Serah Laporan kepada MB Pahang

19 November 2020 | REKTOR KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin mengiringi YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Negeri Pahang menyerahkan Laporan Perbincangan Sempena Kunjungan Hormat Delegasi IPT Milik Kerajaan Negeri Pahang Ke Atas Menteri Pengajian Tinggi, YB. Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad pada 12 November lalu kepada Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail untuk makluman beliau.

 

YAPEIM Salurkan Sumbangan Musaadah Covid-19

18 November 2020 (KUANTAN) – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini menyampaikan sumbangan menerusi Program Inspirasi Musaadah Covid-19 kepada Anggota Kerja KUIPSAS (AKK). Program diadakan di Auditorium KUIPSAS sempena Program Perhimpunan Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang Dan Cintai Negara Peringkat KUIPSAS bagi bulan November.
Sumbangan disampaikan oleh Pengurus YaPEIM Cawangan Negeri Pahang, Puan Norkhalilah Hanim binti Hamid kepada 64 orang AKK yang memenuhi kriteria ditetapkan. Sumbangan yang disampaikan berupa barang makanan kering, barangan ‘Ready To Eat’ dan daging segar.
Terdahulu, dalam ucapannya, Puan Norkhalilah menyatakan bahawa sepanjang tahun ini YaPEIM telah menyalurkan bantuan sebanyak RM92,275.00 dan telah memanfaatkan seramai 617 orang warga KUIPSAS yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan. KUIPSAS menurutnya juga merupakan rakan sinergi untuk menjayakan program-program kebajikan yang telah dirancang oleh YaPEIM Negeri Pahang.
X

KUIPSAS Iringi EXCO Pendidikan Bertemu Menteri

12 November 2020 (PUTRAJAYA) – Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin menyertai Delegasi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Milik Kerajaan Negeri Pahang mengadakan pertemuan bersama Menteri Pengajian Tinggi, YB. Dato’ Sri Noraini binti Ahmad di Pejabat YB. Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi, Presint 5, Putarjaya.
Delegasi IPT Milik Kerajaan Negeri Pahang diketuai oleh YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang.
Selain Rektor KUIPSAS, delegasi turut disertai oleh Naib Canselor Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), YBrs. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Zainuddin, Ketua Eksekutif Pahang Skills Development Centre (PahangSkills), YBrs. Encik Suris bin Mihat dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), YBrs. Ustaz Mohd Lafzul bin Muda.
Dalam pertemuan tersebut, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim dan ahli-ahli delegasi telah mengemukakan beberapa perkara kepada pengetahuan YB. Menteri. Di antara perkara yang dibincangkan ialah mengkaji semula standard program MQA kerana syarat kemasukan yang ditetapkan terlalu tinggi dan menyukarkan IPT mendapatkan pelajar yang mempunyai kelayakan tahap rendah terutama pelajar-pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang bagi peperiksaan STAM.
Selain itu, delegasi turut menarik perhatian YB. Menteri mengenai jumlah pinjaman PTPTN kepada golongan M40 yang terjejas dengan pendemik Covid-19, memberi peruntukan khas penyelidikan kepada IPT Milik Kerajaan Negeri Pahang, menaik taraf KUIPSAS menjadi universiti Islam penuh dan begitu juga dengan UCYP serta permohonan memperbaharui Perakuan Pendaftaran KUIPSAS yang telah dihantar sebelum ini.
Selain YB. Menteri, semua perkara yang dibangkitkan oleh delegasi turut dibincangkan bersama dengan wakil-wakil KPT dan agensi-agensinya yang terdiri daripada YBhg. Datuk Seri Dr. Mazlan bin Yusoff (KSU), YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa bin Ishak (KPPT), YBrs. Dr. Mohd Zabri bin Yusoff (TKSU Dasar), YBrs. Datuk Rusli bin Yaakub (TKSU Pengurusan & Pembangunan).
Turut hadir ialah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini bin Omar (Ketua Pegawai Eksekutif MQA) dan YBhg. Encik Ahmad Dasuki bin Abdul Majid (Ketua Eksekutif PTPTN).

