Majlis Tausiyah Sempena Kunjungan Hormat Markaz Knowledge City Kerala India ke UnIPSAS
KUANTAN, 16 Januari 2024 – UnIPSAS telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Markaz Knowledge City, Kerala, India. Majlis Tausiyah yang disampaikan oleh Rektor Jami’ah Markaz Knowledge City, Dr. Abdul Hakeem Al-Azhari, bertajuk “Membina Generasi Al-Quran”, menjadi kemuncak kunjungan ini.
Ketibaan delegasi disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Ybrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Fadlly Bin Ismail, bersama pengurusan kanan UnIPSAS.
Dalam majlis ini, para siswa UnIPSAS berpeluang mendengar sesi perkongsian yang sangat bermakna, berkisar tentang peranan Al-Quran dalam membentuk generasi yang berakhlak dan cemerlang. Perkongsian daripada Dr. Abdul Hakeem Al-Azhari membuka ruang kepada para siswa untuk mengambil inspirasi dan manfaat yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.
Program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan kerjasama antara UnIPSAS dan Markaz Knowledge City, tetapi juga menekankan kepentingan ilmu agama dalam membentuk masyarakat yang berintegriti.
UnIPSAS Serah Zakat Perniagaan RM50,000
KUANTAN, 10 Januari 2024 – Alhamdulillah, pada 10 Januari 2025 (Jumaat), Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan menyerahkan Zakat Perniagaan sebanyak RM50,000 kepada Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZ) bagi tahun kewangan 2024.
Majlis penyerahan berlangsung pada jam 11.00 pagi di Bilik Mesyuarat Indera Mahkota, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah. Cek zakat diserahkan oleh YB. Dato’ Sri Haji Zulkifli bin Haji Yaacob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pengerusi Sistem Pendidikan Islam Pahang (SPIPSB), kepada Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Pengurus Besar PKZ Pahang.
Majlis ini turut dihadiri oleh:
YH Prof. Dato’ Dr. Hj. Mohd Zawavi bin Zainal Abidin (Naib Canselor UnIPSAS), YBrs. Dr. Muhammad Hafiz bin Dato’ Haji Yaakob (Pendaftar UnIPSAS), YBrs. Prof Madya Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar (Timbalan Naib Canselor HEPA UnIPSAS), En. Fakhrullah Bin Ismail (Akauntan UnIPSAS), En. Zafridan bin Mohd Daud (Ketua Pemasaran PKZ)
Sumbangan zakat ini mencerminkan komitmen UnIPSAS dalam memainkan peranannya sebagai institusi pendidikan Islam yang prihatin terhadap keperluan masyarakat dan ekonomi ummah.
Semoga dengan keberkatan ini, UnIPSAS terus cemerlang dan sentiasa dirahmati Allah SWT. Doakan UnIPSAS terus menyumbang kepada kesejahteraan ummah.
Projek Cilik Al-Quran Bagi OKU Penglihatan Peringkat Negeri Pahang
KUANTAN, 26 Disember 2024 – UnIPSAS telah menggerakan Projek Cilik Al-Quran Bagi OKU Penglihatan Peringkat Negeri Pahang. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Dato’ Sabariah Saidan ( Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang ).
Projek Celik Al-Quran bagi OKU Penglihatan adalah inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan membaca Al-Quran. Melalui mesyuarat ini, beberapa cadangan telah dibentangkan antaranya Penubuhan Pusat Latihan OKU di UnIPSAS.
Insya Allah, saya yakin dengan pelaksanaan cadangan ini golongan OKU ini akan mendapat fasiliti yang lebih baik untuk membantu mereka mentadabbur Al-Quran. Semoga usaha murni ini akan dapat terlaksana demi pengukuhan syiar Islam dan kesejahteraan ummah.
Institut Jawi UnIPSAS Mengadakan Program Pintar Jawi
KUANTAN, 16 Disember 2024 – Pada 16 Disember 2024 telah berlangsung program Pintar Jawi di Dewan Bitara, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, Kuantan. Program yang diadakan sempena Karnival Pendidikan Islam BRASS (Bukit Rangin Secondary School) itu melibatkan seramai kira-kira 380 orang peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 2 dan tingkatan 3.
Institut Jawi (InstiJ) UnIPSAS diberikan kepercayaan untuk mengendalikan sesi perkongsian berkenaan kemahiran menulis dan mengeja Jawi kepada para peserta. InstiJ diwakili oleh Pengarahnya, Ustaz Ainuddin Kamaruddin sempat berkongsi beberapa tajuk kepada para peserta dalam sesi yang berlangsung lebih 2 jam tersebut antaranya padanan huruf Rumi-Jawi, Ejaan Lazim, Hukum Derlung dan Luar Derlung, Hukum Ka Ga, Hukum Ewa Iwa, Hukum A Tiga Suku Kata atau lebih, Ejaan Ekasuku, Penulisan Nombor Dalam Jawi dan sebagainya.
