Program Lawatan Berinformasi Sekolah Menengah IMTIAZ
KUANTAN, 22 Ogos 2024 – Seramai 26 orang guru dan 14 orang pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah IMTIAZ telah menyertai kunjungan berinformasi ke UnIPSAS.
Objektif lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan yang mendalam tentang peluang pengajian dan aktiviti ko-kurikulum yang boleh disertai oleh para pelajar di universiti kami.
Sesi taklimat akademik telah dikendalikan oleh TNCA UnIPSAS dan wakil pensyarah iaitu YBrs. Dr. Muhammad Fadlly bin Ismail dan Ustaz Muhammad Assyifaa Ulhayat bin Jahidin. Guru-guru dan para pelajar didedahkan mengenai program pengajian yang ditawarkan oleh UnIPSAS dan keistimewaan yang bakal pelajar perolehi apabila menyambung pengajian di UnIPSAS.
Melalui program ini, kami berharap dapat membimbing dan memotivasi pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan serta memegang teguh nilai-nilai Islam.
Wacana Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia
KUANTAN, 6 Ogos 2024 – Wacana Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia bermula seawal pagi jam 9.00 pagi di Auditorim Canselor UnIPSAS. Bersama 2 ahli panel yang dijemput khas iaitu, Ahli Panel 1 : Dr. Hasiah binti Mat Salleh, Pengerusi Peguam Syarie Cawangan Pahang merangkap Pensyarah Kanan UnIPSAS “Tajuk : Hala Tuju dan Cabaran Mahkamah Syariah” Ahli Panel 2 : Dr. Zulqarnain Lukman, Peguambela dan Peguamcara Tetuan Asri Musa & Co “Tajuk : Mahkamah Syariah di Bawah Perlembagaan Persekutuan.
Majlis dirasmikan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. Kata beliau, “Sebenarnya mahkamah syariah sememangnya salah satu intitusi Islam Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa diberi perhatian serius. Kerajaan Negeri Pahang juga telah berjaya menaik taraf pejabat dan pengurusan ini”.
Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Pahang, YH. Dato’ Abdul Walid Abu Hassan dan Naib Censelor UniPSAS, YH. Professor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Seramai kira-kira 300 peserta telah menyertai seminar anjuran bersama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Persatuan Peguam Syarie Malaysia, dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Kredit | Jurufoto : Ilham FMI
UnIPSAS dan MUIP Menjayakan Pertandingan Penulisan Artikel Adat Resam dan Kebudayaan Melayu Pahang
PEKAN, 5 Ogos 2024 – Buat julung kalinya Pertandingan Penulisan Artikel Adat Resam dan Kebudayaan Melayu Pahang telah diadakan dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (UNIPSAS).
Pertandingan ini bertujuan untuk memartabatkan adat resam Melayu Pahang, memperkasakan ilmu pengetahuan berkenaan adat resam dalam kalangan masyarakat, dan memberi galakan kepada masyarakat dalam penulisan ilmiah berkenaan adat resam Melayu Pahang. Selain daripada itu, ia bertujuan untuk mendapatkan hasil karya ilmiah yang bermutu untuk pengumpulan dan penerbitan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.
Pertandingan Penulisan tersebut telah selesai diadakan pada 13 – 30 November tahun lalu dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah.
Sebanyak 72 artikel telah di terima yang terdiri daripada pelbagai kategori latar belakang dari seluruh Malaysia dan penghantaran artikel adalah menerusi platform google form yang disediakan penganjur.
Johan pertandingan ini dimenangi oleh Nur Alia Shamsul Bahri dengan tajuk penulisannya ‘Merentasi Budaya Dan Permodenan Pengaruh Adat Dan Kepercayaan Dalam Pembuatan Perahu Di Pahang’, dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu dengan membawa pulang RM3,000.00 beserta sijil. Bagi tempat kedua pula dimenangi oleh Norulbaya Abdul Rahman dengan tajuk ‘Gastronomi Sungai Pahang’, dari YaPEIM Pekan. Beliau membawa pulang RM2,000.00 beserta sijil, manakala tempat ketiga dengan hadiah bernilai RM1,000.00 beserta sijil dimenangi oleh Ainuddin Bin Kamaruddin, dengan tajuk penulisannya ‘Gula Kabung: Kepentingannya Dalam Warisan Kulinari Tradisi Pahang’, dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) Pahang.