Kunjungan Hormat Kepada Pengarah Pembangunan Negeri Pahang

11 November 2020 | KUNJUNGAN Hormat kepada Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, YH. Dato’ Indera Haji Zulkifli bin Haji Yaacob diketuai oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin. Kunjungan Hormat diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan baik dan meningkatkan kerjasama di antara kedua-dua pihak.
Delegasi KUIPSAS turut disertai oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi, YBrs. Dr. Muhamad Fadlly bin Ismail, Pendaftar, En. Mohd. Zamri bin Wahab dan Bendahari, Haji Mohd Faizul bin Abdul Hadi Nor.

Bengkel Mantapkan Pengurusan Jurnal

4 November 2020 (KUANTAN) – Bahagian Penyelidikan & Inovasi (BPI) KUIPSAS telah mengadakan Bengkel Open Journal System (OJS) di Dewan Senat pada hari ini.
Bengkel dikendalikan oleh YBrs. Dr. Mohd Hasnun Arif bin Hasan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk membimbing peserta mengenai kaedah serta teknik mudah bagi mengendalikan sistem OJS ini.
Bengkel ini penting bagi memastikan transformasi pengurusan artikel jurnal di KUIPSAS akan lebih efisien dan maju selaras dengan perubahan kecanggihan teknologi pada masa kini yang meletakkan sistem dan teknologi sebagai keutamaan. Selain itu, sistem OJS ini juga mampu membantu pihak BPI menguruskan data artikel jurnal yang tersimpan dengan lebih baik serta mudah diakses.

Rektor Umum ‘Rombakan Kabinet’

30 Oktober 2020 (KUANTAN) – Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin petang ini mengumumkan rombakan dan pergerakan Pegawai Kanan KUIPSAS berikutan kekosongan jawatan selepas dua orang pegawai dilantik secara pinjaman sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Pelantikan baharu ini berkuatkuasa bermula 1 November 2020.

Menurut beliau, pelantikan Pegawai-Pegawai Kanan yang baharu ini telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengelola KUIPSAS dalam Mesyuarat Khas yang diadakan beberapa hari lalu. Barisan Pengurusan Kanan yang baharu ini juga diharap akan dapat bersama-sama sebagai satu pasukan yang dipimpin olehnya bagi mencapai fokus dan hala tuju yang telah ditetapkan sebelum ini.

Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman (Timbalan Rektor HEPA) dan En. Khairuddin bin Ismail (Bendahari KUIPSAS) atas segala jasa baik dan kualiti perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang bertugas di KUIPSAS.

Berikut adalah senarai pergerakan Pegawai-Pegawai Kanan yang telah diumumkan :

1) YBrs. Dr. Muhammad Hafiz b. Dato’ Hj. Yaakub : Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Pengantarabangsaan

2) YBrs. Dr. Ahmad Effat b. Mokhtar : Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA)

3) YBrs. Dr. Muhamad Fadlly b. Ismail : Timbalan Rektor Penyelidikan Dan Inovasi

4) YBrs. Dr. Norahida bt. Mohamed : Dekan Fakulti Pengajian Islam

5) YBrs. Dr. Safiah bt. Abdul Razak : Pengarah Pusat Pengurusan Siswazah

6) Pn. Zarina bt. Kamarozaman : Dekan Fakulti Pengurusan Dan Teknologi (Fakulti baharu yang menggabungkan Fakulti Pengajian Pengurusan dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi)

7) Hj. Mohd Faizul b. Abdul Hadi Nor : menjalankan tugas sebagai Bendahari KUIPSAS

8) Pn. Nur Yani bt. Hussin : Ketua Jabatan Pendidikan Dan Pembangunan Insan (Jabatan Pengajian baharu di bawah Fakulti Pengajian Islam)

9) Pn. Siti Nora’aeshah bt. Zakaria : Pengarah Akademi Hadis

 

Semarak Jawi Daerah Maran

22 Oktober 2020 (MARAN) – Institut Jawi KUIPSAS telah dijemput untuk memberikan pengisian dalam program Semarak Jawi Peringkat Daerah Maran yang dianjurkan oleh Perpustakaan Awam Maran dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Maran pada hari ini.

Program yang diadakan di Auditorium al-Ghazali PAID Maran telah dikendalikan oleh dua orang pensyarah KUIPSAS iaitu Pn. Nurizan binti Baharum dan Pn. Seriayuna binti Sa’don Zubir yang juga merupakan Munsyi Jawi Pahang.