Para peserta turut diuji dengan dua latihan menulis dan mengeja melibatkan 20 perkataan yang semuanya berkaitan dengan tajuk-tajuk yang dikongsikan bagi melihat tahap penguasaan mereka. Pihak SMK Bukit Rangin menzahirkan rasa sukacita atas penganjuran program ini dan berharap akan dapat mengundang Institut Jawi UnIPSAS lagi pada masa akan datang dengan sasaran pelajar yang lebih khusus.
Anggota Kerja UnIPSAS Menyertai Misi Pasca Banjir Negeri Kelantan
KELANTAN, 13 Disember 2024 – Kerajaan Negeri Pahang melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang telah menghantar 400 sukarelawan dari daerah Kuantan, Temerloh, dan Maran bagi membantu usaha pemulihan pasca banjir di Negeri Kelantan pada 11 dan 12 Disember yang lalu.
Konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir Sukarelawan Pahang dilepaskan dalam sesi flag-off oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.
UnIPSAS turut berbangga kerana 10 sukarelawan dari kalangan warga UnIPSAS turut serta dalam misi kemanusiaan ini.
Semoga usaha bersama ini dapat meringankan beban mangsa banjir dan membuktikan semangat solidariti antara negeri.
TM Pahang Serah Wang Zakat Kepada UnIPSAS
KUANTAN, 12 Disember 2024 – Telah berlangsungnya penyerahan wakalah Zakat daripada pihak TM Pahang. Zakat berjumlah RM5,000 telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Mazahari Hamali, Assistant Manager Business Development Pahang kepada YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar,
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni. Majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat Naib Canselor itu turut dihadiri dan disaksikan bersama oleh Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Akadamik.
Semoga penerimaan zakat ini dapat memberi manfaat kepada pelajar UnIPSAS terdiri dari golongan Asnaf dan memerlukan.
Kontijen UnIPSAS Meraih 1 Emas 3 Perak di Kejohanan Sukan MASISWA NETWORKING GAMES 2024
Pulau Pinang, 01 Disember 2024 – Kontinjen Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) berjaya meraih 1 Pingat emas dan 3 pingat perak ketika menyertai Kejohanan Sukan MASISWA Networking pada 28 Jan – 1 Dis 2024 bertempat di UiTM Pulau Pinang.
Jumlah Pingat (4 )
Emas – Boling Perseorangan Lelaki En. Mazlan Bin Sulaiman (Jabatan Pentadbiran AM)
Perak – Petanque Perseorangan Lelaki En. Mohd Sufian Bin Ibrahim (Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan)
Perak – Boling (Trio) 1. En. Mazlan Bin Sulaiman (Jabatan Pentadbiran Am) 2. En. Zamri Bin Wahab (Fakulti Pengurusan Dan Informatik) 3. Pn. Nor Fatihah Binti Abd. Halim (Fakulti Pengurusan Dan Informatik)
Perak – Badminton Veteran Regu Lelaki 1. En. Mohd Fairuz Bin Mohd Yusof (UnIPSAS Holding) 2. En. Mohd Sakeri Bin Mohd Yunos (Pegawai Tadbir Jabatan Perhubungan Korporat)
Terima kasih diucapkan kepada pemenang pingat dan seluruh atlet serta seluruh warga UnIPSAS yang mendoakan kejayaan UnIPSAS.
Turut hadir semasa majlis penutup Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Dato’ Dr. Hj. Zawavi Bin Zainal Abidin diiringi Pendaftar UnIPSAS selaku Ketua Kontinjen UnIPSAS , Dr. Muhammad Hafiz Bin Dato’ Hj. Yaakob
Program Khidmat Masyarakat Antarabangsa UnIPSAS bersama UIN Ar-Raniry
ACEH, 27 November 2024 – Mahasiswa Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) berjaya melaksanakan Program Operasi Pengabdian Khidmat Masyarakat (OPKiM) 2024 di Banda Aceh, Indonesia. Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara UniPSAS dan Universiti Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, yang bertujuan memperkukuh hubungan akademik dan melibatkan peserta dalam pelbagai aktiviti khidmat masyarakat di peringkat antarabangsa.
