UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH

01 DISEMBER 2021 (KUALA LUMPUR) –KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad menunjukkan Sijil Pendaftaran KUIPSAS sebagai sebuah universiti penuh iaitu Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Istana Negara hari ini.

KENYATAAN MEDIA
YAB. MENTERI BESAR PAHANG
UNIPSAS, UNIVERSITI ISLAM PERTAMA NEGERI PAHANG
1 DISEMBER 2021 / 26 RABIULAKHIR 1443H

  1. Sukacita dimaklumkan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima menghadap Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Binti Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi di Istana Negara pada hari ini bagi menerima Warkah Perakuan Naik Taraf Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) sebagai sebuah Universiti Penuh.
  2. Ini bermakna, bermula 1 Disember 2021 bersamaan 26 Rabiulakhir 1443H, KUIPSAS secara rasmi dikenali sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah atau singkatannya UnIPSAS.
  3. Pendaftaran UnIPSAS secara rasmi ini sebagai sebuah Universiti Penuh merupakan kejayaan semua pihak di negeri Pahang Darul Makmur.
  4. Peranan Institusi DiRaja Pahang sangat signifikan sejak awal penubuhan Kolej Islam Pahang pada tahun 1996.
  5. Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah sangat mengambil berat perkembangan institusi pengajian tinggi ini dan telah dilantik sebagai Canselor KUIPSAS yang pertama pada tahun 2016.
  6. Kini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Canselor KUIPSAS yang kedua sejak 2019 bagi menggantikan nenda Baginda.
  7. Komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang juga telah menjadikan UnIPSAS terus berkembang maju dalam semua aspek.
  8. Penyaluran geran tahunan oleh Kerajaan Negeri Pahang telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan pengajian tinggi yang terbaik kepada para pelajarnya.
  9. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri Pahang terlibat secara langsung untuk menentukan hala tuju UnIPSAS dari semasa ke semasa melalui anak syarikatnya, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. yang memiliki UNIPSAS.
  10. Selepas dinobatkan sebagai Universiti Islam Pertama di Negeri Pahang dan Pantai Timur, UnIPSAS boleh memainkan peranan yang lebih luas dalam perkembangan semasa sektor Pengajian Tinggi di Malaysia melalui hala tuju yang jelas iaitu menyumbang kepada sasaran 70 peratus enrolmen pendidkan tinggi negara serta menyumbang kepada sasaran 8 peratus kadar enrolmen Sarjana dan Doktor Falsafah pada tahun 2025.
  11. Pada masa kini, UnIPSAS menawarkan 27 program pengajian pada peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana. Kesemua program pengajian ditawarkan dalam tiga Fakulti Pengajian iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Pengurusan dan Informatik dan Fakulti Pengajian Bahasa Dan Asasi.
  12. Beberapa lagi program pengajian baharu pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda akan mula ditawarkan tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
  13. Pendaftaran UnIPSAS secara rasmi pada hari ini lebih bermakna kerana pada tahun 2021 ini, UnIPSAS menyambut Jubli Perak sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25.
  14. Usia 25 tahun ini sangat signifikan kerana membuktikan bahawa UnIPSAS terus kekal relevan, menerima sokongan yang baik daripada masyarakat serta berjaya menawarkan program pengajian yang menjadi permintaan dan mempunyai nilai kebolehpasaran graduan yang tinggi.
    Sekian, terima kasih.
    DATO’ SRI HAJI WAN ROSDY WAN ISMAIL
    YAB Menteri Besar Pahang
    Pro-Canselor UnIPSAS
    1 Disember 2021 / 26 Rabiulakhir 1443H
Loading...