Penyelidik KUIPSAS Hadiri Mesyuarat Data Miskin Tegar Pahang

17 September 2020 (KUANTAN) – Pasukan penyelidikan yang diketuai penyelidik KUIPSAS hari ini menghadiri mesyuarat kemajuan penyelidikan berkaitan miskin tegar di seluruh Negeri Pahang yang diadakan di Wisma Sri Pahang.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang itu bertujuan untuk membincangkan perancangan dan strategi yang sesuai bagi melengkapkan data miskin tegar di seluruh negeri Pahang.

Pasukan penyelidikan ini turut dianggotai oleh penyelidik dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Bahagian Teknologi Maklumat (BTM), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Unit Pembangunan Wanita (UPW) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

#penyelidikan #kajian #kuipsasmengkaji #kuipsasmenyelidik #miskintegar #kuipsas #welovekuipsas #kuipsasbumibarakah #majuteruspahang #pahang1st

 

Audit Dalam MYRA Nilai Aktiviti Penyelidikan

AUDIT DALAM MYRA NILAI AKTIVITI PENYELIDIKAN

15 September 2020 (KUANTAN) – Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (BPI) KUIPSAS hari ini mengadakan Sesi Audit Dalam Malaysia Research Assessment (MyRA) 2020 bertempat di Dewan Senat KUIPSAS bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Audit Dalam MyRA adalah salah satu proses yang wajib dilakukan bagi menilai kesahihan maklumat berkenaan input dan output pembangunan penyelidikan dan pengkomersilan KUIPSAS yang disediakan oleh Bahagian Penyelidikan dan Inovasi.

Audit Dalam MyRA 2020 bagi membuat Penilaian 2019 dikendalikan oleh Auditor Dalam yang terdiri oleh Puan Nurul Khair binti Ishak, Puan Shuhada binti Mustafa Hilmi dan Puan Norfadelah binti Nordin.

 

Mufti Pahang Sampaikan Bicara Fajar

11 September 2020 (KUANTAN) – Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Hj. Abdul Rahman bin Osman hari ini menyampaikan pengisian dalam program Bicara Fajar yang diadakan di Masjid KUIPSAS. Program yang diadakan selepas Solat Fardhu Subuh itu dihadiri oleh semua pelajar KUIPSAS dan masyarakat setempat.

Dalam program Bicara Fajar tersebut, Sahibus Samahah Mufti menghuraikan kepentingan berzikir sebagai amalan harian setiap umat Islam dengan merujuk kepada buku “Zikrullah, Kepentingannya Dalam Pembersihan Jiwa Mukmin” terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang.

Dalam program tersebut, Sahibus Samahah Mufti turut melancarkan Kempen Solat Fardhu Isyak dan Subuh Secara Berjemaah bagi menggalakkan pelajar-pelajar baharu KUIPSAS sentiasa hadir ke masjid untuk menunaikan ibadah solat di KUIPSAS.

 

Moh Riadah Galak Gaya Hidup Sihat

10 September 2020 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini melancarkan Program Moh Riadah @ KUIPSAS yang dirasmikan oleh PM. Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS. Pelancaran yang diadakan di Porch Utama KUIPSAS dihadiri oleh semua Anggota Kerja KUIPSAS.

Program Moh Riadah @ KUIPSAS bertujuan untuk menggalakkan semua AKK supaya mengamalkan gaya hidup sihat dengan memanfaatkan kemudahan yang disediakan di KUIPSAS. Dalam program ini juga, Rektor KUIPSAS merasmikan Trek KUIPSAS sepanjang 1.4 KM yang mengelilingi seluruh kawasan di dalam kampus KUIPSAS.

 

Taklimat Instrumen MYRA Tingkat Kefahaman

10 September 2020 (KUANTAN) – Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (BPI) KUIPSAS hari ini mengadakan Taklimat Instrumen Malaysia Research Assessment (MyRA) pada jam 2.30 petang di Dewan Senat KUIPSAS.

Taklimat disampaikan oleh YBrs. Prof. Dr. Shahir Shamsir bin Omar, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UTHM. Beliau adalah salah seorang Panel Task Force MyRA & Task Force HiCOE Kementerian Pengajian Tinggi.

Taklimat Instrumen MyRA adalah satu taklimat terperinci berkenaan setiap seksyen MyRA yang harus difahami oleh setiap ahli BPI dan ahli pengurusan tertinggi KUIPSAS. Selain itu, objektif taklimat ini juga adalah untuk mengetahui bagaimana cara untuk mendapat markah yang mudah bagi IPT-IPT yang baru terlibat dengan penilaian MyRA.

