Ketua Pegawai Eksekutif MQA Rasmi Majlis Anugerah Akademia UnIPSAS 2022

26 Jan 2023 (Kuantan) – UnIPSAS buat julung kalinya menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar bin Sabran ke Majlis Anugerah Akedemia UnIPSAS 2022.

Majlis Anugerah Akademia UnIPSAS merupakan program tahunan yang dianjurkan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada ahli akademik UnIPSAS yang cemerlang. Penilaian anugerah ini dilakukan berdasarkan beberapa kriteria utama yang telah ditetapkan. Seramai tujuh (7) orang pensyarah daripada pelbagai bidang kepakaran telah menerima anugerah yang dipertandingkan.

Prof. Dato’ Dr. Shatar juga telah berkongsi ilmu dan pengalaman kepada para pelajar UnIPSAS tentang keperluan dan kemahiran yang diperlukan oleh mahasiswa/I dalam menempuh alam pekerjaan. Antara perkara yang ditekankan oleh beliau adalah:

– Pencapaian akademik yang tinggi bukanlah fokus semata-mata, tetapi mestilah mempunyai kemahiran dalam 3 bahasa.

– Kemahiran yang perlu digilap dari mula menjadi pelajar IPT adalah kemahiran Critical Thinking & Problem Solving.

Secara keseluruhannya, pelajar perlulah peka dengan perubahan zaman semasa. Di era digital ini, majikan boleh menilai karakter dan emosi pelajar hanya menggunakan media sosial sahaja.

Kursus Menangani Pelanggan Yang Beremosi

17 Januari 2023 (KUANTAN) – Jabatan Sumber Manusia UnIPSAS telah menganjurkan “Kursus Menangani Pelanggan Yang Beremosi” selama 2 hari di Hotel Swiss Bell, Kuantan. Kursus ini melibatkan seramai 70 orang kakitangan sokongan dari pelbagai unit pengurusan di UnIPSAS.

Tujuan kursus ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kecekapan dan fokus urus kerja Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) terutama dalam mengendalikan pelanggan yang beremosi.

Pelbagai tip menarik telah dikongsikan oleh penceramah jemputan, iaitu En. Arwan bin Aziz yang merupakan seorang pakar dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia. Keterlibatan En. Arwan bin Aziz dijemput sebagai tetamu jemputan di siaran TV Borak Kopitiam, Astro 501 membuktikan kehebatan beliau dalam bidang ini. Ditambah pula dengan kejayaan beliau mendapat anugerah ‘best seller’ hasil dari penjualan buku ‘syoknye kerja kita’ pada tahun 2018.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor UnIPSAS, YH Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Zawavi Bin Zainal Abidin.

UnIPSAS Terima Perak Anugerah Pahang 1st

29 DISEMBER 2022 (KUANTAN) – UnIPSAS diumumkan pemenang Perak Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (Sektor Perkhidmatan) Sempena Majlis Anugerah Pahang 1st Tahun 2022 yang berlangsung di Dewan Bandaraya, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Anugerah disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail dan diterima oleh Naib Canselor, YH. Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin.

Anugerah berprestij ini merupakan satu pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri kepada organisasi kerajaan meliputi jabatan, agensi, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam penyampaian perkhidmatan dan mempamerkan produktiviti serta kualiti pada tahap yang tinggi.

Turut hadir adalah barisan Pengurusan Kanan UnIPSAS dan membawa pulang trofi dan wang tunai RM2,000.00.

Tiada Ncr Dalam Audit SIRIM

20 DISEMBER 2022 (KUANTAN) – Audit Pematuhan SIRIM yang berjalan selama 2 hari telah selesai dengan mencatatkan tiada penemuan ketidakpatuhan yang dilaporkan.

Audit dijalankan bertujuan untuk menyemak pematuhan kepada pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti berdasarkan Pensijilan MS 1900 : 2014 dan ISO 9001 : 2015.

Pasukan Auditor SIRIM yang diketuai oleh Hjh. Hanida Bt. Ghazali dan dibantu oleh En. Mohd Hisyam Bin Mahadi turut melaporkan 6 Peluang Penambahbaikan bagi memastikan UnIPSAS akan dapat memperbaiki mutu perkhidmatannya.

Audit yang dijalankan telah memberikan tumpuan kepada skop Rekabentuk dan Pembangunan Program, Pemberian Perkhidmatan Pendidikan dan Proses-Proses Sokongan kepada semua program Diploma yang ditawarkan di UnIPSAS.

Mahasiswa Sabah Hadiri Ramah Mesra

18 DISEMBER 2022 (KUALA TERENGGANU) – Seramai 10 orang mahasiswa dan mahasiswi UnIPSAS yang berasal dari negeri Sabah telah menghadiri Majlis Ramah Mesra YB. Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Bin Datuk Haji Mohd. Arif, Menteri Tugas-Tugas Khas Dan Penyelarasan Sabah Bersama Mahasiswa/Mahasiswi Sabah IPT Zon Timur.

