Doa Ibu Bapa Sangat Penting Dalam Membentuk Kejayaan Anak-anak

KUANTAN, 22 Julai 2023 – Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin menekankan kepada kekuatan doa ibu bapa dalam membentuk kejayaan anak-anak.

“Ibu dan bapa jangan putus berdoa dalam menjamin kejayaan anak-anak. Anak-anak pula jangan sesekali lupa bahawa kejayaan anak-anak adalah berkat doa ibu dan bapa,” ujar beliau dalam merasmikan program Majlis Anugerah Kecemerlangan 2023 SMK Paya Besar, Kuantan.

Dalam ucapan perasmian, Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin juga telah berkongsi pengalaman kesukaran hidup semasa beliau belajar di Universiti Al-Azhar Mesir sebagai suntikan motivasi kepada pelajar cemerlang SMK Paya Besar bahawa ilmu adalah segala-galanya.

Dalam majlis ini, seramai 38 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang SPM 2022 diraikan oleh SMK Paya Besar.

UnIPSAS Sebar Kepakaran Dalam Klinik Guaman Syarie dan Kaunseling Islam

RAUB, 22 Julai 2023 – UnIPSAS menyemarakkan Karnival Tanah anjuran Pejabat Tanah dan Galian Raub pada hari ini melalui perkhidmatan Klinik Guaman Syarie dan Kaunseling Islam di Dewan Jubli Perak (Raub).

Program yang dirasmi oleh YAB Menteri Besar Pahang telah membuka ruang kepada UnIPSAS untuk para pensyarah Fakulti Syariah UnIPSAS menawarkan khidmat nasihat mengenai perkahwinan, penceraian, hak jagaan anak, wasiat, harta sepencarian dan pengurusan kes-kes mahkamah syariah kepada masyarakat awam melalui Klinik Guaman Syarie ini.

Encik Mohd Saifuddin bin Abdul Karim, Dekan Fakulti Syariah UnIPSAS menjelaskan bahawa kepakaran pensyarah UnIPSAS dalam bidang Syariah dan Perundangan perlu disebarluas, terutama dalam usaha meneguhkan syariat Islamiyyah bagi menyokong kesejahteraan hidup di Malaysia.

“Penyertaan dalam Karnival Tanah di Raub pada hari ini diselaraskan oleh Puan Yusliha binti Yunus bersama 5 pelajar Fakulti Syariah dan merupakan poin kritikal untuk UnIPSAS berkhidmat kepada masyarakat melalui kepakaran pensyarah yang dimiliki oleh Fakulti Syariah,” kata beliau lagi.

Dalam program yang sama, UnIPSAS turut menyediakan khidmat kaunseling Islam sebagai menyokong program Klinik Guaman Syarie, sekaligus mengenengahkan kepakaran pensyarah dalam bidang Kaunseling Islam.

“Kaunseling Islam merupakan bidang yang mendapat perhatian ramai dewasa ini kerana ia menekankan elemen rohani yang membantu individu menjaga kesejahteraan emosi, mental dan spiritual. Justeru itu, kaunseling Islam sesuai dan bermakna dalam membantu individu menghadapi cabaran masakini”, jelas Dr. Nur Yani binti Che Hussin, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan merangkap pensyarah Kaunseling Islam UnIPSAS.

ms_MYMalay