Bagi hadiah saguhati, seramai 7 orang pemenang telah dipilih oleh barisan juri iaitu Muhamad Faris Amzar bin Mohd Fadzli, Norazilawati binti Abd Wahab, Shah Izzat bin A Razak, Mohd Farid bin Abd. Halim, Mohamed Yusuf Ahmad bin Adam Broughton, Nur Ainina Mardhiah binti Sariman dan Sharizainor Sharina binti Mohamed Shariff. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM 500.00 beserta sijil.
Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain diiringi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan & Dasar) En. Khairuddin bin Ismail.
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Pihak MUIP juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyertai pertandingan ini. Sebagai tanda penghargaan, semua peserta akan menerima sijil penyertaan yang akan dihantar ke alamat masing-masing.
Semoga dengan adanya pertandingan sebegini, ia dapat menarik minat dan memupuk rasa cinta dalam kalangan masyarakat terhadap warisan adat resam Melayu dan budaya demi memastikan ia tidak hilang di telan zaman.
UnIPSAS Terima Pegawai Penyelidik dari Universiti Al-Azhar Mesir
KUANTAN, 2 Ogos 2024 – Universiti Al- Azhar Mesir telah menempatkan 3 orang Pegawai Penyelidik yang berpengalaman di Negeri Pahang, salah seorangnya di bumi barakah UnIPSAS dan 2 orang lagi ditempatkan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM, dan di Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Penempatan Pegawai Penyelidik ini adalah bagi bertujuan meningkatkan lagi tahap kecemerlangan penyelidikan agama di Negeri Pahang ini.
“Ini adalah satu penghormatan dari kerajaan Mesir kepada Malaysia khasnya Negeri Pahang dan kami mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada Imam Akbar Sheikh al-Azhar, Prof. Dr. Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayeb yang sudi membantu kita, bagi menempatkan Pegawai Penyelidikan tersebut.
Tawaran daripada universiti tersohor di dunia itu menunjukkan hubungan dan kerjasama yang baik antara Malaysia – khususnya Pahang dan Mesir. Dengan tambahan bantuan daripada Pegawai Penyelidik yang cukup berpengalaman ini, semoga akan memberikan impak yang besar dalam memperkukuhkan lagi kajian berkaitan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.
Siswa UnIPSAS Terima Bantuan Prihatin Pahang
KUANTAN, 29 Julai 2024 – UnIPSAS telah terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kluster siswa pada 29 Julai 2024, bertempat di Dewan Sultan Ahmad Shah (DSAS). Seramai 800 pelajar UnIPSAS anak-anak Pahang akan menerima bantuan tunai RM400 seorang.
Bantuan berkenaan akan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, SSAP., DIMP., AMP., AMN.EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang (Wakil Kerajaan Negeri pahang) dan kehadiran tetamu VIP jemputan.
Beliau berkata, sebenarnya YAB Dato Sri Utama Wan Rosdy bin Wan Ismail telah mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang Kluster Siswa 2024 di Dewan Negeri lalu ketika pembentangan budjet. Berdasarkan bilangan anak Pahang di IPTA sebenar adalah 39,844 orang. Namun yang memohon dan dipertimbang seramai 17,942 orang. Manakala di IPTS berdaftar di Kerajaan Negeri seramai 1,583 orang penerima. Jumlah keseluruhan Anak-anak pelajar Pahang terima bantuan adalah siswa 19,525 orang terdapat permohonan rayuan seramai 4,336.
Semoga Anak-anak Pahang terus berjaya cemerlang dan mampu berbakti sempurna bersama Kerajaan Negeri untuk Pahang Darul Makmur.
