat di dalam program ini.

#UnIPSAS#Pahang1st#Ramadan2024#Ramadan1445H#BuburLambukUnIPSAS#BersamaKitaBersama#masjidnegeri#weloveunipsas

Majlis Pelancaran Menu Rahmah Ramadan

KUANTAN, 12 MAC 2024, (Selasa) – Majlis Pelancaran Menu Rahmah Ramadan yang telah disempurnakan oleh Dato Naib Canselor UnIPSAS, YH Prof Madya Dato Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, diiringi oleh Pengurusan Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif UnIPSAS Holding serta Majlis Perwakilan Pelajar UnIPSAS.

Penyerahan Bunting Menu Rahmah kepada peniaga merupakan simbolik kepada kesejahteraan dan perpaduan sosial yang mewakili nilai-nilai kebaikan, kasih sayang dan saling menjaga di kalangan komuniti universiti.

Para peniaga di Kafe Pelajar UnIPSAS menjadi antara kumpulan yang menyediakan set Menu Rahmah kepada seluruh mahasiswa/i UnIPSAS. Antara menu cadangan yang ditawarkan ialah set nasi beserta minuman seperti Nasi Ayam Penyet, Nasi Ayam Berempah, Nasi Tomato dan pelbagai lagi menu rahmah pada harga yang amat berpatutan.

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pelancaran ini. Mari bersama-sama kita jadikan Menu Rahmah sebagai pilihan utama di setiap sudut universiti kita.

#UnIPSAS#IslamicUniversity#MenuRahmah#UniLife#Pahang1st

ms_MYMalay