 

Kunjungan Hormat SMK Gudang Rasau

08 September 2020 (KUANTAN) – Rektor Kuipsas, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin hari ini menerima kunjungan hormat daripada En. Mohamed Nazim bin Ismail, Pengetua Sek. Men. Keb. Gudang Rasau (SEGRA). Kunjungan bermula jam 11.00 pagi itu berlangsung selama satu jam dan turut dihadiri oleh En. Chek Zainon bin Shafie, Penolong Kanan Pentadbiran dan En. Mohammad Nasri bin Mustafa Hilmi, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).

Kunjungan hormat diadakan oleh En. Mohamed Nazim selepas beliau dilantik sebagai Pengetua SEGRA pada Februari lalu bagi mengeratkan hubungan di antara kedua-dua pihak yang terletak secara berdekatan dari segi jarak. Rektor KUIPSAS dan Pengetua SEGRA bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam apa jua bentuk yang akan memberikan manafaat kepada pelajar-pelajar sekolah berkenaan serta mahasiswa KUIPSAS.

 

Kolaborasi Strategik Fakulti Undang-Undang UKM dan Jabatan Syariah KUIPSAS

7 September 2020 (KUANTAN) – Jabatan Syariah KUIPSAS menerima kunjungan delegasi dari Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membincangkan kolaborasi strategik di antara kedua-dua pihak. Jabatan Syariah KUIPSAS merupakan IPTS pertama daripada 8 IPTA & IPTS yang dilawati dalam rangka kerja Kolaborasi Strategik FUU UKM.

Delegasi FUU UKM terdiri daripada YBrs. Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan bin Ismail, Timbalan Dekan (Networking & Income Generation) dan YBrs. Dr. Mohamad Azhan bin Yahya manakala KUIPSAS dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS, Timbalan Rektor Akademik & Pengantarabangsaan, YBrs. Dr. Muhammad Hafiz bin Dato’ Yaakub, Timbalan Rektor Penyelidikan & Inovasi, YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar, Dekan Fakulti Pengajian Islam, YBrs. Dr. Muhammad Fadlly bin Ismail, Ketua Jabatan Syariah Encik Mohd Saiffuddin bin Abdul Karim dan pensyarah-pensyarah Jabatan Syariah.

Hasil pertemuan ini telah berjaya menemui persepakatan dalam lima (5) perkara iaitu:

1. Peluang Perkembangan Pendidikan;
2. Perkongsian Kepakaran;
3. MOA Penyelidikan;
4. Penglibatan dalam Self Council E-Learning for Law; dan
5. Khidmat Guaman.

Fakulti Undang-Undang Ukm

 

Pelajar Baharu Mendaftar Masuk Asrama

5 September 2020 (KUANTAN) – KUIPSAS hari ini menerima kehadiran pelajar-pelajar baharu untuk mendaftar masuk asrama bagi meneruskan pengajian dalam Semester 1 Sesi 2020/2021. Semua pelajar baharu ini sudah mendaftar sebagai mahasiswa KUIPSAS pada Sesi Kemasukan Jun 2020 baru-baru ini dan mengikuti pengajian secara dalam talian di rumah masing-masing.

Sesi Pendaftaran Masuk Asrama ini diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan diadakan di Dewan Utama KUIPSAS bermula jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengahari.

Pendaftaran masuk asrama ini diadakan bagi memenuhi ketetapan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi supaya pelajar-pelajar baharu mengikuti pengajian di dalam kampus. Mahasiswa baharu KUIPSAS yang sudah mendaftar masuk ke asrama dan berada di dalam kampus akan dapat memberikan tumpuan yang lebih baik dalam pembelajaran. Mereka berpeluang untuk menghadiri sesi konsultasi dengan pensyarah, menggunakan kemudahan perpustakaan serta mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan bersama rakan-rakan sekuliah.

 

Majlis Tahlil Sempena Menyambut Jubli Perak 25

KUIPSAS akan menyambut Jubli Perak 25 tahun pada tahun hadapan. Hari ini diadakan program pertama, Majlis Tahlil kepada warga KUIPSAS yang telah kembali ke Rahmatullah dan Doa Selamat untuk kemajuan masa hadapan.

 

Taklimat MKN Sempena Perhimpunan

7 Ogos 2020 (KUANTAN) – Perhimpunan Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang dan Cintai Negara bulan Ogos peringkat KUIPSAS diadakan pada hari ini bertempat di Auditorium KUIPSAS. Perhimpunan yang bermula jam 10.00 pagi itu dihadiri oleh semua Anggota Kerja KUIPSAS.

Perhimpunan bulan ini turut dihadiri oleh En. Mohd Zairasyahli Bin Zakaria, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang yang dijemput khas untuk menyampaikan taklimat dan perkembangan terkini mengenai penularan wabak pandemik Covid-19. Taklimat ini penting kepada warga KUIPSAS kerana KUIPSAS akan menerima kehadiran pelajar-pelajar baharu yang akan mendaftar masuk ke asrama dan meneruskan pengajian di kampus dalam masa terdekat.

 

ms_MYMalay