13 DISEMBER 2021 (KUANTAN) – Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UnIPSAS, YBrs. Dr. Muhammad Fadlly bin Ismail bersiaran secara langsung di Radio Pahang FM dalam Slot Bicara Khas UnIPSAS.Dalam siaran selama 30 minit itu, Dr. Fadlly berkongsi maklumat terkini mengenai UnIPSAS selepas dinobatkan sebagai universiti penuh dari sudut Teras Pendidikan, Bidang Tujahan dan Hala Tuju.
Beliau turut memaklumkan mengenai penganjuran Istiadat Pemasyhuran Canselor, Pro-Canselor dan Istiadat Konvokesyen ke-19 serta hebahan mengenai pengambilan pelajar baru UnIPSAS bagi Sesi Kemasukan Dis 2021/ Jan 2022.
Kayuhan Heboh UnIPSAS – Ubai
12 DISEMBER 2021 (KUANTAN) – Pasukan Berbasikal UnIPSAS telah menganjurkan Program Kayuhan Heboh UnIPSAS – Ubai – UnIPSAS pada hari ini dan disertai seramai 20 orang peserta. Kayuhan yang bermula jam 7.30 pagi itu berjaya diselesaikan oleh peserta dengan jarak kayuhan sejauh 40KM.
Program diadakan bertujuan untuk meraikan kejayaan UnIPSAS dinobatkan sebagai universiti penuh pada awal Disember selain bagi menggalakkan aktiviti dan gaya hidup sihat dalam kalangan Anggota Kerja UnIPSAS (AKU).
Selain AKU, turut menyertai program kayuhan ini ialah Dato’ Mohd Zakaria bin Ibrahim (Timbalan SUK – Pengurusan), Mejar (PA) Mohd Zairosnizam bin Mohd Tarmizi (Pen. Pengarah APM Pahang), Tuan Mohamad Yusri bin Aman (KPP JAIP) dan Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin (Naib Canselor UnIPSAS).
Pendidikan Tertiari Milik Kerajaan Negeri Pahang – UNIPSAS
Pada 1 Disember 2021 bersamaan 26 Rabiulakhir 1443H, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) secara rasmi dikenali sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah atau singkatannya UnIPSAS.Naik taraf UnIPSAS secara rasmi ini sebagai sebuah Universiti Penuh merupakan kejayaan dan kebanggaan semua pihak di Negeri Pahang Darul Makmur.Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited untuk menjadikan UnIPSAS terus berkembang maju dalam semua aspek melalui penyaluran geran tahunan.Selepas dinobatkan sebagai Universiti Islam Swasta Pertama di Negeri Pahang dan di Pantai Timur, UnIPSAS boleh memainkan peranan yang lebih luas dalam perkembangan semasa sektor pengajian tinggi di Malaysia melalui enrolmen pendidikan tinggi negara terutama peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.Naik taraf UnIPSAS ini lebih bermakna kerana pada tahun 2021 ini, UnIPSAS menyambut Jubli Perak sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25. Usia 25 tahun ini sangat signifikan kerana membuktikan bahawa UnIPSAS terus kekal relevan, menerima sokongan yang baik daripada masyarakat serta berjaya menawarkan program pengajian yang menjadi permintaan dan mempunyai nilai kebolehpasaran graduan yang tinggi. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 2.23 juta ringgit bagi program sokongan universiti ini.- Petikan Ucapan Pembentangan Belanjawan 2022 Negeri Pahang Darul Makmur oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail.Sumber video : Pahang Media
MOU Kerjasama Dakwah Dan Kajian Multi Etnik
25 NOVEMBER 2021 (KUALA LUMPUR) – KUIPSAS menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Hidayah Centre Foundation (HCF) bagi merealisasikan usaha bersama dalam mengembangkan dakwah multi etnik di Malaysia. Majlis diadakan di Ibu Pejabat HCF pada jam 11.00 pagi.Selain itu, MoU juga menjurus kepada kerjasama dalam menyediakan laporan dapatan kajian yang dilakukan oleh KUIPSAS seterusnya mewujudkan pelan strategik dakwah multi etnik.Majlis dihadiri oleh YBrs. Prof Madya Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor KUIPSAS dan YBrs. Hj Muhammad Fakharuddin Abd Kudos, Ketua Pegawai Eksekutif HCF serta pegawai-pegawai daripada kedua-dua pihak.