Semarak Jawi Daerah Maran ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai Tulisan Jawi yang diperbaharui di samping menjadi usaha untuk mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk negara Malaysia ini.

Pihak Perpustakaan Awam Maran turut mengadakan Kuiz Jawi kepada peserta yang hadir. Program mendapat sambutan yang amat baik dalam kalangan peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah, guru-guru, wakil agensi dan masyarakat setempat.

 

Siswa Dan Siswi KUIPSAS Muncul Johan Daie Junior Hijrah Challenge

22 Oktober 2020 (MARAN) – Sdr. Muhammad Muqri Zafran bin Mat Khusniza, siswa Semester 3 Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan dan Sdri. Sueidah Usaimah binti Mohd Sofian, siswi Semester 3 Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Bahasa Arab dan Tamadun Islam hari ini mencuri tumpuan selepas diumumkan sebagai Johan Pertandingan Daie Junior Hijrah Challenge anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Pertandingan ini diadakan bermula 1 Muharam sehingga 25 Muharram 1442H dan memerlukan peserta menyampaikan tazkirah atau persembahan bertemakan Hijrah dalam bentuk video berdurasi 4 – 5 minit. Sebanyak 40 peserta atau pendakwah muda telah menghantar penyertaan yang terdiri daripada pelajar-pelajar KUIPSAS, UIAM Kuantan, Kulliah Al-Lughah Waddin Pekan, Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri dan Maahad Tahfiz di seluruh negeri Pahang.

Dalam Majlis Penyampaian Hadiah Daie Junior Hijrah Challenge 1442H / 2020M yang diadakan di Auditorium Al-Ghazali, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Maran hari ini, Sdr. Muhammad Muqri Zafran diumumkan sebagai Johan Kategori Lelaki melalui video yang bertajuk “Relevan Lagikah Hijrah : Hijrah Kontemporari” manakala Sdri. Sueidah Usaimah pula dinobatkan sebagai Johan Kategori Perempuan menerusi video bertajuk “Berani Untuk Berhijrah”.

Lebih menarik, siswa dan siswi KUIPSAS juga memenangi tempat ketiga pertandingan ini apabila Sdr. Muhammad Irfan bin Badrulzaman (Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran Sunnah, Sem 3) dan Sdr. Muhd Aiman bin Ahmad Hamidon (Ijazah Sarjana Muda Multimedia Pengiklanan Digital, Sem 3) diumumkan sebagai pemenang melalui video bertajuk “Mengambil Ibrah Sifat Kaum Muhajirin dan Ansar”. Bagi Kategori Perempuan pula, Sdri. Nur Farisya binti Ramli (Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan Sem 1) dipilih pemenang tempat ketiga menerusi video bertajuk “Hijrah Perlu Diagungkan Bukan Diperlekehkan”.

Hadiah-hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIP, Al-Fadhil Haji Mohd Fadhli bin Mat Saman. Turut hadir ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) KUIPSAS, YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Al-Fadhil Qadhi Daerah Maran, Ustaz Nik Ibrahim bin Nik Abdullah serta Ustazah Dayang Sakini binti Mohd Kadri selaku Pensyarah Pengiring.

Sdr. Muhammad Muqri Zafran turut diberikan ruang menyampaikan persembahan tazkirah bertemakan Maulidur Rasul dalam majlis tersebut.

 

 

Pelajar Multimedia Pamer Produk Dan Hasil Seni

15 Oktober 2020 (KUANTAN) – Jabatan Multimedia Kreatif dan Pengkomputeran, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) KUIPSAS mengadakan FINAL EXHIBITION & ASSESSMENT BACHELOR IN MULTIMEDIA (DIGITAL ADVERTISING) SEMESTER 1 2020/2021 yang bertujuan untuk menilai hasil kerja akhir pelajar di samping mempamerkan produk serta hasil seni mereka.
Program yang diadakan bermula jam 8.30 pagi dan bertempat di Dewan Utama KUIPSAS itu telah dirasmikan oleh Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dan dihadiri oleh pelajar-pelajar serta anggota kerja KUIPSAS.

Lawatan Rasmi YAM Tengku Panglima Raja ke KUIPSAS

 

ms_MYMalay