Sambutan Minggu Penyelidikan dan Inovasi UnIPSAS 2024 Meriah
KUANTAN, 19 Julai 2024 – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah menganjurkan 𝐌𝐢𝐧𝐠𝐠𝐮 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐈𝐧𝐨𝐯𝐚𝐬𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟒 (𝐌𝐏𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟒) buat julung kalinya pada 16-18 Julai bertempat di Dewan Sultan Ahmad Shah, UnIPSAS.
Bertemakan 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐁𝐞𝐫𝐢𝐦𝐩𝐚𝐤 𝐏𝐞𝐦𝐚𝐜𝐮 𝐓𝐫𝐚𝐧𝐬𝐟𝐨𝐫𝐦𝐚𝐬𝐢 𝐔𝐦𝐦𝐚𝐡, objektif utama penganjuran program ini adalah bertujuan untuk memupuk budaya kecemerlangan dalam penyelidikan, penerbitan dan inovasi dalam kalangan penyelidik, pensyarah, guru, pelajar serta keterlibatan dengan komuniti yang lebih luas.
Pertandingan inovasi dan reka cipta yang dijalankan melibatkan penyertaan dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan sekolah di seluruh Malaysia. Aktiviti lain yang turut berlangsung sepanjang program ini ialah pertandingan poster penyelidikan, pelancaran buku, pelancaran AI Station, bengkel asas tulisan khat, pameran dan wacana ilmu, forum cabaran pengajian peringkat pascasiswazah, bicara intelektual, klinik guaman syarie dan harmony centre.
Majlis Penutup Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2024 telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang. Beliau memberikan sokongan dan galakan terhadap penganjuran program ini yang menjadi landasan kepada para penyelidik dan 𝘪𝘯𝘯𝘰𝘷𝘢𝘵𝘰𝘳 untuk mempamerkan pencapaian masing-masing serta belajar daripada satu sama lain. Beliau juga menyeru semua pihak untuk membudayakan semangat penyelidikan dan inovasi agar dapat membina masa depan yang lebih baik dan memberi manfaat kepada negara dan masyarakat khususnya untuk umat Islam itu sendiri.
Dalam majlis yang sama, Naib Canselor, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Profesor Dato’ Dr Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin sempat berkongsi bersama hadirin mengenai kepentingan pendidikan dalam memperkasakan identiti bangsa Melayu melalui Bicara Intelektual: Kelangsungan Pendidikan Bangsa Melayu.
Dr. Nur Yani binti Che Hussin selaku pengarah program menyatakan hasrat beliau, “Besarlah harapan saya agar Minggu Penyelidikan dan Inovasi akan dijadikan progam tahunan dan pada masa akan datang, saya berharap aktiviti-aktiviti dan program yang dijalankan dapat menarik penyertaan di peringkat antarabangsa.”
Minggu Penyelidikan dan Inovasi ini mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan dalam bidang penyelidikan dan inovasi demi kemajuan dan transformasi ummah.
Kerajaan Galak Penganjuran Minggu Penyelidikan Dan Inovasi
KUANTAN, 18 JULAI 2024 : Kerajaan Pahang akan sentiasa memberi sokongan dan galakan terhadap penganjuran Minggu Penyelidikan dan Inovasi anjuran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, usaha ini perlu diteruskan sebagai platform kepada penyelidik dan ‘inovator’ untuk mempamerkan pencapaian masing-masing bagi memacu bidang penyelidikan dan inovasi.
“Kerajaan Negeri bersempena Minggu Penyelidikan Dan Inovasi ini akan memastikan masa yang depan lebih baik kepada Kerajaan Negeri dan rakyat.
“InsyaaAllah Kerajaan Negeri akan memberi sokongan yang sehabis baik untuk menjadi negeri berjaya termasuklah UnIPSAS sebagai sebuah universiti yang berjaya pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2024 Penyelidikan Berimpak Pemacu Transformasi Ummah yang diadakan di Dewan Sultan Ahmad Shah, UnIPSAS, hari ini.
