KUIPSAS Kini Sebuah Universiti, Hadiah Terbaik Sempena Sambutan Jubli Perak

29 MAC 2021 BERSAMAAN 15 SYAABAN 1442H
1. Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) telah berjaya ditubuhkan sebagai sebuah Universiti bermula pada 25 Mac 2021. Surat dan Sijil Kelulusan telah disampaikan oleh YB. Datuk Seri Dr. Noraini Binti Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi kepada YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang merangkap Pro Canselor KUIPSAS.
2. KUIPSAS yang ditubuhkan pada 27 Ogos 1996 dengan nama Kolej Islam Pahang (KIP) sebelum dinamakan sebagai Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) pada tahun 2000 sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh Kerajaan Negeri Pahang. Pada 20 Oktober 2015, KIPSAS telah berjaya dinaik taraf menjadi sebuah Kolej Universiti dan dinamakan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).
3. Sebagai sebuah Universiti, KUIPSAS beriltizam untuk memacu pengajian tinggi peringkat tertiari berteraskan Pengajian Islam dengan lebih proaktif dan profesional khususnya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Program-program pengajian yang ditawarkan memberikan penekanan kepada aspek keseimbangan di antara kecemerlangan akademik dan ketrampilan sahsiah diri para mahasiswa.
4. Di samping itu, KUIPSAS sebagai Universiti sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan infrastruktur yang setanding dengan IPT lain bagi mewujudkan suasana kampus yang kondusif. Keprihatinan KUIPSAS kepada mahasiswa dan mahasiswi yang memerlukan turut menjadi keutamaan dengan menjadi IPT yang mesra keluarga asnaf dan B40. Dalam masa yang sama, kebajikan mahasiswa dan mahasiswi secara keseluruhannya akan sentiasa diberikan perhatian utama.
5. Fokus kepada aktiviti penyelidikan dan inovasi juga dijadikan tumpuan dengan lebih agresif sesuai dengan status sebagai sebuah Universiti. Hasil kajian dan penerbitan yang berimpak tinggi dijangka akan memberikan manafaat kepada masyarakat umum.
6. KUIPSAS merafak sembah menjunjung kasih atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang sentiasa mengambil berat terhadap usaha menaikkan taraf KUIPSAS kepada sebuah Universiti.
7. KUIPSAS juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB. Menteri Besar Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd., Ahli-Ahli Lembaga Pengarah, Ahli-Ahli Lembaga Pengelola, barisan pensyarah, pentadbir dan kakitangan sokongan, para alumni dan semua mahasiswa dan mahasiswi atas usaha gigih dan sokongan padu sehingga kelulusan menjadi sebuah Universiti diterima pada hari ini.
8. Sambutan Jubli Perak 25 Tahun KUIPSAS yang sedang berlangsung pada tahun 2021 ini menjadi lebih bermakna dengan kelulusan permohonan naik taraf KUIPSAS menjadi sebuah Universiti.
9. Alhamdulillah, KUIPSAS Kini Sebuah Universiti.
KUIPSAS MENJANA KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN SAHSIAH
KUIPSAS BUMI BARAKAH
Disediakan oleh :
Jabatan Perhubungan Korporat KUIPSAS