KUIPSAS Mula Langkah Awal Laksana Program Jarak Jauh
9 NOVEMBER 2021 (KUANTAN) – Dalam usaha meningkatkan akses terhadap program pengajian yang ditawarkan di KUIPSAS, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (PPSH) menganjurkan Bengkel Persediaan Pelaksanaan Program Secara Pembelajaran Terbuka Dan Jarak Jauh (ODL).Bengkel selama dua hari merupakan langkah awal yang diambil oleh PPSH KUIPSAS untuk menawarkan program Ijazah Sarjana Muda sedia ada dalam bentuk ODL.Bengkel dikendalikan oleh Prof. Madya Dr Azidah binti Abu Ziden, Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE), Universiti Sains Malaysia (USM) dan dihadiri oleh semua pensyarah KUIPSAS.
Pembersihan Blok Asrama Penginapan
9 November 2021 (KUANTAN) – Kakitangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) KUIPSAS memulakan kerja-kerja menyelenggara dan pembersihan blok-blok asrama penginapan dan kawasan di sekitarnya.
Kerja penyelenggaraan dan pembersihan dimulakan sebagai persediaan untuk membuka semula kampus secara berperingkat-peringkat. Semua blok asrama KUIPSAS sebelum ini telah digunakan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC) dan telah ditutup sepenuhnya operasi pada minggu lalu.
Sistem Antirasuah Ke Arah Redha Allah
3 NOVEMBER 2021 (KUANTAN) – KUIPSAS komited untuk mewujudkan Sistem Pengurusan Antirasuah bagi meningkatkan integriti dalam urus tadbir semata-mata untuk mendapatkan redha Allah SWT dalam urusan kerja seharian.
Demikian menurut Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin semasa menyampaikan Ucapan Perasmian Kursus Pemahaman Dan Pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah (SPAR) ISO 30071:2016.
Kursus diadakan bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada pihak Pengurusan KUIPSAS mengenai kepentingan mewujudkan Sistem Pengurusan Antirasuah serta pelaksanaannya dalam organisasi bagi meningkatkan integriti dan membasmi perlakuan rasuah.
Kursus selama dua hari ini dikendalikan oleh YM. Raja Faridah binti Raja Sirajuddin, Jurulatih dan Perunding Kanan SIRIM STS Sdn. Bhd.
JERAYAWARA BULAN KAUNSELING 2021 KUIPSAS
| TARIKH: 29 Oktober 2021 (JUMAAT)
| MASA : 09.00 am – 10.00 pm
| PLATFORM : Google Meet
ERAYAWARA BULAN KAUNSELING 2021 KUIPSAS
Assalamualaikum w.b.t.
Jabatan Pendidikan dan Pembangunan Insan (JPPI) KUIPSAS dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling KUIPSAS akan mengadakan program Jerayawara Bulan Kaunseling 2021. Dengan sukacitanya menjemput hadirin sekalian untuk menghadiri program ini.
Slot 3: Warna Warni Kehidupan
Tarikh: 29 Oktober 2021 (Jumaat)
Masa: 9.00 hingga 10.00 Malam
Platform: Google Meet
Panel :
Puan Faiqah binti Ahmad Radzuan (Pensyarah Media Islam KUIPSAS)
29 OKTOBER 2021 (KUANTAN) – Audit Penilaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kepada program Sarjana Pengajian Islam telah selesai diadakan selama dua hari. Audit yang dijalankan secara maya itu bertujuan untuk menyemak penawaran program ini bagi memperolehi Akreditasi Penuh daripada MQA.
Audit dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Hj. Othman (Pengerusi) dan dibantu oleh Prof. Madya Dr. Abd Rahman Abd Ghani dan Pn. Adibah Mohd Sani (Pegawai MQA).
PKRC KUIPSAS Ditutup
28 OKTOBER 2021 (KUANTAN) – Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC) KUIPSAS ditutup secara rasmi hari ini. Majlis Penutupan diadakan pada jam 12.15 tengahari di Dewan Barakah yang telah berfungsi sebagai Sekretariat PKRC KUIPSAS sejak ia beroperasi.
PKRC KUIPSAS yang beroperasi sejak Mac 2021 meliputi semua blok asrama dan Dewan Utama KUIPSAS. Sebelum PKRC dibuka, KUIPSAS sudah beroperasi sebagai Stesyen Kuarantin bermula November 2020.
Majlis Penutupan PKRC KUIPSAS dihadiri oleh semua wakil agensi dan para frontliners yang bertugas. Rektor KUIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat dan bersyukur atas kerjasama yang telah dijalinkan.