Selama lima hari program ini berlangsung, seramai 18 pelajar dari Persatuan Mahasiswa Ijazah Dakwah Islamiah (MADAIE), Jabatan Dakwah UniPSAS, bersama seorang pensyarah, serta 14 peserta dari UIN Ar-Raniry yang terdiri daripada mahasiswa dan pensyarah, terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti. Secara keseluruhan, 32 peserta mengambil bahagian dalam program ini, yang merangkumi diskusi ilmiah, khidmat masyarakat di pondok pesantren dan desa, serta lawatan ke beberapa lokasi bersejarah di sekitar Banda Aceh.
Diskusi ilmiah yang diadakan pada 25 November 2024 di Aula FDK UIN Ar-Raniry memberi peluang kepada para peserta untuk bertukar idea, berkongsi pengalaman akademik dan budaya, serta mempererat hubungan antara kedua-dua institusi pengajian tinggi.
Aktiviti khidmat masyarakat dilaksanakan di tiga pondok pesantren, iaitu Dayah Mulia (Blang Bintang), Ponpes Daruzzahidin (Kuta Baro), dan Ponpes Darul Muta’allimin (Blang Bintang), serta dua gampong, iaitu Teupin Batee dan Cot Leuot di Aceh Besar. Program ini melibatkan pelbagai aktiviti, antaranya gotong-royong, sesi motivasi untuk pelajar pesantren, dan interaksi bersama komuniti tempatan. Aktiviti-aktiviti ini berjaya mempererat hubungan antara pelajar dan masyarakat setempat, serta meningkatkan pemahaman silang budaya antara peserta dan komuniti Aceh.
Selain khidmat masyarakat, para peserta turut diberi peluang melihat dan mendalami sejarah Islam melalui aktiviti tafakkur alam di pesisir pantai Lampuuk dan Lhoknga, serta lawatan ke beberapa tempat bersejarah seperti Muzium Tsunami, PLTD Apung, Masjid Lampuuk, Masjid Baiturrahim, dan Masjid Raya Baiturrahman.
Kerjasama strategik antara UniPSAS dan UIN Ar-Raniry ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dengan pelaksanaan program-program yang lebih berimpak tinggi. Melalui penglibatan aktif dalam inisiatif seperti OPKiM, kedua-dua institusi ini berjaya memperkukuh jaringan akademik global sekaligus melahirkan mahasiswa yang holistik, berdaya saing, dan peka terhadap keperluan masyarakat global.
Majlis Amanat Naib Canselor dan Penyerahan Bendera UnIPSAS sempena Sukan “MASISWA Networking Games 2024”
KUANTAN, 25 November 2024 – Menjelang 2 hari Sukan Masiswa Networking Games 2024 di Pulau Pinang, Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Dato’ Dr. Hj. Zawavi Bin Zainal Abidin mengharapkan kontinjen UnIPSAS untuk tampil dengan aksi terbaik dan semangat juang tinggi. Beliau turut mendoakan agar kontinjen UnIPSAS berjaya membawa pulang kejayaan yang membanggakan. Penyerahan bendera UnIPSAS oleh Dato’ Naib Canselor kepada Pendaftar UnIPSAS, Dr. Muhammad Hafiz Bin Dato’ Hj. Yaakob yang akan mengetuai kontinjen UnIPSAS di temasya sukan MASISWA Networking Games 2024.
Pada kali ini UnIPSAS akan menyertai 6 acara sukan iaitu Badminton, Futsal, Bola Jaring, Boling, Catur dan Petanque.
Majlis turut disertai dengan penyampaian geran penyelidikan kepada ketua-ketua penyelidik. Tahniah dan syabas diucapkan.
Majlis berlangsung di Auditorium Tuanku Canselor, UnIPSAS.
NC UnIPSAS suntik semangat calon SPM Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART)
20 November 2024, KUANTAN – Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib telah melancarkan satu program khas kepada pelajar Tingkatan 5 yang bakal menghadapi peperiksaan SPM. “Program Peledak Prestasi Diri: Lonjakan Kecemerlangan SPM 2024” di antara Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan SMK Abdul Rahman Talib (SMART).
Sesi ceramah motivasi disampaikan oleh Naib Canselor UnIPSAS, YH. Profesor Dato’ Hj. Zawavi Bin Zainal Abidin. Beliau menegaskan agar pelajar-pelajar harus menanamkan iltizam tinggi bertekad untuk menyambung pengajian hingga ke menara gading.
Beliau menyampaikan petikan nasihat ulama kepada penuntut ilmu, serta mengupas beberapa petikan Surah Al Insyirah (ayat 5&6)
فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرًا
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرٗا
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Dengan suntikan motivasi ini, diharapkan pelajar-pelajar lebih semangat untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.
Turut hadir Pengetua SMK Abdul Rahman Talib, Tuan Haji Mohammad bin Che Ibrahim, guru-guru, serta kaunselor SMK Abdul Rahman Talib.