Majlis yang diadakan di Raia Hotel & Convention Center, Kuala Terengganu itu dikendalikan oleh Puan Bahiwata Sayangan Binti Haji Mulia, Pengurus Kumpulan Bahagian Pembangunan Pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah selaku wakil kepada YB. Menteri.

Turut hadir ialah YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), En. Abi Sofian bin Abdul Aziz (Penolong Pendaftar HEPA) dan En. Muhd Ilham bin Ciding (Penyelaras Kelab Borneo).

Audit Kualiti Dalaman Selesai

02 DISEMBER 2022 (KUANTAN) – UnIPSAS selesai menjalankan Audit Kualiti Dalaman selama 2 hari yang melibatkan semua Anggota Kerja UnIPSAS (AKU) bagi tahun 2022.

Program audit kualiti dalaman ini bertujuan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti MS 1900:2014 dan MS ISO 9001:2015.

Dalam Mesyuarat Penutupan Audit, Ketua Auditor telah membentangkan penemuan audit merangkumi 8 Laporan Ketakakuran (NCR) dan 18 Peluang Penambahbaikan (OFI).

UnIPSAS Terpilih Ke Peringkat Akhir Anugerah Pahang 1ST

1 DISEMBER 2022 (KUANTAN) – UnIPSAS hari ini menerima Sesi Lawatan Penilaian Akhir Anugerah Pahang 1st yang dikendalikan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang melalui Unit Korporat.

Sesi Penilaian ini dilakukan kerana UnIPSAS telah terpilih ke peringkat penilaian akhir Anugerah Pentadbiran Cemerlang (APEC).

Anugerah tersebut bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan insentif kepada Jabatan Negeri, Agensi dan Badan Berkanun di Negeri Pahang bagi prestasi tadbir urus yang cemerlang serta secara tidak langsung sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.

Sesi Penilaian yang diadakan di Dewan Senat UnIPSAS itu diketuai oleh Puan Waila binti Mohd Nasir, Timbalan Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Beliau dibantu oleh Prof. Madya Ts. Dr. Muhamad bin Mat Noor (Pensyarah Kanan UMP), En. Mohd Norishamuddin bin Mohd Rosli (Pegawai Tadbir Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang), Dr. Noor Aishah binti Hj. Hassan (Pengurus Kanan MPC Wilayah Timur) dan En. Mohd Azhar bin Zainuddin (Penolong Pengurus MPC Wilayah Timur).

Turut hadir ialah Ts. Muhaimin Mustaqim bin Jamaludin dan pasukan urusetia daripada Unit Korporat Pejabat SUK Pahang.

Bengkel Dedah Kaedah Penyuntingan

30 NOVEMBER 2022 (KUANTAN) – Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UnIPSAS menganjurkan Bengkel Asas Penyuntingan selama dua hari yang disertai seramai 30 orang Anggota Kerja UnIPSAS (AKU).

Bengkel yang diadakan di Dewan Barakah itu dikendalikan oleh Pn. Siti Maizatul Rozihani Ikhsan dari Dewan Bahasa & Pustaka (DBP).

Bengkel bertujuan untuk mendedahkan AKU tentang konsep dan skop kerja editor serta membantu peserta untuk memahami kaedah yang tepat semasa menjalankan tugas sebagai editor.

Kejohanan Sukan Masiswa Networking Games 2022

27 November 2002 (Bangi) – Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Masiswa Networking Games 2022, Uniten.

UnIPSAS berjaya membawa pulang 2 pingat Perak daripada acara sukan Bowling berpasukan wanita dan Badminton berpasukan Lelaki (Veteran).

Tahniah Team UnIPSAS!

Pelajar UnIPSAS Gembira Terima Bantuan Perantisiswa

6 November 2022, Kuantan –Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia merupakan inisiatif untuk menyediakan peranti kepada mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok keluarga B40 bagi memastikan proses pengajian para mahasiswa terus terpelihara. Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia telah dijayakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan IPT telah mula diedarkan mulai 3 September 2022 yang lalu.

Setiap permohonan yang diluluskan, akan mendapat Tablet Samsung model terkini, lengkap dengan casing, keyboard dan stylus pen. Ia sebagai penghargaan dan pemangkin kepada pelajar untuk mendapat keputusan cemerlang.

Pada hari ini, seramai lebih 700 orang pelajar UnIPSAS dengan syarat kelayakan yang telah diperakui telah menerima peranti berkenaan di Auditorium Tuanku Canselor UnIPSAS bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang. Sebagai makluman, K-KOMM telah melantik Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni UnIPSAS sebagai pemudahcara dalam urusan soal jawab, saringan rayuan dan sebagainya kepada pemohon.

Turut hadir sama bagi simbolik penyampaian peranti kepada penerima ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, YBrs. Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar dan diiringi oleh Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni, YBhg. Encik Abi Sofian bin Abdul Aziz.

Semoga bantuan yang diberikan kepada pelajar dapat digunakan sebaik mungkin dalam hasrat kerajaan bagi memastikan tahap pencapaian dalam akademik terus meningkat dari masa ke masa.

ms_MYMalay