KUIPSAS Santuni Calon SPM Dalam Motivasi Online

21 Februari 2021 (KUANTAN) – Persediaan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berada pada fasa terakhir sebelum menduduki peperiksaan tersebut bermula 22 Februari 2021. Tentu banyak perkara yang perlu diberikan tumpuan dan sedikit sebanyak membawa kesan samada positif atau negatif kepada calon-calon.
Jabatan Perhubungan Korporat KUIPSAS menyantuni calon-calon SPM 2020 ini dengan menganjurkan program Motivasi Online Pecutan Akhir SPM 2020 Siri 1 selama dua hari.
Sesi pertama diadakan pada 20 Februari 2021 menampil Cik Raja Nurul Hafizah binti Raja Ismail, pensyarah Jabatan Pendidikan dan Pembangunan Insan merangkap Kaunselor KUIPSAS yang membuat perkongsian bertajuk “Jangan Stress”.
Sesi kedua pula menampilkan Da’i Niezal, siswa Ijazah Sarjana Muda Dakwah Islamiah KUIPSAS yang membuat penyampaian bertajuk “7 Formula Cemerlang, Belajar Itu Ibadah Pasti Seronok”.
Program yang diadakan bertujuan untuk membantu persediaan calon-calon pada saat akhir itu disertai seramai 50 orang peserta. Program Siri ke-2 akan diadakan pada 27 dan 28 Februari 2021.

Asrama KUIPSAS Dijadikan Stesyen Kuarantin Tempatkan Calon SPM

5 Februari 2021 (KUANTAN) – Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil langkah proaktif dengan menjadikan Asrama KUIPSAS sebagai Stesyen Kuarantin (QS) bagi menempatkan calon-calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang keluarga mereka terjejas kerana dijangkiti virus Covid-19. Seramai 19 orang pelajar terdiri daripada 12 lelaki dan 7 perempuan telah ditempatkan di sini sejak semalam.
KUIPSAS bersama-sama agensi lain seperti Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah menyediakan 200 bilik asrama untuk menempatkan calon-calon SPM 2020 di sini.
KUIPSAS turut menyediakan kemudahan WiFi bagi membolehkan mereka mengikuti PdPR dan mengulang kaji pelajaran semasa berada di sini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail turut melakukan tinjauan di KUIPSAS pada hari ini sebelum disusuli oleh YB. Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang.

Persidangan Dan Muktamar Antarabangsa Sunnah Nabawiah (ICMAS 2021)

 

RINGKASAN UCAPAN MB

 

KUANTAN: Sempena Sambutan Jubli Perak ke -25 tahun, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) telah menganjurkan  Persidangan dan Muktamar Antarabangsa Sunnah Nabawiah (ICMAS 2021) secara online pada 28 & 29 Januari 2021. Persidangan ini adalah anjuran Akademi Hadis KUIPSAS dengan kerjasama Fakulti Pengajian Islam KUIPSAS dan Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Persidangan ini  bertemakan “Hadis Sunnah Teras  Peradaban Ummah”. Objektif utama persidangan ini ialah. 1) Menjadi satu wadah perbincangan secara ilmiah,integratif dan holistik dalam kalangan para peserta dan pembentang kertas kerja berkaitan  Sunnah Nabawiah. 2) Memartabatkan Hadis Nabi sebagai tonggak asas agama Islam serta mempertahankannya daripada sebarang salah faham dan kekeliruan. 3) Menonjolkan peranan dan kekuatan Hadis  dalam membangunkan peradaban ummah.

 

Perasmian ICMAS 2021  telah disampaikan  oleh YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (Menteri Besar Pahang) dan diserikan lagi dengan ucap tama daripada YBrs. Dr. Hj. Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS.  Antara intipati ucapan perasmian yang disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, beliau melihat program ICMAS 2021 ini memberi fokus kepada penyelidikan hadis dan sirah Nabi yang telah  dikaji secara integratif dengan bidang-bidang ilmu yang lain seperti bidang Al-Quran, pembangunan insan, pengajian fiqh, ekonomi,  pentadbiran politik, pendidikan  dan teknologi komunikasi. Hal ini merupakan anjakan paradigma yang baik khususnya  bagi  memperlihatkan kepada dunia kekuatan sumber-sumber syariat Islam sebagai asas utama  pembangunan bidang-bidang ilmu yang diperlukan. Beliau juga berharap supaya semua pihak berupaya mengumpul barisan cendikiawan Islam untuk sama-sama sepakat mendepani pelbagai cabaran seperti kemunculan fahaman dan idealogi yang bergerak atas nama kemodenan untuk mencalar keyakinan dunia terhadap  kredibiliti sunnah Nabi SAW. Di akhir ucapan, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menitipkan harapan agar ICMAS 2021 ini akan memberi impak yang besar kepada peningkatan ilmu para peserta, membantu memperkasa penghayatan ummah terhadap ajaran Islam yang suci, seterusnya merapatkan hubungan ukhuwwah di peringkat global.

