UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH

16 Jun 2022, Johor Bahru – Kehangatan Majlis Tilawah & Hafazan Al – Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2022M diteruskan lagi dengan bacaan yang disampaikan oleh peserta Qariah mewakili negeri Pahang yang juga merupakan Mahasiswi UnIPSAS, Saudari Siti Fatimah binti Mohd Noor, pelajar Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan.

Beliau telah memperdengarkan bacaan dari Surah Al – Kahfi, juzuk 16, ayat 46 dan juga peserta pertama pada malam itu.

Majlis bertempat di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru itu telah dihadiri orang ramai seawal jam 8.00 malam. Turut hadir memberi sokongan dan juga wakil rasmi warga UnIPSAS, adalah Penolong Pendaftar Jabatan HEPA, Encik Abi Sofian bin Abd Aziz.

Beliau juga sempat menyantuni warga Johor khususnya pelajar sekolah agama yang hadir sekaligus memperkenalkan UniPSAS

Turut disantuni seorang pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor bahagian pendidikan yang memberikan respon positif dengan pertanyaan-pertanyaan berkaitan program pasca siswazah.

Keputusan dan penyampaian hadiah kepada Qari dan Qariah telah berlangsung keesokan harinya pada 17 Jun 2022 (Jumaat) yang telah disampaikan oleh Pemangku Raja Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Meskipun belum rezeki membawa gelaran Johan Qariah bagi Peringkat Kebangsaan kali ini, beliau terus tetap bersemangat dan akan menambah baik mutu bacaan pada masa akan datang.

Kami warga UnIPSAS terus menyokong usaha beliau selama ini dan pada masa akan datang. Anda tetap kebanggaan kami dan sebagai pemangkin aktiviti tilawah Al – Quran di bumi barakah UnIPSAS ini.

Loading...