Turut hadir ialah Naib Canselor, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Profesor Dato’ Dr Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Menerusi penganjuran Minggu Penyelidikan Dan Inovasi ini akan dapat menggalakkan penciptaan inovasi dengan nilai komersil tinggi sebagai penanda aras baharu seiring Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Penyelidik juga perlu mencipta program pembelajaran yang lebih baik menggunakan teknologi bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan mengembangkan kaedah pengajaran inovatif. – PAHANGMEDIA
Kredit : (Pahang Media) Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Pelajar OKU terharu diterima masuk ke UnIPSAS
KUANTAN, 28 JUN 2024 – ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Kegigihan seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) fizikal dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal Lempong menuntut ilmu sehingga memperoleh keputusan membanggakan dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini nyata membuahkan hasil.
(Muhammad Adib Nadhir Mohd Zaharizan (tengah) bersama Naib Canselor UnIPSAS, Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin (kanan) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal Lempong, Kuantan hari ini)
Hari ini, Muhammad Adib Nadhir Mohd Zaharizan, 18 tersenyum lebar apabila dia menerima surat tawaran belajar Program Asasi Sains Kemanusian di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) tajaan sepenuhnya kerajaan Pahang bagi kemasukan Julai ini.
Dia yang memperoleh 3A 5B dalam SPM baru-baru ini jelas teruja dan sama sekali tidak menyangka diberikan peluang keemasan itu kerana dia sememangnya berazam untuk menyambung pelajaran sehingga ke menara gading.
“Tak pernah terfikir akan dapat tawaran sambung belajar seperti ini sebab saya memang nak sambung belajar, tak mahu duduk sahaja di rumah.
“Cita-cita saya nak menjadi seorang ahli perniagaan,” katanya yang menghidap ‘Spinal Muscular Altrophy‘ (SMA) Jenis 2 sejak lahir ketika ditemui di SMK Chengal Lempong, di sini hari ini.
Adib memberitahu, dia akan ditawarkan menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan kepujian selepas Program Asasi Sains Kemanusian di UnIPSAS nanti.
Kata anak kedua daripada tiga adik beradik itu, dengan pencapaian diperolehnya itu, dia mahu lebih ramai golongan pelajar OKU fizikal sepertinya tidak berputus asa dalam mengejar cita-cita masing-masing.
Ditanya jika Adib ada membuat permohonan menyambung pelajaran di universiti lain, katanya dia baharu sahaja menolak tawaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu kerana faktor jarak dari rumahnya.
Jelasnya, dia masih memerlukan ibu bapanya untuk membantu melakukan pergerakan tertentu.
Sementara itu, Naib Canselor UnIPSAS, Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin yang menyerahkan surat tawaran belajar kepada pelajar bertuah itu turut merasa teruja dengan pencapaian anak muda ini.
“Ini merupakan satu petanda bahawa di negara kita ni semua orang boleh mencipta kejayaan cemerlang.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan SMK Chengal Lempong yang dipimpin Pengetua, Norhisham Rani dan guru-guru kerana berjaya melahirkan pelajar yang berkeperluan khas seperti Adib untuk cipta kejayaannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau memberitahu bahawa ini merupakan satu tanggungjawab yang besar buat UnIPSAS untuk memastikan keperluan pembelajaran sesuai buat pelajar berkeperluan seperti Adib.
KUANTAN, 20 JUN 2024 – Alhamdulillah sempurna sudah majlis ibadah qurban UnIPSAS pada 13 Zulhijjah 1445H bersamaan dengan 20 Jun 2024. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini. Moga kita istiqamah melaksanakan ibadah qurban dan semoga amalan diterima Allah SWT jua.
Majlis Menandatangani MoU dengan Perbadanan Perpustakaan Negeri Pahang
KUANTAN, 6 JUN 2024 – Selesai Majlis Menandatangani MoU dengan Perbadanan Perpustakaan Negeri Pahang pada 06 Jun 2024, bersempena Seminar Perpustakaan di hati Masyarakat yang berlangsung di Auditorium Tuanku Canselor, UnIPSAS.