 

RINGKASAN PEMBENTANGAN SELARI

Dalam persidangan tersebut terdapat lebih daripada 80 tajuk kajian  yang telah  dibentangkan oleh para pembentang dari dalam dan luar negara  termasuk dari negara  Mesir, Jordon, Algeria, Tunisia, Republik Chech, Saudi Arabia, Brunei dan Indonesia. Tema utama pembentangan pada persidangan kali ini ialah ‘Hadis dan Sunnah Teras Kecemerlangan Peradaban Ummah’. Selain itu, terdapat 20 sub tema yang dibentangkan antaranya ialah :

  • HADIS DAN CABARAN KECEMERLANGAN PASCA COVID 19
  • TOKOH-TOKOH HADIS DAN MANHAJ PENULISAN MEREKA
  • HADIS DAN KAJIAN AL-QURAN
  • SUMBANGAN ULAMA AHLI SUNNAH WA AL-JAMAAH DALAM KAJIAN HADIS
  • PENGAJIAN HADIS DALAM PENGAJIAN PONDOK
  • HADIS DAN MANUSKRIP JAWI
  • SUNNAH NABI DAN PEMBANGUNAN INSAN
  • SUNNAH NABI DAN PEMERKASAAN TAMADUN
  • ISU-ISU SEMASA HADIS DAN SUNNAH
  • PENGAJIAN HADIS DALAM ERA DIGITAL
  • PERKEMBANGAN RUJUKAN DIGITAL HADIS
  • HADIS DAN SUNNAH SERTA CABARAN LIBERALISME
  • KETOKOHAN NABI SAW & KAJIAN SIRAH
  • HADIS DAN KECEMERLANGAN KEPIMPINAN
  • SIRAH NABI DAN TELADAN PENTADBIRAN NEGARA
  • SIRAH NABI DAN HUBUNGAN ANTARABANGSA
  • SUNNAH NABI DAN PEMERKASAAN GENERASI MUDA
  • HADIS, SUNNAH DAN PENGAJIAN FIQH
  • HADIS, SUNNAH DAN KEKUATAN EKONOMI
  • HADIS, SUNNAH DAN PENYELIDIKAN ILMU

 

 

RINGKASAN BEST PRESENTER

د/ محمد أحمد محمد عبد العا لالشربا (1  (tajuk pembentangan: مجالات تأثير علم الحديث في علم التفسير بالمأثور دراسة وصفية تحليلية

2) Prof Madya Dr. Jelani Sulaiman (tajuk pembentangan: Hadith as a Source of Reference for Creative Thinking and Problem Solving among Muslim Students in Tertiary Education

3) Ustaz Mohammad Haafiz Aminuddin Mohd Azmi (tajuk pembentangan : Elemen Kesantunan Bahasa Dalam Cara Rasulullah SAW Berinteraksi )

 

BEST PAPER AWARD

 

LINK VIDEO LIVE : https://www.facebook.com/KUIPSASofficial/videos/923277168408662

 

KUIPSAS Pelopor Sumbangan Wakaf Berpusat

21 Januari 2021 (KUANTAN) – KUIPSAS diiktiraf sebagai pelopor sumbangan wakaf secara berpusat kerana menggalakkan kakitangannya membuat potongan gaji untuk disumbangkan kepada Wakaf Pahang setiap bulan. Demikian menurut YH. Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, Pengurus Besar Kanan Zakat Dan Wakaf Pahang dalam Majlis Penyerahan Dana Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang di Masjid KUIPSAS hari ini.
Menurutnya lagi, persepsi terhadap wakaf telah banyak berubah dan menunjukkan perkembangan yang hebat daripada hanya pembangunan tanah kepada wakaf tunai serendah RM5 pada masa kini. Perkara ini lebih memudahkan umat Islam untuk berwakaf kerana tidak terikat dengan jumlah dan masa tertentu supaya sumber kedua kekuatan ekonomi umat Islam ini dapat dikembangkan.
Dalam majlis tersebut, Masjid KUIPSAS menerima penyerahan Dana Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan projek naik taraf kemudahan-kemudahan untuk keselesaan umat Islam yang hadir menunaikan ibadah.
Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Masjid KUIPSAS telah menerima sumbangan tersebut daripada Dato’ Hj. Halidan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Rektor KUIPSAS menyatakan bahawa KUIPSAS sentiasa menyokong penuh usaha Pusat Zakat Dan Wakaf Pahang dengan menyerahkan Borang Sumbangan Wakaf oleh kakitangan KUIPSAS untuk pembangunan wakaf di negeri Pahang.