Pembentangan Berjalan Lancar, KUIPSAS Menuju Universiti Penuh

3 Mac 2021 (KUANTAN) – Sesi Pembentangan Permohonan Naik Taraf KUIPSAS Ke Universiti Penuh berjalan lancar hari ini dengan menyaksikan YB. Dato’ Sri Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB) membuat pembentangan dengan penuh keyakinan.
Sesi pembentangan yang diadakan secara dalam talian itu merupakan proses susulan yang perlu dihadapi oleh KUIPSAS selepas menghantar permohonan secara rasmi pada 28 Disember 2020 yang lalu bagi menaikkan taraf KUIPSAS menjadi sebuah Universiti Penuh.
Sesi Pembentangan dipengerusikan oleh Prof. Datuk Dr. Husaini bin Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan disertai oleh ahli-ahli panel daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti-universiti awam.
Dalam pembentangan tersebut, YB. Dato’ Sri Sallehuddin menjelaskan rasional menaikkan taraf KUIPSAS kepada Universiti Penuh, hala tuju strategik, perancangan pematuhan, kebolehpasaran graduan dan perancangan program pengajian baharu.
Beliau turut mengemukakan tiga cadangan nama baharu jika KUIPSAS menjadi sebuah Universiti Penuh.
Turut hadir dalam sesi pembentangan tersebut ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin (Rektor KUIPSAS), Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan (Naib Canselor UniSZA merangkap Ahli Lembaga Pengelola KUIPSAS), Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Saharuddin bin Abdul Hamid (Ahli Lembaga Pengelola KUIPSAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Naik Taraf KUIPSAS) dan Pengurusan Kanan KUIPSAS.
Kerajaan Negeri Pahang.

SPIPSB Bayar Zakat Perniagaan

2 Mac 2021 (KUANTAN) – Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB) anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang yang memiliki KUIPSAS membuat bayaran Zakat Perniagaan pada hari ini bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2019.
Nilai Zakat Perniagaan yang dibayar ialah sebanyak RM61,358.45.
Zakat Perniagaan tersebut disampaikan oleh YB. Dato’ Sri. Dr. Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah SPIPSB dan diterima oleh YH. Dato’ Ahmad Hairi Bin Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Majlis yang diadakan pada jam 8.30 pagi itu turut dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin (Rektor KUIPSAS), YH. Dato’ Hj. Halidan Md Daud (Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang), Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Saharuddin bin Abdul Hamid (Ahli Lembaga Pengelola KUIPSAS), Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan (Ahli Lembaga Pengelola KUIPSAS) dan Pengurusan Kanan KUIPSAS.

KUIPSAS Komited Ke Arah Universiti Islam Pahang 2021

Sesi Pembentangan Permohonan Naik Taraf KUIPSAS Ke Universiti Penuh akan diadakan seperti ketetapan berikut :
Tarikh : 3 Mac 2021 / 19 Rejab 1442H
Masa : 2.00 Petang
Pembentang : YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd.
Semoga sesi pembentangan berjalan lancar dan dimudahkan segala urusan.

Lawatan Tapak Projek Pembinaan Asrama Baru

1 Mac 2021 (KUANTAN) – Lawatan Tapak Projek Pembinaan Asrama Baharu KUIPSAS diadakan pada hari ini susulan mesyuarat di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang pada 25 Februari 2021 yang lalu.
Lawatan Tapak yang bermula pada jam 9.30 pagi itu dihadiri oleh Rektor, Pengurusan Kanan dan kakitangan Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan KUIPSAS.
Turut hadir adalah jurutera dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bangunan Pahang, JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Pahang, JKR Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Pahang, JKR Bahagian Senibina Pahang, JKR Kontrak & Ukur Bahan Pahang, JKR Struktur & Rekabentuk Pahang dan JKR Daerah Kuantan.
Projek pembangunan yang boleh menempatkan 1,000 orang pelajar bernilai RM30 juta ini dijangka akan disiapkan dalam tempoh 3 – 4 tahun. Tapak projek yang terlibat ialah di kawasan bangunan lama, asrama Blok F dan kafeteria.

Solat Hajat Sempena Pembentangan Universiti Penuh

26 Februari 2021 (KUANTAN) – Rektor KUIPSAS, Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin mengimamkan Solat Hajat untuk memohon doa ke hadrat Allah SWT supaya diberikan kemudahan kepada KUIPSAS dalam Sesi Pembentangan Permohonan Naik Taraf KUIPSAS Ke Universiti Penuh.
Solat Hajat yang diadakan di Masjid KUIPSAS itu disertai oleh semua Anggota Kerja KUIPSAS.
Sesi Pembentangan Permohonan Naik Taraf KUIPSAS Ke Universiti Penuh adalah proses seterusnya selepas Dokumen Permohonan telah dihantar pada 28 Disember 2020 yang lalu.
Sesi Pembentangan yang akan diadakan pada 3 Mac 2021 nanti akan disampaikan oleh YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd., anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang yang memiliki sepenuhnya KUIPSAS.

Mesyuarat Pembinaan Asrama Baharu KUIPSAS

25 Februari 20201 (KUANTAN) – Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin hadir ke Mesyuarat Pembinaan Asrama Baharu KUIPSAS bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang. Mesyuarat diadakan untuk membincangkan pembinaan asrama baharu yang boleh menempatkan sehingga 1,000 orang pelajar.
Turut hadir ialah YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, En. Mohd Zamri bin Wahab, Pendaftar, en. Mohd Sufian bin Ibrahim, Penolong Pendaftar Pentadbiran dan En. Asari bin Mansor, Pembantu Tadbir Jabatan Pembangunan Dan Penyelenggaraan.

Rektor Hadiri Kunjungan Hormat Menteri Kepada MB Pahang

25 Februari 2021 (KUANTAN) – Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin menghadiri Kunjungan Hormat Menteri Pengajian Tinggi, YB. Datuk Seri Dr Noraini binti Ahmad kepada Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail di Wisma Sri Pahang.
Lawatan ini diadakan bertujuan untuk membincangkan kerjasama strategik Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerajaan negeri melalui inisiatif PENJANA KPT-CAP@STATE.
Turut hadir ialah YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang, dan YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi, Pengurus Besar Yayasan Pahang.
Delegasi dari KPT pula terdiri daripada Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Rosli Yaakub, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia dan Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang.
Dalam lawatan ini juga, YAB. Menteri Besar Pahang telah menyerahkan Dokumen Permohonan Naik Taraf KUIPSAS Ke Universiti Penuh kepada YB. Menteri Pengajian Tinggi.

KUIPSAS Santuni Calon SPM Dalam Motivasi Online

21 Februari 2021 (KUANTAN) – Persediaan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berada pada fasa terakhir sebelum menduduki peperiksaan tersebut bermula 22 Februari 2021. Tentu banyak perkara yang perlu diberikan tumpuan dan sedikit sebanyak membawa kesan samada positif atau negatif kepada calon-calon.
Jabatan Perhubungan Korporat KUIPSAS menyantuni calon-calon SPM 2020 ini dengan menganjurkan program Motivasi Online Pecutan Akhir SPM 2020 Siri 1 selama dua hari.
Sesi pertama diadakan pada 20 Februari 2021 menampil Cik Raja Nurul Hafizah binti Raja Ismail, pensyarah Jabatan Pendidikan dan Pembangunan Insan merangkap Kaunselor KUIPSAS yang membuat perkongsian bertajuk “Jangan Stress”.
Sesi kedua pula menampilkan Da’i Niezal, siswa Ijazah Sarjana Muda Dakwah Islamiah KUIPSAS yang membuat penyampaian bertajuk “7 Formula Cemerlang, Belajar Itu Ibadah Pasti Seronok”.
Program yang diadakan bertujuan untuk membantu persediaan calon-calon pada saat akhir itu disertai seramai 50 orang peserta. Program Siri ke-2 akan diadakan pada 27 dan 28 Februari 2021.

Asrama KUIPSAS Dijadikan Stesyen Kuarantin Tempatkan Calon SPM

5 Februari 2021 (KUANTAN) – Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil langkah proaktif dengan menjadikan Asrama KUIPSAS sebagai Stesyen Kuarantin (QS) bagi menempatkan calon-calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang keluarga mereka terjejas kerana dijangkiti virus Covid-19. Seramai 19 orang pelajar terdiri daripada 12 lelaki dan 7 perempuan telah ditempatkan di sini sejak semalam.
KUIPSAS bersama-sama agensi lain seperti Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah menyediakan 200 bilik asrama untuk menempatkan calon-calon SPM 2020 di sini.
KUIPSAS turut menyediakan kemudahan WiFi bagi membolehkan mereka mengikuti PdPR dan mengulang kaji pelajaran semasa berada di sini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail turut melakukan tinjauan di KUIPSAS pada hari ini sebelum disusuli oleh YB. Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang.
ms_MYMalay