Misi Bantuan Ke-11 Di SMK Mengkarak

21 Januari 2021 (BERA) – Sukarelawan KUIPSAS meneruskan Misi Bantuan Pasca Banjir 2021 dengan menyertai Sukarelawan Pahang melakukan kerja-kerja pembersihan SMK Mengkarak, Bera. Seramai 26 orang sukarelawan menyertai misi bantuan ini bagi membantu memulihkan SMK Mengkarak selepas ditenggelami banjir baru-baru ini.
Misi bantuan kali ini menjadi lebih bermakna kerana turut dihadiri oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail serta diiringi oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.

Misi Ke-10 Bantuan Pasca Banjir Di Chenor

20 Januari 2021 (CHENOR) – Sukarelawan KUIPSAS meneruskan Misi Bantuan Pasca Banjir ke-10 dengan membersihkan rumah Bilal Masjid KUIPSAS di Kampung Sekara, Chenor. Seramai 21 orang sukarelawan digerakkan ke lokasi yang terletak berdekatan dengan tebing Sungai Pahang.
Misi ke-10 ini agak mencabar kerana lokasi diselaputi lumpur tebal disebabkan air Sungai Pahang yang melimpah masuk ke kawasan rumah. Namun, berkat kerjasama semua sukarelawan, misi bantuan dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya.
Sukarelawan KUIPSAS turut mendapat perhatian YB. Ustaz Mujibur Rahman bin Ishak, ADUN Chenor yang sedang menziarahi penduduk-penduduk terjejas banjir di Kampung Sekara, Chenor.

Misi Ke-9 Bantuan Banjir Di Pekan

19 Januari 2021 (PEKAN) – Sukarelawan KUIPSAS meneruskan Misi Bantuan Pasca Banjir Ke-9 hari ini di daerah Pekan dengan membuat kerja-kerja pembersihan rumah keluarga kakitangan KUIPSAS yang terjejas banjir di Kampung Pulau Manis dan Kampung Tanjung Pulai.
Seramai 25 orang sukarelawan diketuai Rektor menyertai misi kali ini. Selain membersih rumah, Rektor KUIPSAS turut menyerahkan barangan sumbangan kepada keluarga kakitangan KUIPSAS tersebut.

KUIPSAS Sertai Sukarelawan Agensi Islam Negeri Pahang Laksana Misi Ke-8

18 Januari 2021 (CHENOR) – Misi Bantuan Pasca Banjir Ke-8 diteruskan dengan menyertai Sukarelawan Agensi Islam Negeri Pahang melaksanakan tugasan di kawasan Chenor Maran. Penyelarasan oleh Pejabat Agama Islam Chenor ini memberikan tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan bangunan SAR KAFA di kawasan tersebut.
Selain sukarelawan KUIPSAS, misi bantuan turut disertai oleh sukarelawan dari MUIP, JAIP, Jabatan Mufti, MTNP, PAID dan PKZ.

Misi Ke-7 Serahan Bantuan Di Kampung Sungai Siam

17 Januari 2021 (JERANTUT) – Misi Bantuan Pasca Banjir KUIPSAS diteruskan di Kampung Sungai Siam, Jerantut hari ini dengan penyerahan barang-barang keperluan kepada penduduk terjejas bencana banjir.
Barang-barang keperluan adalah hasil sumbangan Anggota Kerja KUIPSAS semasa Program Tazkirah Duha KUIPSAS pada hari Jumaat sebelumnya. Barang-barang keperluan juga disumbangkan oleh ahli kariah Masjid Taman Guru dan Masjid Sungai Isap.

Misi Ke-6 Diteruskan, KUIPSAS Sertai Sukarelawan Pahang

15 Januari 2021 (TEMERLOH) – Pasukan Sukarelawan KUIPSAS Misi Bantuan Pasca Banjir 2021 hari ini menyertai Sukarelawan Pahang yang diselaraskan oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi membantu penduduk negeri Pahang yang terjejas kerana bencana banjir.
Flagship Program Sukarelawan Pahang diadakan di Kampung Pengkalan Jaya, Lebak, Temerloh dirasmikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’Sri Wan Rosdy Bin Wan Ismail dan disertai oleh sukarelawan daripada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pahang.
Sukarelawan Pahang KUIPSAS seramai 15 orang diketuai Rektor berada di Taman Sri Lebak dan mencuci rumah Hj. Raja Ibrahim yang dinaiki air banjir. YAB. Menteri Besar Pahang turut berada di lokasi dan memberikan ucapan penghargaan kepada Sukarelawan Pahang KUIPSAS.
ms_MYMalay